Hijrah jalan kemenangan

- Advertisement -

TARIKH hijrah Rasulullah S.A.W dipilih sebagai tarikh bermulanya kalender Hijrah. Mengambil kira betapa pentingnya peristiwa hijrah sehingga orang Islam berjaya membentuk sebuah Kerajaan Islam tulen pertama di Yathrib, lalu ditukar nama menjadi Madinah al Munawwarah.

Hijrah itu bukan pelarian, hijrah itu bukan lepas tangan, hijrah itu bukan pengecut apatah lagi hijrah itu bukan lah meninggalkan dunia demi akhirat semata-mata. Secara istilah hijrah itu ialah peristiwa perpindahan Nabi Muhammad S.A.W dari Makkah ke Madinah. 

Namun hijrah ini bukan perpindahan yang biasa, Abu Bakar R.A mengajar kita erti pengorbanan, gelang emas Raja Parsi bukan angan-angan dan hari ini kerana hijrah ini juga, kita semua memeluk Agama Islam. Tidak dinafikan tiada ketetapan berkenaan sambutan Maal Hijrah tapi adanya penghayatan yang besar dalam pembentukan sesebuah negara untuk diambil iktibar.

- Advertisement -

Setelah 22 bulan memerintah, sekali lagi kita melihat kerajaan bertukar tangan. Bukan kerana musuh yang kuat mahupun kerajaan yang lemah tapi kerana ada di antara meraka yang keliru dan salah menafsir erti hijrah sehingga membenarkan kemungkaran dan menidakkan yang Haq. 

Lupakah mereka mana mungkin kebenaran boleh bersama dengan kebatilan. Tidakkah mereka sedar dari kemenangan yang sekejap itu, tidak kiralah kerajaan mana yang memerintah selagi mana hijrah itu bukan ke arah kebaikan, maka ia pasti ke arah kehancuran. Tiada yang terkecuali.

Saban tahun kita mengadakan sambutan Awal Muharram atau Maal Hijrah. Saban tahun juga kita menceritakan perihal hijrah dan pengajaran. Namun bersediakah kita mengukur tahap hijrah kita sebagaimana yang sabda Rasulullah:

“Orang yang berhijrah itu adalah dengan meninggalkan larangan Allah S.W.T.” 

Akhir kata, jangan kita leka ketika COVID-19 masih mengganas di luar sana, sentiasa patuhi SOP yang telah ditetapkan. Ini waktu kita berjuang, menyambung amanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W. Maka bersempena dengan tema Maal Hijrah 1442H Ummah Rabbani Negara Harmoni. Marilah kita melakukan hijrah besar-besaran ke dalam diri agar panji Islam kembali memerintah. 

“Islam Memimpin Perpaduan

Yang benar,

YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Pesuruhjaya PAS Negei Terengganu
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 20/8/2020

- Advertisement -