YPU cuba ‘pikat’ perniagaan emas

Exco Kerajaan, Mohd Nurkhuzaini, YPU cuba ‘pikat’ perniagaan emas. (Foto KHAIRUL AZLAM MOHAMAD)
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) cuba mencari sumber pendapatan bagi mengelak kebergantungan berterusan kepada kerajaan negeri dengan menceburi perniagaan emas.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, penglibatan awal ini bagi mengelakkan kebergantungan berterusan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan fungsi dan tanggungjawab YPU.

- Advertisement -

Menurut beliau, usaha sedang dinilaikan sekiranya baik untuk menjadikan pendapatan kepada kerajaan negeri, akan dibentangkan di masa akan datang.

“Perniagaan (emas) ini diusahakan oleh sebuah syarikat Terengganu Metal Ex-Trade Sdn Bhd (TMEx). Pegangan saham YPU dalam TMEx adalah sebanyak 20 peratus dan modal berbayar syarikat itu RM1 juta,” ujarnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Nurkhuzaini (PAS-Kota Putera) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh), yang bertanyakan sejauh manakah kebenaran YPU telah menceburi perniagaan emas untuk membantu pendapatan kerajaan negeri.

Menjawab soalan tambahan Hishamuddin, tentang kajian terkini dapatan emas bagi negara dan negeri, katanya perniagaan emas itu mempunyai masa depan yang cerah kerana harga semakin meningkat.

“Dalam masa wabak Covid-19 ini, kita lihat harga emas sekarang ini mencecah harga tertinggi dalam sejarah emas itu sendiri.

“Masa depan perniagaan emas juga mempunyai masa depan yang cerah. Insya’Allah, YPU akan cuba mendalami dan mendapatkan maklumat terkini.

“Kita (YPU) akan melangkah lebih serius lagi dalam hal ini berdasarkan perkembangan semasa,” jelasnya.

Beliau memberitahu dewan bahawa modal berbayar YPU dalam syarikat tersebut sebanyak RM1 juta dengan pegangan saham 20 peratus bernilai RM200,000.

Katanya, semalam harga emas mencapai harga tertinggi dalam sejarahnya sendiri bernilai RM275.51, meningkat lagi berbanding RM274.96 kelmarin. – HARAKAHDAILY 11/8/2020

- Advertisement -