PAS BM lulus usul tanding DUN Machang Bubuk

- Advertisement -

BUKIT MERTAJAM: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Bukit Mertajam (BM) Kali Ke-36 telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Pondok Turath, Juru, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Para perwakilan secara majoriti telah sebulat suara menyokong untuk meluluskan usul supaya PAS bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi kerusi N.14 DUN Machang Bubuk.

Persetujuan itu diperoleh selepas usul dibawa oleh PAS cawangan Taman Impian dan cawangan Cherok Tokkun dibentangkan Ketua Penerangan PAS Bukit Mertajam, Azmi Jamri dibahaskan.

“PAS Cawangan Taman Impian dan Cherok Tokkun mengusulkan supaya PAS Kawasan Bukit Mertajam mempertahankan kerusi yang ditandinginya pada PRU14 yang lalu iaitu DUN Machang Bubuk,” ujarnya menegaskan matan usul itu.

Perwakilan daripada PAS Cawangan Taman Impian, Faizul Yazan Saad@Hamid ketika membahaskan usul ini menyatakan sokongan untuk bertanding atas faktor PAS telah mengalahkan undian diperolehi Barisan Nasional pada PRU-14 tempoh hari.

Sehubungan dengan itu, pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Bukit Mertajam, Hussein Sazlan Ghazali meminta kerjasama dari seluruh ahli agar sama-sama membantu dalam gerak kerja pilihan raya.

“Saya berharap agar semua memberi sokongan dan menghulurkan bantuan dalam membentuk jentera pilihanraya nanti.

“Jangan hanya menyokong ketika ini, sedangkan bila diputuskan bertanding nanti hanya berapa orang sahaja yang bertungkus lumus menggerakkan jentera,” ujar beliau.

Terdahulu, Yang DiPertua PAS Bukit Mertajam, Norazman Ishak menegaskan arahannya untuk seluruh Jentera Pilihan Raya PAS Bukit Mertajam menghidupkan bilik gerakan dan menyusun strategi kemenangan di DUN itu.

Manakala perasmi MAT tersebut iaitu Ketua Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajudin Abu Bakar menyentuh penegasan supaya menjaga disiplin dan kebergantungan kepada Allah.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian anugerah penyertaan SkimPAS, langganan Harakah dan keahlian PAS teramai. – HARAKAHDAILY 11/8/2020

- Advertisement -