Sektor pertanian sumbang KDNK Terengganu

- Advertisement -

LAPORAN Sosioekonomi Negeri Terengganu 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa ekonomi Terengganu mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik dari 2.5 peratus pada 2018 kepada 3.3 peratus pada 2019. Laporan ini menyebut bahawa peningkatan ini didorong oleh peningkatan yang dicapai dalam sektor perkhidmatan dan pertanian. 

Sektor pertanian Terengganu sendiri merekodkan pemulihan kepada 6 peratus berbanding prestasi pada tahun 2018 hanya berada pada paras -2.5 peratus.

- Advertisement -

Angka negatif semua orang tak suka. Malah saya sedar ketika mengambil alih teraju sektor pertanian negeri pada Mei 2018, kita tak diberikan banyak harapan. Sebelum buat kerja lagi, orang dah kata bahawa pertanian adalah bidang orang gagal. Bajet Negeri Terengganu 2019 untuk sektor pertanian hanya RM2 juta lebih sahaja. Bayangkan kita nak bekerja bagi membangunkan sektor pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani meliputi sebuah negeri dengan bilangan rakyat 1.2 juta berbekalkan bajet yang tak sampai pun RM3 juta.

Saya tak rasa lemah malah jauh sekali nak rasa kecewa. Tapi menganggap semua ini adalah cabaran. Walk the talk! Itulah prinsip saya. Kalau orang lain tak memberikan keyakinan kepada kita, maka kita jangan bercakap tapi bekerja dan terus bekerja dengan keyakinan kepada kemampuan diri sendiri serta doa dan tawakal kepada Allah.

Strategi disusun bagaimana kita nak bangunkan ekonomi Negeri Terengganu berasaskan pertanian. Inilah bidang di mana majoriti rakyat Terengganu berada. Lahirlah ‘Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019 – 2023’. Pelan inilah yang menggariskan rangka kerja besar sektor pertanian Negeri Terengganu.

Saya bersama team pertanian negeri bekerja dari awal pagi sehingga menjelang dinihari, 7 hari seminggu. Menjelajah ke segenap pelosok negeri. Laut, pantai, pulau, sawah, ladang, kebun, padang ragut, hutan, sungai, tasik, kolam, kampung, pekan dan bandar. Bertemu segenap kelompok rakyat. Menerima dan menganalisa setiap permasalahan serta isu-isu di lapangan. Pulang ke pejabat bermesyuarat bagi merangka strategi. Semangat kerjasama team pertanian Terengganu sangat terpuji. Saya menghargai semua bakti dan budi. 

Akhirnya dalam tempoh setahun, data dan angka telah mengiktiraf pencapaian kita. Sektor pertanian telah menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi Negeri Terengganu bersama sektor perkhidmatan. 

Syukur kepada Allah, pohon yang ditanam telah mula mengeluarkan buah. Kita tak boleh nak terus mengkhayalkan rakyat dengan wangi bunga-bungaan sepanjang masa. Sampai masa rakyat nak makan buah dan bertanya di mana buahnya?

YB DR AZMAN IBRAHIM 
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri TerengganuHARAKAHDAILY 8/8/2020

- Advertisement -