Penswastaan 6,000 tapak parkir

MBKT kutip hasil hampir RM1 juta setahun-Exco Dr Alias

Exco Kerajaan, Dr Alias Razak, MBKT rugi bersih setiap tahun sejak 2016. (Foto KHAIRUL AZALAM MOHAMAD)
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu diberitahu, rasionalnya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menswastakan tempat parkir kereta kerana mengalami kerugian bersih ratusan ribu setiap tahun sejak 2016.

Justeru, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak, pihak MBKT telah menswastakan 6,000 tempat parkir di bandaraya ini.

- Advertisement -

Menurutnya, melalui penswastaan parkir itu MBKT bakal mendapat pulangan sebanyak hampir RM1 juta setahun.

“MBKT telah menswastakan tempat letak kereta berbayar atau parkir bahu jalan bermula 1 Julai 2020 lalu.

“Rasionalnya, kerana sejak tahun 2016 lagi MBKT mendapat hasil RM3.79 juta tetapi dibelanjakan sebanyak RM3.96 juta, kerugian bersih sebanyak RM170 ribu.

“Tahun 2017 (hasil) sebanyak RM3.72 juta, belanja RM4.2 juta dan kerugian RM484 ribu. Tahun 2018 pula hasilnya RM3.20 juta, belanja RM4.05 juta dan rugi sebanyak RM850 ribu dan pada tahun 2019, kerugian bersihnya sebanyak RM918,000 dengan hasil RM2.72 juta dan belanja RM3.63 juta.

“Ini kerana, sistem yang masih digunakan telah berusia 20 tahun dan digunakan secara manual, banyak yang rosak kerana usia dan vandalisme,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Kijal), pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Soalan asalnya, apakah benar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan menswastakan tempat letak kereta berbayar, dan namakan syarikat yang terlibat serta apakah rasionalnya hendak diswastakan.

Alias (PAS-Bukit Tunggal) menjelaskan, sistem parkir yang digunakan sekarang telah berusia 20 tahun dan banyak yang rosak serta tidak efisyen.

Malah katanya kos untuk membaiki yang rosak sahaja pihak MBKT perlu perbelanjaan sebanyak RM9 juta.

Oleh itu, menurut Alias, MBKT telah mengambil satu inisiatif untuk menaik taraf sistem parkir yang lebih moden termasuk mempunyai aplikasinya.

“Dengan penswastaan ini akan memberi pulangan yang tetap kepada MBKT setiap tahun sebanyak hampir RM1 juta.

“Semua kos penyediaan dan penyelenggaraan itu ditangguh 100 peratus oleh pihak syarikat konsesi dan MBKT tidak mengeluarkan belanja satu sen pun untuk kosnya,” jelas beliau.

Katanya, MBKT menerima permohonan dari enam buah syarikat yang akhirnya konsesi itu diberikan syarikat Vista Summerose Sdn Bhd, yang telah membuat operasi di DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu, Kelantan.

“Kerajaan negeri (Terengganu) mengambil inisiatif memperbaharui sistem manual kepada digital dengan penjimatan melalui penswastaan.

“Langkah ini lebih efisien dan memberi untung tetap kepada MBKT serta kerajaan negeri tidak dibebankan dengan caj servis.

“Daripada 70 orang kakitangan, 34 kakitangan dikekalkan dan 36 yang lain diserapkan ke jabatan lain, serta pihak pengurusan swasta berkenaan namun, masih kekal berstatus kakitangan kerajaan yang tetap dan berpencen,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2020

- Advertisement -