Musa’adah Covid-19: Bantu sudut spiritual

Datuk Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Tabung Musa’adah Covid19 bukan sahaja menyampaikan bantuan berbentuk material, malah turut menyalurkan bantuan berbentuk kaunseling syar’ie dan terapi psikospiritual Islam.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, agensinya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), mengambil langkah proaktif menubuhkan Bilik Gerakan My Care CoV19 bagi membantu menguruskan emosi rakyat rentetan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

- Advertisement -

“Modus operandi Bilik Gerakan My Care CoV19 ini ialah sedaya upaya untuk memeluk emosi golongan yang terjejas akibat PKP tanpa mengira kaum dan agama melalui khidmat nasihat dan bimbingan kaunseling yang diberikan kepada mereka,” ujarnya.

Tambah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, My Care CoV19 ini juga turut menghubungi kumpulan sasar yang dicadangkan beberapa kementerian seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), serta Kementerian Wilayah Persekutuan (KPW).

“Bilik Gerakan My Care Cov19 merupakan talian khidmat nasihat bagi isu-isu kekeluargaan, kemasyarakatan dan kerohanian termasuk khidmat kaunseling syariah terapi psikospiritual Islam, ‘ilaj syarie yang dibuka kepada masyarakat awam tanpa mengira kaum dan juga agama,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, pagi semalam.

Nilai bantuan yang dibelanjakan menerusi program Musa’adah Covid19 sehingga 30 Julai lalu telah mencecah sehingga RM269.8 juta dengan penerima manfaat sekurang-kurangnya 500,000 individu di seluruh Malaysia.

Bantuan tersebut disalurkan dengan merangkumi golongan asnaf fakir miskin, golongan B40, gelandangan, golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), masyarakat Orang Asal, para pelajar serta petugas barisan hadapan termasuk komuniti bukan Muslim. – HARAKAHDAILY 11/8/2020

- Advertisement -