PRN Sabah tak akan berlaku?

prn

DUA peristiwa penting bakal berlaku di Sabah pada 17 Ogos ini. Pertamanya ialah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan membuat keputusan sama ada tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah boleh dibicarakan di mahkamah atau tidak, dan seterusnya membuat keputusan sama ada tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah itu adalah mengikut undang-undang atau tidak.

Peguam Besar Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh, yang mewakili Kerajaan Negeri Sabah, berhujah bahawa tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah tidak boleh dicabar di mahkamah manakala Tengku Fuad Ahmad yang mewakili Tan Sri Musa Aman dan 32 ADUN lain berhujah bahawa tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah boleh dicabar.

Advertisement

Keduanya ialah Suruhanjaya Pilihan Raya dengan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusinya, Dr Azmi Sharom, akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan PRN Sabah, khususnya yang berkaitan dengan penetapan hari penamaan calon dan hari pengundian, pada jam 9 pagi hari sama di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu.

Tetapi jika Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membuat keputusan bahawa tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah boleh dibicarakan di mahkamah dan bahawa tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah itu adalah bercanggah dengan undang-undang, maka PRN Sabah pastilah tidak perlu dilangsungkan.

Dan, pada hemat saya, terdapat asas-asas kuat yang memungkinkan hujah bahawa tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah boleh dibicarakan di mahkamah dan hujah bahawa tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah itu adalah bercanggah dengan undang-undang diterima oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. Begitupun, sama-sama kita tunggu apa yang bakal berlaku seterusnya.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 8/8/2020

PENAFIAN:

HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.