Kluster Sivagangga: Nila setitik, rosak susu sebelanga

- Advertisement -

PERIBAHASA Melayu lama sangat indah. Diambil bahan-bahan di sekeliling, termasuk apa diperhatikan lalu dijadikan peribahasa. Ia sangat mudah untuk difahami.

Nila berwarna biru atau ungu. Susu berwarna putih. Untuk dapatkan susu yang diperah sehingga penuh sebelanga tidak mudah. Alih-alih setitik nila tertumpah ke dalam belanga dek kerana nila itu degil mendekati belanga susu, sedangkan tempat nila bukannya di situ. Akibat dari nila itu, susu tidak dapat diminum.

Pandemik COVID-19 belum berakhir. Sebelum ini bila mendengar tiada kes penularan tempatan berturut-turut, hati dah mula seronok. Namun bila muncul kluster dan kes baru, perasaan seronok hilang.

- Advertisement -

Sudah beberapa bulan, setiap jam 5 petang, Datuk Dr Noor Hisham, Ketua Pengarah Kesihatan, berbuih mulut mengingatkan mengenai SOP yang mesti dipatuhi. Namun kuarantin di rumah nampaknya kurang menjadi. Sebahagian rakyat Malaysia seolah-olah perlu masa lebih lama untuk lebih berdisiplin.

Saya teringat almarhum guru saya, Dr Nuh Ali Salman al-Qudha pernah menyebut:

ما ثبت في الطب ضرره، ثبت في الشرع تحريمه

“Perkara yang pasti melalui bidang perubatan mudaratnya, pasti pada syarak haramnya.”

Contohnya, pemandu mabuk yang menyebabkan kematian. Minum arak haram. Memandu dalam keadaan mabuk juga haram kerana memudaratkan orang lain.

Dalam kes kluster Sivagangga, individu yang sepatutnya kuarantin di rumah gagal mematuhi arahan. Akibatnya, hingga kini TEMCO terpaksa dilakukan di Kubang Pasu dan Padang Terap. Aktiviti keagamaan di masjid, surau, keluar masuk kawasan berkenaan, perniagaan, persekolahan dan lain-lain terjejas.

Lihat, akibat ambil mudah dan acuh tak acuh dari seorang, berapa ramai yang terpaksa menanggung akibatnya.

Kalau menurut kaedah di atas, bermakna haram individu yang sepatutnya kuarantin di rumah, keluar sebelum tamat tempoh. Mungkin kaedah itu boleh dibahas, dibincang dan diperhalusi lagi, tetapi yang pasti, akibat dari kedegilan seorang, banyak aktiviti dilarang dan ramai yang berang.

Mujurlah Ketua Pengarah Kesihatan cool sahaja, menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri. Namun yang jelas, dari sudut syarak, individu yang degil untuk kuarantin hingga menyebabkan kemudaratan kepada banyak pihak lain sepatutnya bertanggungjawab di atas sikapnya.

Nila telah merosakkan susu. Harga susu tidaklah murah. Adakah nila perlu membayar kos harga susu? Tanyalah pihak yang berkenaan.

USTAZ NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 4/8/2020

- Advertisement -