KM Tok Bali bantu kawal ancaman luar

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Penempatan Kapal Maritim Tok Bali (KM Tok Bali) di perairan Kelantan yang membabitkan kawasan seluas 27,637 kilometer persegi dapat mengurangkan beban tugas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk mengawal sebarang bentuk ancaman dari pihak luar.

Maritim Malaysia Kelantan dalam kenyataan di sini berkata, kapal berkenaan yang mula beroperasi dan ditempatkan di Pangkalan Tok Bali pada 1 Ogos lepas, dilengkapi dengan peralatan moden dan terkini untuk tugas-tugas penguatkuasaan, keselamatan eksplorasi dan eksploitasi perairan Kelantan yang kaya dengan hasil gas asli serta petroleum.

“Kehadirannya di sini lebih bermakna memandangkan perairan Kelantan merupakan kawasan yang bersempadan dengan negara Thailand dan Vietnam yang turut mempunyai tuntutan bertindih,” menurut kenyataan itu.

- Advertisement -

KM Tok Bali adalah salah satu daripada pakej enam buah kapal generasi baharu yang bernilai RM400 juta, yang dilengkapi dua buah enjin berkuasa 1920 kw, berukuran 45 meter panjang dan 7.7 meter lebar, dan ia mampu belayar dengan kelajuan 24 knot yang dilengkapi dengan dua buah enjin.

Selain itu KM Tok Bali yang dibina oleh syarikat tempatan dan direka bentuk mengikut kehendak dan kesesuaian perairan negara  juga turut berkemampuan untuk beroperasi di laut selama 10 hari dengan 41 anak kapal.

“Kehadiran aset baru terhadap maritim Kelantan  akan memperkasakan lagi penguatkuasaan Undang-undang Persekutuan,” kata kenyataan itu. – BERNAMA

- Advertisement -