K’jaan teliti tubuh semula JKMMS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneliti kewajaran untuk menubuh semula Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS).

Katanya, penubuhan semula itu bertujuan untuk memartabatkan lagi sistem perundangan Syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Menurutnya, JKMMS pernah ditubuhkan sebelum ini, namun terhenti selepas pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kerajaan pernah menubuhkan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) pada ogos 2017 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

“Walau bagaimanapun, jawatankuasa ini telah pun terhenti akibat pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Oleh itu, kerajaan sedang meneliti kewajaran untuk menubuh semula jawatankuasa ini,” katanya ketika sesi pertanyaan Menteri (MQT) di dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Tan Sri Dato’ Seri Noh omar (BN-Tanjung Karang) yang meminta penjelasan berhubung hasrat kerajaan untuk menubuhkan suatu jawatankuasa bagi menstruktur semula pentadbiran dan prosedur yang diguna pakai Mahkamah Syariah bagi menaik taraf perkhidmatan, serta integriti institusi tersebut.

Berkata Dr Zulkifli, sebarang usaha untuk menstruktur semula pentadbiran dan prosedur yang diguna pakai Mahkamah Syariah seluruh negara bagi menaik taraf perkhidmatan serta integriti perlu mendapat pandangan dan persetujuan daripada Kebawah Duli yang Maha Mulia atau Duli Yang Maha Mulia Sultan/Raja setiap negeri selaku ketua agama serta pihak berkuasa agama kerajaan negeri yang berautoriti.

Selain itu, katanya perbincangan dalam Persidangan Ketua-Ketua Hakim Syarie Seluruh Malaysia dan Mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah perlu dibuat bagi tujuan penyeragaman pentadbiran.

“Inisiatif-inisiatif berbentuk inovasi juga telah diperkenalkan bagi mempercepatkan penyelesaian kes dan kelancaran pengurusan pentadbiran mahkamah antaranya seperti e-Bicara, e-Faraid, Program Perceraian Secara Fast Track di Selangor, Program Sifar Kes Tertunggak (SIKET) di Wilayah Persekutuan, E-Syariah Instant Access Procedure (e-Siap) di Pulau Pinang dan pengenalan sistem i-Tray dan i-Post di Terengganu bagi mempercepatkan penyerahan dokumen dan perintah mahkamah,” ujar Dr Zulkifli lagi.

Tambahnya, berhubung tempoh penyelesaian sesuatu kes di Mahkamah Syariah bergantung kepada pelbagai faktor, sama ada dari pihak Mahkamah Syariah, pihak Peguam Syarie mahupun pihak-pihak dalam kes itu sendiri.

“Usaha-usaha proaktif telah dilakukan oleh Mahkamah-Mahkamah Syariah melalui penguatkuasaan Arahan Amalan, Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan setiap kes diselesaikan dalam tempoh masa yang munasabah,” jelasnya.- HARAKAHDAILY 13/8/2020

- Advertisement -