Hari Jawi: Jadikan ia agen penyatuan rakyat

- Advertisement -

HARI Jumaat yang diisytiharkan Kerajaan Persekutuan sebagai Hari Jawi adalah kempen tepat dalam mengembali dan mengangkat semula martabat tulisan tradisi dan kebudayaan masyarakat serta negara kita. Suatu ketika dahulu, ianya adalah tulisan rasmi dalam segala bidang baik pendidikan, ekonomi, politik, tadbir urus kerajaan, bahkan juga hubungan antarabangsa.

- Advertisement -

Ianya menjadi identiti tersendiri sebahagian dari tamadun dan ketinggian bangsa di Tanah Melayu dan rantau ini hingga pentadbiran baharu selepas Merdeka juga meletakkannya dijulang dalam Perlembagaan selepas tulisan Rumi. Jelas menunjukkan ia sebahagian kehidupan warganegara pertiwi tercinta ini yang asal usulnya tertegak oleh asas Melayu dan Islam.

Tetapi kita tidak harus lupakan polemik dan konflik yang pernah dicipta dan dimomokkan oleh mereka berhati dengki dan beragenda politik kotor apabila menjadikan tulisan Jawi sebagai propaganda Islamophobia. Tulisan Jawi dijadikan musuh, kecaman dan hasutan, sedangkan sejarahnya membuktikan ia agen penyatuan dan keharmonian.

Namun, cukuplah kita akui bahawa menghormati, merai dan menerimanya tanpa sangsi dan prejudis berkepentingan sempit, tidak akan menjadikan tulisan Jawi sebagai mangsa kebencian. Malangnya, ada mereka yang berkempen menolak dan mendesaknya untuk dianaktiri dan dijadikan asing.

Belajarlah, bahawa kekuatan kita adalah dari penyatuan, keharmonian dan kestabilan atas kepelbagaian unik yang wujud melibatkan rakyat majmuk dalam negara ini. Bara atau sentimen hanya menjurangkan kita, sedangkan melalui tulisan khat Jawi, hatta tulisan kali kaligrafi Cina dan Tamil sudah mampu mengeratkan kita.

Mari kita buang kebimbangan tidak berasas lagi negatif, sebaliknya melihat ke hadapan untuk kembali menegakkan negara kita dengan kemakmuran dan kesejahteraan hidup dengan segala unsur yang dapat mengharmoni, menyatu dan menguatkan kita.

Tulisan Jawi tidak harus dilihat dengan kaca mata perbezaan, kerana jika demikian, selamanya kaum dan bangsa lain juga akan menolak setiap hal kerana semua kita terlalu banyak perbezaan. Ambil usaha kerajaan ini sebagai satu kempen agar kita semua dapat mencapai kehidupan yang dihajati di dunia ini.

HAFEZ SABRI
Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun – HARAKAHDAILY 12/7/2020

- Advertisement -