Politik baharu Malaysia di tangan keluarga besar MN

- Advertisement -

POLITIK Malaysia sedang melalui dinamik yang sudah tidak dapat dibendung atau dikawal lagi. Sejak tragedi Pilihan Raya Umum ke-14 lalu yang menyaksikan dominasi Ahli-ahli Parlimen bukan-Melayu diterajui DAP di dalam kerajaan akibat perpecahan parti-parti Melayu Bumiputera, rakyat khususnya para pengundi Melayu Islam dan Bumiputera sudah serik dan tidak mahu mengulangi lagi kesilapan mereka itu.

Kegagalan bermuafakat dan menjalin taawun sesama parti-parti Melayu ini telah mengakibatkan negara dikuasai oleh mereka yang mempunyai cita-cita dan agenda perjuangan yang jauh berbeza yang ternyata menghakis kepentingan umat Melayu Islam.

Dinamik ini digerakkan pada peringkat awal selepas PRU14 dengan penyatuan dua buah parti Melayu Islam terbesar dalam negara iaitu PAS dan Umno sehingga termeterainya Piagam Muafakat Nasional (MN) pada bulan September 2019 lalu. Dua parti yang berseteru dan berbalah berdekad-dekad lamanya itu telah dapat disatukan kerana tidak sanggup lagi mengizinkan nasib dan masa depan umat Melayu terkesan dan terganggu akibat kegagalan percaturan politik sesama sendiri.

Kesatuan akidah dan rumpun bangsa telah menjadi titik asas permuafakatan ini dan kejayaan membinanya telah mendapat sambutan ramai yang sudah tidak sabar-sabar mahu keluar dari belenggu kehidupan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14. Kesatuan ini turut melibatkan BN yang diterajui Umno dan Gagasan Sejahtera (GS) yang diterajui PAS.

- Advertisement -

Kemenangan beberapa siri Pilihan Raya Kecil telah mengesahkan bahawa muafakat seumpama inilah formula yang ditunggu-tunggu rakyat sehingga mampu mengembalikan maruah agama dan bangsa.

Terbukti DAP dan sekutunya tidak mampu membendung atau berhadapan dengan dinamik ini kerana ianya dicetuskan oleh kesatuan umat Melayu, kesatuan yang jika terus dipupuk dan diberi tenaga akan menghancur luluhkan cita-cita perjuangan parti berkenaan yang beragendakan ‘Malaysian Malaysia’ dan Negara Sekular itu.

Sedang dinamik ini ligat berputar menjana tenaga yang luar biasa, ditakdirkan Allah S.W.T, roboh pula Kerajaan PH dan naik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri (PM) ke-8 yang didukung kuat oleh Muafakat Nasional.

Terbentuklah atas runtuhan Kerajaan PH yang mungkir janjinya pada rakyat itu kerajaan baru Perikatan Nasional. Terubatlah kerisauan dan kebimbangan rakyat apabila kerajaan yang dahulunya didominasi DAP dan sekutunya hari ini kecundang hilang kuasa digantikan dengan wakil dari parti-parti Melayu Islam serta sekutunya yang telah berjaya mengembalikan tonggak kuasa ke tangan anak-anak bangsa.

Tidak syak lagi formula MN ini cukup relevan dan ianya mampu melangkah lebih jauh lagi kiranya terus diperkasakan. Banyak kajian menyatakan bahawa kiranya MN ini kekal ia bakal mencatat pencapaian yang lebih baik dalam PRU ke-15 nanti kerana kuasa politik Melayu sudah bersatu dan tidak lagi berpecah, tiada lagi pertandingan pelbagai penjuru seperti lampau. Sebaliknya PRU ke-15 akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu.

Dan kini terbaru PPBM atau parti Bersatu yang diketuai PM Tan Sri Muhyiddin pula menyatakan keinginan untuk menyertai dan menjadi komponen MN. Penyertaan BERSATU ini akan membesarkan lagi keluarga MN dan sudah pasti menjanjikan masa depan yang lebih baik buat ummah dan negara kiranya ia dapat diurus dengan bijak.

Jika kedua-dua pihak PAS dan Umno mengakui bahawa cita-cita perjuangan MN adalah untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara, menghalang DAP dan sekutunya dari kembali berkuasa, maka inisiatif yang baik ini wajar dikongsi dan dibuka kepada mana-mana pihak yang jujur dan mahu bersamanya.

Jika BERSATU bersedia menjunjung piagam yang sama, berkongsi cita-cita yang sama dan memperakui sanggup mengikat diri dengan ‘tali Allah’ tidak ada sebab mereka tidak dapat diterima malah kepimpinan tertinggi PAS dan Umno masing-masing telah pun memberikan persetujuan secara prinsip dan berlapang dada dalam hal ini.

Dalam kesungguhan kita mahu membina kuasa politik Melayu yang utuh, yang membela nasib dan kebajikan rakyat, yang memelihara keamanan dan kestabilan negara serta mampu merancang kesejahteraan buat semua kita perlu pastikan permuafakatan kita ini sempurna kemas dan bertenaga tidak senget tidak longgar dan tidak mudah diambil kesempatan oleh musuh.

Lalu perundingan dan perbincangan yang matang dan bijak perlu dicetuskan oleh pimpinan, berbincanglah secara baik, tolak-ansur dan sikap berjiwa besar sangat dituntut, ianya kita akui bukan satu tugas yang mudah tetapi ianya tidak mustahil kiranya semua pihak jujur dan mengutamakan masa depan ummah.

Jangan dibahas atau dibesar-besarkan perbezaan dan sejarah yang lampau, ianya hanya akan membuka luka lama, merugikan dan bakal menggagalkan ikhtiar ini, akhirnya tidak kemana kita dan kaduk kembali naik junjung manakala kita semua menyesal tak sudah. 

Kita harus menyusun langkah dengan berani memandang ke hadapan, ambil iktibar dari kegagalan yang lampau, dan bertekad bersama bahawa Malaysia akan kekal makmur di bawah teraju kita bersama.

PAS dan Umno yang berbalah dan bertelagah puluhan tahun pun boleh mengenepikan perbezaan demi agenda mulia yang lebih besar, tidak ada sebab BERSATU tidak boleh diraikan tambahan ketiga-tiga parti pun kini memayungi Kerajaan PN yang ada.

Rakyat jelata khususnya umat Melayu Islam sedang menaruh harapan yang tinggi pada kita, kerana mereka telah muak dan bosan dengan PH yang didominasi DAP dan konco-konconya. Mereka yakin hanya MN yang mampu menyelamat dan melindungi mereka kerana itu janganlah harapan itu dipersiakan lantaran kegagalan kita bertolak-ansur.

Umat Melayu Islam dan kaum Bumiputera sebagaimana diperakui PM baru-baru ini masih jauh ketinggalan dalam sektor ekonomi sedangkan mereka merupakan majoriti penduduk dalam negara. Kepada siapakah mereka mahu bergantung harap selain MN, maka fikirkanlah nasib mereka itu.

Masa untuk berpolitik, berebut kuasa dan cantas-mencantas sudah tiada. Jangan diulangi amalan PH sehingga kuasa di tangan terlerai dan masing-masing tersembam ke bumi.

PAS, Umno, BERSATU serta rakan-rakan kita yang lain termasuk dari Sabah dan Sarawak perlu merintis jalan damai, rakyat dahagakan kestabilan dan kemakmuran. 

Lalu menjadi tanggungjawab kita untuk membuktikan pada mereka yang permuafakatan kita mampu dan memiliki keupayaan untuk memberikan pada mereka apa yang mereka inginkan itu.

Jangan sekali-kali membuka ruang pada pihak musuh untuk mengadu-domba dan mencerai-beraikan kita kerana mereka sendiri telah gagal dan tiada lagi masa depan. Jika kita berjaya sampai bila-bila mereka tidak akan mampu bangkit lagi.

Dinamik politik Malaysia hari ini membentuk politik baru meninggalkan jauh politik rasis, ekstremis dan perjuangan peribadi. 

Politik baru ini hanya mampu dibawa dan diperjuangkan mereka yang ikhlas dan teguh jati diri. Di saat ini kualiti itu hanya ada pada MN. Maka pimpinlah sebaiknya politik baru ini hingga berjaya.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 20/8/2020

- Advertisement -