Bangsa Malaysia: Perspektif Undang-Undang

Penasihat Undang-Undang Universiti Malaysia Perlis, Dato’ Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Bangsa ialah satu istilah popular sering disalah tanggapi dengan kumpulan etnik.

Penasihat Undang-Undang Universiti Malaysia Perlis, Dato’ Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, salah tanggap itu mengakibatkan ada suara keras yang menentang penggunaan istilah bangsa Malaysia.

- Advertisement -

Sehinggakan, kata beliau ada pihak melabelkan penggunaan istilah itu sebagai pendokong ‘Malaysian Malaysia DAP’.

“Begitulah sikap yang ada dalam segelintir kumpulan yang lebih berhujah menggunakan persepsi tanpa bersandarkan maksud bangsa dari sudut epistemologi.

“Kegusaran mereka terhadap istilah bangsa Malaysia begitu tidak menentu seolah-olah mereka lahir sebelum Malaysia ditubuhkan. Rata-rata yang dilihat begitu tegar menentang istilah bangsa Malaysia ialah mereka yang dilahirkan selepas 16 September 1963, selepas Malaysia terbentuk,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan satu perkara pokok yang perlu difahami ialah apabila Perjanjian Malaysia 1963 ditandatangani, maka lahirlah bangsa Malaysia yang dilandaskan pada prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Dari sudut epistemologi, katanya suatu bangsa itu tidak terikat pada darah keturunan, perbezaan etnik atau ras.

Menurutnya, bangsa dan ke’bangsa’an itu ialah kewarganegaraan atau kerakyatan.

“Pada satu sisi lain, Malay’sia’ berakar pada ‘Malay’ iaitu Melayu, dan Malaysia dirujuk sebagai gugusan kepulauan Melayu atau Tanah Melayu dalam wilayah Alam Melayu.

“Sering dibangkitkan bahawa warganegara kita terdiri daripada bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India dan lain-lain bangsa. Untuk menyatakan bangsa Melayu itu warganegara Malaysia jawabnya, tidak salah kerana bangsa Melayu ialah warganegara Persekutuan Tanah Melayu yang bersekutu dengan Anak Negeri Sabah dan Anak Negeri Sarawak untuk membentuk ‘supra-nation’ Malaysia,” jelasnya.

Menurut Wan Ahmad Fauzi, bangsa Melayu ialah rakyat Raja Melayu yang dikenali berkuatkuasa pada 1 Februari 1948 sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

Ianya, kata beliau, terdiri daripada orang Melayu dan orang Asli sebagai bangsa asal serta kaum-kaum lain yang diterima sebagai warganegara atau kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu.

Manakala, katanya bangsa Cina ialah warganegara China begitu juga bangsa India merupakan warganegara India.

“Pada hari ini bangsa Malaysia, bangsa Cina dan bangsa India menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBBB). Manakan mungkin bangsa asing iaitu bangsa Cina dan bangsa India layak menjadi warganegara Malaysia kerana undang-undang negara kita menghalang dwi-kewarganegaraan.

“Namun begitu, etnik berketurunan Cina atau India boleh menjadi bangsa Malaysia pada hari ini jika mereka adalah warganegara Malaysia,” ujarnya.

Kata Wan Ahmad Fauzi lagi, orang Melayu kekal dalam Perlembagaan Persekutuan dengan tafsiran yang jelas di bawah Perkara 160 (2) dan merujuk kepada rakyat Raja Melayu yang beragama Islam sebelum 1 Februari 1948.

Menurut beliau, orang Melayu sehingga kini hidup dalam negara bangsa Malaysia yang mendokong elemen watan tanah air seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai warganegara Malaysia, kita mesti bersikap ‘inklusif’ dalam masyarakat majmuk dengan mendukung prinsip keluhuran perlembagaan.

“Atas asas ini bangsa Malaysia perlu ditakrifkan dan semangat kebangsaan Malaysia perlu dipupuk. Bangsa Malaysia mempunyai jati diri tersendiri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jati diri bangsa Malaysia berasaskan watan Tanah Melayu, Anak Negeri Sabah dan Anak Negeri Sarawak sejauh mana dinyatakan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan di negeri masing-masing,” ujarnya.

Katanya, jati diri bangsa Malaysia terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, antara lain mewajibkan setiap ahli bangsa terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik, agama dan keturunan untuk mendukung enam perkara tersebut.

“Pertama, Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Kedua, Institusi Beraja sebagai tonggak pemerintahan. Ketiga, kebebasan beragama bagi bukan Islam yang tertakluk pada peruntukan undang-undang.

“Keempat, amalan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kelima, kedudukan tulisan Jawi terpelihara, dan keenam, hak serta kepentingan warganegara seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing,” jelasnya.

Justeru, kata Penasihat Undang-Undang Universiti itu bangsa Melayu dan bangsa Malaysia ada dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, begitu juga anak negeri Sabah dan anak negeri Sarawak.

“Sungguhpun bangsa itu berkait rapat dengan ‘state-defined’ (ditentukan negeri), namun istilah bangsa atau ‘nation’ mempunyai akar lebih kuat kerana hubungannya dengan watan sesebuah negara.

“Lantaran itu terpancarlah ‘nationhood’ (bangsa) dan ‘nation state’ (negara bangsa). Meskipun kewarganegaraan (citizenship) sudah bersifat ‘legal status’ namun ‘nation’ dan ‘nationality’ merangkumi aspek kewarganegaraan dan hubungan dengan watan sebuah negara yang berdaulat.

Oleh demikian, kata beliau, negara bangsa terasaskan pada dua elemen iaitu kewarganegaraan dan hubungan erat dengan watannya.

“Sama-samalah kita eratkan perasaan muhibbah dan saling menghormati sesama warganegara kerana kita bangsa Malaysia, iaitu bangsa tanah dan gugusan kepulauan Melayu yang kini dihadkan dalam kewilayahan politik semasa, Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Malaysia sebagai sebuah negara bangsa wajib mempertahankan elemen watannya seperti yang dijelaskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2020

- Advertisement -