Bekalan makanan negara dipastikan mampan, stabil

Ronald Kiandee - imej daripada BERNAMA
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerangka Sekuriti Makanan Negara (KSMN) merupakan parameter yang mampan dan holistik selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) dan Sustainable Development Goals (SDGs).

Pada 25 Mac yang lalu, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKKDSMN) telah dibentuk dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bagi merangka hala tuju sekuriti makanan negara yang lebih menyeluruh dan stabil.

- Advertisement -

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerangka ini mengambil kira semua faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi sekuriti makanan negara.

Katanya, jawatankuasa tersebut melibatkan sesi pertemuan bersama pelbagai pihak berkepentingan bagi bermusyawarah mencari jalan penyelesaian yang melibatkan isu sekuriti makanan negara.

“Sejak Jawatankuasa Kabinet ini ditubuhkan, beberapa sesi libat urus telah diadakan bersama pemain industri, para akademia, badan bukan Kerajaan (NGO) di peringkat kementerian termasuk mesyuarat bersama Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) bagi membincangkan isu-isu dan cabaran utama sekuriti makanan negara.

“Kemudian, pada 14 Julai yang lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara juga diadakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menambah, Kerangka Sekuriti Makanan Negara (KSMN) merangkumi empat komponen utama yang selaras dengan konsep terkini yang diterbitkan oleh Food Agriculture Organisation of the United Nations (FAO).

“Ianya ialah ketersediaan (availability), akses (accesibility), penggunaan (utilization), serta kestabilan dan kemampanan (stability and sustainability),” kata Ronald.

KSMN turut disokong oleh pelbagai strategi iaitu strategi utama, sokongan dan pemboleh ubah daya yang akan memberikan impak positif kepada pelbagai faktor penting dalam negara.

“Strategi tersebut bertujuan untuk memberikan tumpuan kepada faktor politik, sosial, ekonomi, alam sekitar dan teknologi.

“Ianya merangkumi aspek guna tenaga, kelestarian dan kemampanan sumber, perubahan iklim, pelaburan, kajian dan pelbagai lagi,” jelasnya.

Ujarnya, setiap komponen tersebut akan diuruskan oleh empat kluster di bawah Sekretariat Kementerian tertentu bagi mengoptimumkan keberkesanan untuk setiap satu darinya.

“Kluster Ketersediaan diurus selia oleh Sekretariat Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), di bawah pengurusan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Seterusnya, Kluster Kemampuan dikendalikan oleh Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), di bawah kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Kemudian, Kluster Keselamatan diseliakan oleh Sekretariat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK), di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Dan Kluster Kestabilan dan Kemampanan diuruskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan itu sendiri,” jelasnya.

Ronald (Bersatu-Beluran) menjawab soalan Dato’ Haji Salim Sharif (BN-Jempol) berkenaan status dan perkembangan terkini Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara dan kerangka dasarnya bagi memastikan kemampanan dan kestabilan bekalan makanan negara. – HARAKAHDAILY 13/8/2020

- Advertisement -