Tidak kompromi sebarang elemen gangsterism

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan sebarang elemen gangsterism, termasuk tindakan mereka yang mengugut mana-mana pemberi maklumat berkaitan kes jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata demikian semasa merujuk kejadian pemilik Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, yang mendakwa beliau diugut gangster susulan pembongkarannya mengenai aktiviti perjudian di Sungai Buloh, baru-baru ini.

“Saya tidak boleh terima elemen gangsterisme yang berlaku kepada dia (Mohd Asri) atau sesiapa sahaja yang berkongsi maklumat mengenai kegiatan jenayah,” katanya.

- Advertisement -

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman di Mes Pegawai Kanan di Bukit Aman, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Mohd Asri bahawa beliau dihubungi oleh individu mengaku ‘ayahanda’ yang tidak berpuas hati dengan perbuatannya mendedahkan kegiatan judi di Sungai Buloh, yang tular di media sosial.

Pada majlis itu, Timbalan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Shukri Abdullah dilantik memangku jawatan sebagai pengarah, selepas Datuk Seri Rosli Ab Rahman bersara wajib hari ini.
 
Sementara itu merujuk kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor yang dijangka bersara tidak lama lagi, Hamid berkata calon penggantinya akan diputuskan kerajaan nanti.

“Sebenarnya beliau (Mazlan), dari awal bulan ini sudah pun membuat persediaan dan bersedia dengan apa juga keputusan kerajaan, tetapi untuk persaraan memang dia sudah bersedia.

“Beliau adalah seorang peguam yang belajar di England, dan mempunyai pengalaman yang lama dalam Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman dan juga pernah berkhidmat di peringkat bawah daerah, negeri,” katanya.

Bernama difahamkan PDRM akan mengadakan Majlis Serah Terima Tugas bagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara di Bukit Aman esok. 

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat Mazlan yang dijadual menamatkan perkhidmatan pada 14 Ogos ini. – BERNAMA

- Advertisement -