Terengganu bantu usahawan pasca Covid-19

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu amat prihatin dan mengambil berat masalah rakyat termasuk bantuan kepada 144 usahawan di negeri ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, bantuan kerajaan negeri melalui Tabung Pemulihan PKS Terengganu Covid-19 dengan peruntukan sebanyak RM4 juta diuruskan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

- Advertisement -

“Di bawah tabung ini seramai 144 usahawan terjejas akibat pandemik Covid-19, diberi pembiayaan mudah tanpa riba dengan peruntukan lebih RM1.5 juta.

“Manakala, sebanyak RM292,000 sedang dalam proses pembayarannya dan akan diberi dalam masa terdekat ini.

“Prosesnya dipermudahkan tanpa memerlukan penjamin dari pihak peminjam,” ujarnya ketika menjawab soalan lisan Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi (PAS-Batu Burok).

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, selain itu bantuan kerajaan Persekutuan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang berjumlah RM240 bilion turut dimanfaatkan.

Katanya, bantuan kerajaan Persekutuan itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam pakej PRIHATIN.

“Pertama, RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat. Kedua, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

“Ketiga, RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi. Keempat, pakej rangsangan ekonomi rakyat (PRIHATIN) untuk PKS bernilai RM10 juta,” jelasnya.

Menjawab soalan tambahan ADUN Batu Burok, selain dari bantuan kewangan, kata Mohd Nurkhuzaini (PAS-Kota Putera), terdapat beberapa penangguhan bayaran oleh usahawan berkenaan.

“Kerajaan negeri memberi penangguhan sewa premis khususnya yang berada di bawah YPU selama dua bulan dengan jumlah sewaan berjumlah RM463,340.00 yang melibatkan seramai 90 penyewanya.

“Kedua, penangguhan bayaran pembiayaan selama dua bulan yang melibat 206 peminjam dengan jumlah bayaran balik RM183,282.00 serta beberapa permohonan lain,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya pihak kerajaan negeri dan YPU sendiri akan meneliti dan menilai permohonan mereka untuk dipertimbangkan.

“Apa yang kita (kerajaan) laksanakan sekarang ialah menilai keutamaan kepada mereka yang terjejas itu. YPU menilai berdasarkan jumlah pekerja daripada PKS kita.

“Kita juga menggalakkan usahawan kita mendapatkan bantuan daripada kerajaan Persekutuan khususnya, melalui bantuan Perkeso,” ujarnya..

Menurutnya, hampir 100 peratus usahawan di negeri ini yang terlibat dengan Covid-19, terjejas yang berlaku di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 11/8/202

- Advertisement -