Jangan mulakan bersalam tangan – Dr Rosni

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKPP), Dr Rosni Adam menasihati rakyat Malaysia, terutamanya ahli PAS agar membiasakan diri dengan norma baharu rentetan pandemik Covid-19.

Menurut beliau, dalam menghadapi musim Mesyuarat Agung Tahunan PAS yang tentunya memerlukan perjumpaan secara fizikal, beliau menasihati ahli-ahli PAS supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

- Advertisement -

Katanya, arahan-arahan yang dikeluarkan KKM bukanlah sesuatu perkara yang sukar untuk dipatuhi, rakyat hanya perlu memakai pelitup muka, kekalkan penjarakan fizikal, basuh tangan dengan betul atau gunakan pembasmi kuman.

“Kalau boleh dalam program-program, jangan mulakan bersalam, ‘start’ sorang nanti dia akan berlarut-larut, nanti dia akan rasa bersalah untuk menolak dan sebagainya.

Sebolehnya kita ikut arahan yang diberikan, insya-Allah itu adalah salah satu usaha dan ikhtiar kita, dan kemudian baru kita boleh bertawakal dengan Allah SWT dengan usaha yang kita lakukan. Insya-Allah akan lebih bermakna tawakal kita itu kepada Allah SWT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily di Mesyuarat Agung Tahuan PAS Kawasan Bandar Tun Razak, baru-baru ini di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi.

Sementara itu, beliau turut menyeru kepada muslimat PAS untuk meneruskan Gelombang Akifi dan Munajat dalam program mingguan supaya dapat bersama-sama berdoa agar Allah SWT mengangkat bala atau wabak yang menyerang Malaysia ketika ini.

Baru-baru ini, Malaysia sekali lagi bingit apabila muncul Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga yang dipercayai merupakan mutasi D614G di mana berisiko meningkatkan kebolehjangkitan Covid-19 lebih 10 kali ganda dalam kalangan mereka yang tidak mematuhi SOP. – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -