Mana janji nak tolong PAS?

- Advertisement -

PAS seperti yang kita maklum adalah sebuah jemaah yang mengandungi di dalamnya aktiviti-aktiviti berpolitik, dakwah, kebajikan dan banyak lagi. Semuanya itu duduk di bawah payung agama Islam. Apabila berpolitik, maka PAS akan mensasarkan politik yang akan menjulang Islam. Bilamana berdakwah, PAS akan mengembangkan kefahaman tentang Islam. Jika menghulurkan bantuan, PAS akan memastikan nama Islam akan disebut sebagai acuan kerja-kerja PAS itu.

- Advertisement -

Hasrat dan cita-cita PAS ini sering kedengaran dan difahami bahawa ianya semua mesti berlandaskan Islam. Ini kerana kepercayaan yang segala usaha itu jika kena dengan hukum, betul dengan niat, maka ia akan diberikan Allah ganjaran pahala. Oleh sebab itu, orang-orang PAS dengan beraninya mengeluarkan duit yang walaupun miskin, bersedekah bagi menjayakan segala rancangan yang baik, atas nama Islam.

Sewaktu kita semua membantu kerja-kerja PAS dahulu, sering berjumpa dengan sekumpulan manusia yang menyokong PAS, tetapi lebih banyak mengkritik kepada perjalanan program atau aktiviti. Banyak sahaja perkara yang dirasakan tidak berkenan di mata mereka. Itu tidak kena, ini tidak betul. Apabila mahu diserahkan kerja-kerja itu untuk mereka ambil alih, akan ada pula alasan-alasan lain yang diberikan.

Kebanyakan mereka ini adalah pekerja-perkerja yang makan gaji. Tidak kiralah sama ada kerajaan atau swasta. Kadang kala ada juga yang berniaga sendiri. Jawapan mereka hampir sama terutama yang makan gaji, mereka akan aktif membantu setelah bersara nanti. Dan bagi peniaga, mereka berjanji akan memberikan lebih banyak bantuan apabila mendapat laba yang lebih di masa hadapan.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun bertukar tahun. Sampailah masa mereka semua itu ke umur bersara. Apa yang berlaku, mereka semakin sibuk. Sibuk melayani cucu-cucu, melebihi ‘baby sitter’ yang bergaji. Mereka tidak sempat turun membantu jemaah, mereka juga kurang masa ke surau bagi menuntut ilmu. Mereka lemas dalam dakapan cucu mereka. Suka benar mereka berjuang dengan cucu mereka. Lupa semua janji-janji dulu.

Golongan ini akan sentiasa ada, pada semua zaman dan keadaan. Mereka sibuk mengkritik, mahukan yang terbaik, tetapi tangan diletakkan di belakang punggung. Lagak mandur di ladang. Kecerdikan mereka ialah untuk menghentam jemaah. Bila tidak bersetuju, mereka akan menjauhkan diri, takut nanti kalah atau salah, mereka bukan dalam senarai yang dipersalahkan. Ayat biasa mereka, “Kan aku dah kata dulu..”

Apa sahaja yang tidak berkenan, mereka akan kritik. Itulah tugas mereka. Ketika menang, mereka kritik, ketika kalah, apatah lagi, makin sedaplah mereka berkomentar. Kehadiran mereka pada banyak keadaan akan meruntuhkan semangat berkerja ahli-ahli jemaah yang lain. Bagi mereka, jemaah mestilah sentiasa tepat dan betul. Tidak boleh diterima sebarang kesalahan.

Melalui kecerdikan mereka juga, banyak keputusan jemaah ditentang mereka. Pelik juga sebab banyak pula keputusan jemaah yang dilawan itu betul, tetapi tetap mereka kritik. Tidak cukup dengan itu, kadang-kadang dipulaunya pula program-program jemaah. Amat payah berhadapan dengan golongan sebegini. Merasa diri mereka bijak.

Apabila bercakap tentang agama, mereka juga tahu, lebih tahu daripada alim ulamak. Bagaikan semua persoalan mereka mesti dijawab pimpinan dahulu. Kena puaskan hati mereka dahulu, baru boleh diluluskan keputusan itu. Ia menjadi terbalik, sepatutnya ahli bawahan yang mahu mencadangkan sesuatu mesti memuaskan hati alim ulamak agar kena dengan hukum hakam sebelum dipersetujui.

Bila ada ijtihad yang tidak berkenan di hati mereka, maka gegak gempitalah mereka. Diambillah dari mana-mana sahaja alasan, kritikan atau lawan kepada hujah ijtihad itu. Sedangkan umum mengetahui menuruti alim ulamak dalam ijtihad tidaklah berdosa, apatah lagi berkenaan hal politik yang amat luas kefahamannya. Semua orang tahu jika salah ijtihad, tetap berpahala satu.

Ia bukan menyuruh jemaah mengikut jalan yang haram. Seperti membenarkan orang Islam berjudi tanpa sebab, minum arak tanpa darurat, berzina atau membunuh tanpa alasan syarak. Tidak pernah disuruh begitu oleh pimpinan. Itulah baru haram hukumnya jika disuruh. Tetapi ia melibatkan beberapa perubahan yang terpaksa dibuat kerana maslahah yang timbul hasil daripada perubahan keadaan semasa.

Imam Syafie pernah mengeluarkan pandangan yang berbeza setelah beliau hidup di tempat yang berlainan. Oleh itu ada qaul jadid dan ada qaul qadim dalam mazhabnya. Dalam qaul jadid beliau, waktu solat maghrib hanyalah beberapa ketika sahaja, bukan sejam 12 minit seperti sekarang. Tetapi kita tetap mengambil qaul qadim beliau untuk jangka waktu Maghrib. Mungkin ramai yang tak sempat solat Maghrib jika mengambil qaul jadid beliau yang pendek itu.

Begitulah juga politik. Alhamdulillah, saya mempercayai dengan sepenuh hati pimpinan PAS dalam membuat keputusan. Saya juga tahu, bukan semua keputusan mereka betul, kerana kelemahan sebagai manusia pasti ada. Tetapi kesungguhan dalam mencari satu keputusan yang terbaik kepada Islam itulah insyaAllah yang akan membuahkan pahala. Jika mahu berdebat untuk membuat keputusan, biarlah di dalam mesyuarat. Berkelahilah dan biarkan juga sesama yang alim sahaja berlawan.

Sebab itu almarhum Dato’ Ustaz Harun Taib berpesan, jika ada yang mahu berbalah terutama tentang perkara furuk, maka jangan dilayan. Sama juga dengan keputusan jemaah. Kita sudah menyerahkan kepada kepandaian pimpinan untuk membuat keputusan, kita patuh dan taat. Tidak patut kita juga menyibuk mahu membuat keputusan sedangkan kita bukan pemimpin. Wala’ bukan menjadi candu kepada jemaah, tetapi wala’ itulah yang menjadi racun berbisa kepada musuh jemaah yang ingin kita berpecah.

Ketika golongan anti Islam menuduh wala’ dalam Islam itu candu, mereka dalam masa yang sama mahu sahaja menghukum sesiapa yang melawan mereka. Lihat sahaja parti-parti politik yang lain, apabila sesuatu keputusan telah dibuat, maka mereka juga tidak mahu dikritik. Ahli mesti patuh kepada keputusan parti. Kesetiaan sebegitu tidak mengapa pula bagi mereka? Mana suara kebebasan?

Apatah lagi sekarang, terlalu ramai ‘cerdik pandai’ yang mengkritik pimpinan setelah keputusan dibuat. Sebebasnya mereka mengetuk papan kekunci meluahkan isi hati. Benar-benar mereka lupa contoh beberapa tahun lalu, sekumpulan yang mengaku cerdik pandai yang menghina kepimpinan PAS konon mereka profesional dan bijak, sekarang kelihatan amat bodoh di mata rakyat. Bukan sahaja lawan, bahkan penyokong mereka sendiri sekarang sudah ramai yang berpaling. Malu dengan ‘kecerdikan’ mereka itu.

Percayalah, bukan kemenangan yang memuliakan kita di hadapan Allah. Itu semua hanyalah ujian untuk melihat sejauh mana kerja buat kita untuk Islam. Jadi, jika kita kata kita mesti sentiasa betul kerana membawa Islam, itu adalah satu kesilapan. Kita akan hadapi salah dan silap. Itulah sebenarnya kemanisan dalam berjuang. Kita buat, kita bina, kita betulkan, kita sempurnakan dan kita istiqamah di atas jalan itu.

Maka kepada golongan yang mahu membantu PAS dahulu, mana janji anda? Adakah anda hanya memikirkan kesempurnaan tanpa mahu melihat sebarang kesilapan dalam jalan juang ini? Jika itu yang anda fikirkan, anda hanya menipu diri anda sendiri. Kami ada salah dan silap dan kami akan sama-sama menanggung kesilapan ini untuk diperbaiki. Kami berani memikulnya untuk Islam. Jika kami benar, kami bersyukur dan jika kami khilaf, kami memohon keampunan dari Allah. Oleh itu, jika anda mahu membantu jemaah, bantulah sekarang, ketika masih lapang. Menunggu saat lain, takut nanti anda tidak mampu lagi.

Saidina Abu Bakar berkata orang yang lemah itu adalah kuat di sisi beliau. InsyaAllah Islam akan dibangunkan melalui golongan yang lemah tetapi sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kerana kebergantungan mereka kepada Allah amat kuat. Bukannya dari golongan yang sentiasa merasa benar, gagah dan kuat, takut nanti kerana merasa kuat merekalah Islam itu naik. Ingat kisah Perang Hunain? Nauzubillah.

MOHD NASIR ABDULLAH
18 Julai 2020 – HARAKAHDAILY 18/7/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -