Dakwah dalam sukan agenda DACS Perak

TAMBUN: Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Negeri Perak sentiasa optimis dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk mendekati anak muda khususnya melalui sukan tanpa meninggalkan aspek penting dakwah.

Advertisement

Menurut Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait, pihaknya sentiasa menjenamakan sukan sesuai dengan dakwah agar ia sentiasa relevan dan diterima segenap masyarakat.

“Kita boleh berhibur, bersukan (tetapi) kena ikut acuan Islam. Pengamalan nilai Islam ini sentiasa sesuai diamalkan walau dalam apa jua keadaan pun tidak terkecuali sukan futsal iaitu sukan yang kita adakan malam ini,” ujarnya.

DACS Pemuda PAS Perak buat julung kalinya menganjurkan perlawanan futsal persahabatan antara DACS FC dan Pemuda Armada bertempat di Xtreme Park, Ipoh di sini baru-baru ini.

Selain itu, Pengarah DACS Malaysia, Ustaz Hafez Sabri dalam ucapannya turut menyatakan keyakinan bahawa kesedaran masyarakat khususnya peminat sukan terhadap kewajipan beragama perlu diletakkan di tahap tertinggi.

“Inilah cara kita mendekatkan mereka (pemain) kepada Islam, kita letak syarat-syarat dari segi pemakaian, tingkah laku dan banyak lagi supaya nilai Islam itu dapat diterap dengan baik.

“Hal ini penting sebagai usaha pendekatan kepada pendekatan Islam yang sebenar dan (turut) menyempurnakan tanggungjawab seorang Muslim antaranya menutup aurat, tidak mengeluarkan kata-kata kesat demi mengeratkan persaudaraan sesama kita,” tegasnya.

Berdasarkan rekod, DACS Malaysia bersama DACS Selangor, Perak, Kedah, Johor dan Pahang telah menjayakan beberapa siri kolaborasi sukan dakwah pada tahun 2019 bersempena Piala FA dan Piala Malaysia.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, turut menyatakan harapan bahawa dakwah sukan ini bakal dilebarkan bersama peminat MotoGP, hoki, ragbi, badminton dan banyak lagi di masa hadapan. – HARAKAHDAILY 14/8/2020