Dua usul bakal panaskan Dewan Rakyat esok?

- Advertisement -

ADA DUA usul yang dijangka akan menghangatkan sidang Dewan Rakyat esok. Satunya ialah usul ke-2 di mana Perdana Menteri akan mencadangkan:

- Advertisement -

“Bahawa Dewan Rakyat ini mengambil ketetapan untuk Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof mengosongkan jawatannya atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Tuan Yang di-Pertua.”

Satu lagi ialah usul ke-3 di mana Perdana Menteri akan mencadangkan:
“Saya mohon mencadangkan bahawa Yang Berbahagia Datuk Azhar bin Azizan @ Harun dipilih menjadi Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih.”

Usul ke-2 dijangka akan hangat kerana parti-parti pembangkang pastilah akan mempersoalkan kewajaran untuk menukar Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof di pertengahan penggal tatkala beliau dikatakan mempunyai prestasi cemerlang dan tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Sekiranya usul ke-2 lulus, parti-parti pembangkang juga dijangkakan akan cuba menonjolkan nama calon mereka sendiri sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi menyaingi nama Datuk Azhar.

Menariknya, walaupun kem BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad dan kem WARISAN kini telah membentuk blok bebas yang berasingan dari blok PH, mereka kelihatan masih sekata dalam isu pengekalan dan pencalonan baru Yang di-Pertua Dewan Rakyat ini.

Terdapat kebimbangan bahawa ada Ahli Parlimen tertentu dari MN yang akan sama ada tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat atau menentang mahupun berkecuali di dalam usul ke-2. Begitupun adalah dijangkakan bahawa usul ke-2 tidak akan menghadapi masalah untuk diluluskan.

Sekiranya usul ke-2 tidak diluluskan sekalipun, kedudukan Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan PN pimpinan beliau tidak akan terjejas kerana tiada di dalam mana-mana undang-undang yang menghendaki Perdana Menteri meletakkan jawatan jika usul beliau dikalahkan.

Malah di Malaysia sendiri pun pernah pada 9 April 2019 usul kerajaan untuk meminda Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan membabitkan kedudukan Sabah dan Sarawak gagal tetapi tidak memberikan apa-apa implikasi kepada kedudukan Tun Dr Mahathir dan kerajaan PH pimpinan beliau.

Begitupun, kebimbangan yang lebih nyata ialah untuk usul ke-3 membabitkan cadangan supaya Datuk Azhar dipilih menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengalami kekalahan kerana latar belakang beliau yang dipersoalkan oleh sesetengah Ahli Parlimen MN.

Begitupun jika sekalipun usul ini menemui kegagalan tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana Perdana Menteri boleh sahaja mencadangkan nama baru yang boleh dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen MN untuk undian seterusnya.

Peraturan 4 (1) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat Malaysia memperuntukkan bahawa “Tiap-tiap ahli yang hendak mencadangkan nama seorang ahli Dewan itu atau seorang yang layak dipilih menjadi ahli Dewan itu yang hendak dipilih jadi Tuan Yang di-Pertua, hendaklah mempastikan terlebih dahulu iaitu ahli itu suka berkhidmat jika ia dipilih, dan juga hendaklah memberitahu kepada Setiausaha dengan bersurat sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum mesyuarat.”

Begitupun, dengan kewujudan syarat 14 hari ini sekalipun, sekiranya usul ke-3 membabitkan cadangan supaya Datuk Azhar dipilih menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengalami kekalahan, tetap tiada masalah yang akan berlaku kerana masih ada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk melaksanakan tugas Yang di-Pertua Dewan Rakyat sementara jawatan itu diisi dalam tempoh 14 hari.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 12/7/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -