KOTA BHARU:Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) akan membuat permohonan kali ketiga untuk dinaik taraf sebagai kolej universiti.
Ketua Eksekutifnya Prof Dr Ab Aziz Mohd Zin berkata, dua permohonan yang dihantar sebelum ini ditolak kerajaan biar pun semua syarat dan ketetapan sudah dipenuhi KIAS.
“Sejarah ini sudah lama, sudah dua kali dibuat supaya status KIAS dinaikan kepada status kolej universiti.
“Tetapi kedua-dua permohonan sebelum ini ditolak. Kita tidak tahu kenapa ditolak, mungkin mereka melihat dari sudut kelemahan sahaja,” katanya di sini.
Oleh itu katanya dengan perubahan kerajaan di peringkat persekutuan sekarang KIAS akan membuat persiapan untuk buat permohonan kali ketiga.
Menurutnya juga kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi akan mengetengahkan hasrat tersebut kepada kerajaan baharu di bawah Perikatan Nasional (PN).- HARAKAHDAILY 17/7/2020