Usaha lonjak sosioekonomi B40 – PM

Imej daripada BERNAMA
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melonjakkan kedudukan sosioekonomi rakyat khususnya bagi golongan B40 dan M40 menerusi budaya keusahawanan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, untuk mengatasi peratusan pengangguran yang meningkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan komited meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat melalui platform tertentu.

- Advertisement -

Jelasnya, pada tahun lalu, kadar pengangguran Bumiputera adalah 3.7 peratus berbanding purata nasional sebanyak 3.3 peratus.

Manakala, bagi suku kedua 2020, kadar pengganguran Bumiputera meningkat sebanyak 5.2 peratus berbanding purata nasional 5.1 peratus.

Katanya, insiden kemiskinan Bumiputera lebih tinggi berbanding kaum Cina dan India iaitu 7.2 peratus, 1.4 peratus dan 4.8 peratus.

Tambahnya, pada tahun 2015, pemilikan ekuiti dalam Bumiputera dalam sektor korporat juga merundum iaitu sebanyak 16.2 peratus, manakala bukan bumiputera dan pegangan asing masing-masing sebanyak 30.7 peratus dan 45.3 peratus.

Tuntasnya, dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Majlis Kemakmuran Negara dapat mempercepatkan lagi usaha untuk memperkasakan ekonomi khususnya Bumiputera.

“Saya memutuskan supaya unit peneraju agenda Bumiputera menjadi agensi penyelaras utama pembangunan sosioekonomi Bumiputera.

“TERAJU akan jadi penyelaras tunggal bagi pangkalan data Bumiputera merentas kementerian, agensi dan Cawangan Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, Bumiputera akan diberikan lonjakan berganda menerusi pembentukan budaya keusahawanan pelbagai peringkat untuk menjadikan Bumiputera sebagai bangsa usahawan.

“Budaya keusahawanan ini akan terus dipupuk secara bersepadu melalui peranan pelbagai agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tekun Nasional serta agensi-agensi mandat Bumiputera.

“Selain itu, lonjakan berganda dalam pendidikan dan modal insan akan terus diperhebat, khususnya dalam kalangan keluarga B40 dan M40 Bumiputera,” ujarnya.

Tambahnya, Bumiputera juga akan menikmati pemberian biasiswa, program pemupukan dan pembangunan serta bimbingan kepada modal insan.

Malah, sasaran pencapaian Bumiputera bagi setiap kementerian, jabatan, agensi dan GLC serta perolehan ekuiti dan aset strategik akan dimantapkan.

Jelasnya, kerajaan komited untuk menjayakan agenda Bumiputera melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia ke 12 (RMK12) yang akan dibentangkan pada awal tahun hadapan.

Muhyiddin (Bersatu-Pagoh) berkata demikian bagi menjawab soalan Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) berkenaan langkah-langkah kerajaan bagi meningkatkan ekonomi Bumiputera khususnya yang semakin ramai menganggur tanpa menyalahkan bangsa lain. – HARAKAHDAILY 13/8/2020

- Advertisement -