Konvoi Anak Merdeka suntik patriotisme

- Advertisement -

KUALA KANGSAR: Ahli Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dari PAS serta kakitangan MPKK telah bersama-sama memeriahkan majlis perasmian Konvoi Anak Merdeka, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Program yang bermula jam 8 pagi itu bermula dengan perbarisan anggota penguat kuasa diikuti bacaan doa, ucapan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan diakhiri dengan pelepasan peserta konvoi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Zulqarnain Mohamad dalam ucapannya menyebut, tujuan program konvoi ini adalah bagi menzahirkan tema Hari Kemerdekaan ‘Malaysia Prihatin’ pada tahun ini.

Menurut Zulqarnain lagi, ia juga bagi melahirkan semangat patriotik warga MPKK dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat wabak COVID-19.

Wakil Ahli MPKK dari PAS, Azalan Mohamad Radzi ketika ditemui mengajak masyarakat turut sama memeriahkan perayaan bulan kemerdekaan dengan mengebarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing.

Di samping itu, Azalan berharap masyarakat dalam Parlimen Kuala Kangsar, Padang Rengas dan Sungai Siput mengambil inisiatif untuk menganjurkan program sambutan bulan kemerdekaan di komuniti masing-masing tanpa mengabaikan SOP terkini.

Konvoi tersebut melibatkan laluan sejauh 20 kilometer disertai oleh 21 pengayuh basikal, 29 penunggang motosikal, beberapa kenderaan rasmi MPKK, kenderaan pembersihan, kenderaan penguat kuasa dan kenderaan syarikat swasta.

Turut hadir ialah ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman dan ADUN Manong, Mohamad Zuraimi Razali serta wakil Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar, Noor Anizah Mansor.

Juga wakil Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Inspektor Amalina Azman, Ketua-ketua Jabatan dan Ahli-ahli Majlis. – HARAKAHDAILY 14/8/2020

- Advertisement -