KP PAS ziarah keluarga mendiang Yougan

- Advertisement -

IPOH: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khiruddin menziarahi keluarga Ketua Pemuda Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Perak, mendiang Yougan Mahalingam di Tambun, di sini semalam.

- Advertisement -

Beliau yang diiringi Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait, dalam ucapannya menzahirkan rasa dukacita dan penuh simpati kepada seluruh keluarga mendiang di atas kehilangan anak, abang serta sahabat tercinta.

“With deepest condolences, saya ucapkan buat seluruh keluarga mendiang Yougan. Saya faham, kita semua di sini merasai kesedihan kehilangan beliau. Malah, mendiang adalah merupakan seorang pejuang dan pendokong perjuangan PAS.

“Mendiang adalah seorang yang sangat aktif dan sangat komited berbakti kepada rakyat. Saya berharap seluruh keluarganya dan kita semua mampu bertahan dan bersabar diatas kehilangan susuk tubuh berjasa ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, jurutera muda yang berasal dari Kampung Manjoi itu turut menyatakan harapan agar PAS Perak sentiasa memberikan perhatian kebajikan kepada keluarga mendiang.

“Kita berharap PAS Perak boleh sentiasa membantu keluarga mendiang kerana sumbang bakti yang telah diberikan mendiang Yougan semasa hidupnya tiada tolok banding,” ujar Ir Khairil.

Terdahulu, keluarga mendiang turut diziarahi oleh pimpinan harian PAS Perak antaranya Pesuruhjaya, Setiausaha dan Ketua Penerangan PAS Perak, Razman Zakaria, Ustaz Akmal Kamarudin dan Ustaz Hafez Sabri serta lain-lain. – HARAKAHDAILY 18/7/2020

- Advertisement -