Realism, pragmatism ancam ketulenan harakah

realism
- Advertisement -

TEKNOLOGI yang mempengaruhi

(1) Perbincangan mengenai Realism masih segar walaupun pemikiran ini sudah muncul sejak zaman Aristotle. Kemudian disegarkan oleh tokoh-tokohnya antara yang masyhur ialah Machiavelli.

Dalam tulisan lalu [1] saya menghuraikan secara ‘pasar’ mengenai realiti Realism yang menghiasi dimensi politik hari ini. Tujuannya supaya ia dapat difahami dengan mudah, dan ia juga tidaklah terlalu akademik.

Perbincangan antara Realism dan Neo Realism sangat penting pada hari ini. Seolah-olah ia seiringan dengan kemunculan generasi baru, globalisasi, persaingan teknologi dan sebagainya.

(2) Kita perlu sedar bahawa pemikiran atau ideologi sangat bersangkutan dengan realiti semasa. Hari ini munculnya persaingan 5G dan sudah ada bunyi-bunyi mengenai kemunculan 6G.

Hari ini juga sudah ada Ai, Big Data, Real-Time Surveillance dan macam-macam lagi teknologi yang menghala kepada IR4.0. Dari segi ekonomi sudah berubah kepada dimensi ekonomi yang baru, termasuk juga mata wang Crypto.

- Advertisement -

(3) Kesimpulan daripada kesemua realiti ini, pastinya mempengaruhi corak pemikiran semasa masyarakat, khususnya di peringkat global. Ideologi manusia tertumpu kepada revolusi.

Apabila semua pemikiran tertumpu kepada revolusi, secara tak langsung mereka yang lambat boleh jadi terpalit dengan kejumudan, tidak mahu berubah, ataupun ketinggalan zaman.

Ia juga memberi kesan kepada ahli politik, parti politik, pemerintahan, perundangan dan sebagainya. Segala-galanya boleh jadi terjebak ke lembah revolusi, seperti dipaksa.

Langit yang terbuka

(1) Sebelum ini kita lihat dunia ini dihiasi dengan ideologi. Perang ideologi dilihat jauh lebih berkesan berbanding perang fizikal atau persenjataan. Mungkin hari ini ia berubah lagi.

Berubah ke arah perang penipuan yang boleh diertikan sebagai perang saraf. Perang saraf di era persaingan ideologi tidak sama dengan perang saraf di era penipuan.

(2) Selain perang saraf, kita fahami sebagai popaganda, dan senjatanya yang paling utama ialah media. Barat mengembangkan komunikasi media secara meluas kemudian disaingi oleh rantau Timur.

Asalnya kita dahulu kenal MIRC, Yahoo Messenger, Friendster dan Blog. Tetapi hari ini adik-adik kita kenal dengan Facebook, Twitter. Manakala anak-anak kita pula kenal Tiktok, Bigo dan sebagainya.

(3) Langit semakin terbuka, dan persaingan lebih rancak. Tekanan lebih tinggi melalui media-media sosial ini. Ideologi itu semakin berubah (revolusi). Orang yang ‘ketat’ dengan ideologinya mungkin akan berakhir.

Digantikan dengan keterbukaan, dan kebebasan yang lebih sukar dikawal. Realiti ini sangat meraikan ideologi atau sistem yang berteraskan kebebasan. Seperti Liberalism, Realism, Pragmatism, Populism, Demokrasi, Kapitalism dan sebagainya.

(4) Pasaran ideologi yang berteraskan kepada kebebasan akan semakin laku dan mendapat tempat. Masing-masing akan bersaing mengemukakan ideologi masing-masing.

Ideologi yang berteraskan autokrasi bimbang semakin tidak mendapat tempat dan tidak laku. Di sinilah cabaran utama bagi gerakan Islam yang berteraskan elemen kepatuhan (wala’),& kepercayaan (thiqah) dan sebagainya.

Realism VS Wala’ (Kesetiaan)

(1) Umat Islam sering dihidangkan dengan kewajipan mengikut sahaja ketetapan Islam dan jangan banyak berfikir. Hakikatnya hidangan ini kelihatan Islam, walhal bukan.

Ia lebih kepada kesan yang dialami daripada ketidakfahaman, menjaga kepentingan orang tertentu, keghairahan untuk populis dan sebagainya. Pendek ceritanya tertiru dengan budaya zaman Dark Ages.

(2) Fikrah Islamiyyah perlu dibentangkan secara betul. Apabila orang-orang ‘berkepentingan’ mula diberi tempat untuk memuntahkan suaranya yang berkepentingan, maka akan wujudlah istilah penunggangan agama.

Contohnya istilah wala’ dibentangkan secara salah, hanya bertujuan untuk menjaga survivalnya. Inilah ancaman Realism terhadap ahli gerakan Islam. Apabila Islam itu diperguna untuk memelihara survival orang tertentu.

(3) Wala’ sepatutnya perlu disandarkan kepada Allah dan Rasul. Sekiranya seseorang yang berkepentingan itu bercanggah dengan Allah dan Rasul, maka tiada kesetiaan terhadapnya.

Maka, istilah ini perlu dibentangkan secara betul. Supaya ia tidak dijadikan modal oleh orang tertentu untuk memelihara survival politiknya semata-mata (Realism).

(4) Wala’ bukanlah bermaksud kesetiaan yang membabi buta. Wala’ adalah kesetiaan yang jelas batas-batasnya. Iaitu tahu beza antara kesetiaan terhadap ‘peribadi’ atau kesetiaan terhadap Islam.

Kesetiaan terhadap peribadi seseorang pastilah ada kepentingan-kepentingan untuk diraih. Akan tetapi kesetiaan terhadap Islam adalah demi meraih kepentingan Islam.

Realism VS Thiqah

(1) Selain daripada wala’, ada lagi istilah-istilah yang dijadikan modal untuk beberapa orang mendapatkan kepentingan peribadinya, bukan kepentingan Islam. Segalanya bertitik tolak kepada Realism dan Pragmatism.

Orang yang ikhlas sering kali dijadikan macai, dengan dipersembahkan ayat-ayat ‘thiqah’. Thiqah bermaksud kepercayaan. Thiqah seolah-oleh dihidangkan sebagai kewajipan ahli.

Iaitu ahli mesti thiqah dengan pimpinan. Itulah ayatnya. Ayat ini juga digunakan oleh segelintir penganut Realism dan Pragmatism untuk memperolehi kepentingan peribadinya.

(2) Imam Sa’id Hawwa R.A menulis di dalam دروس في العمل الاسلامي [Gambar] bahawa thiqah itu bukanlah berbentuk paksaan seperti ‘kamu kena thiqah dengan aku’, kerana aku ini pimpinan.

Sebaliknya thiqah itu adalah sesuatu yang lahir secara semulajadi oleh seseorang terhadap orang yang dipercayainya. Ya, kepercayaan itu bukan boleh dipaksa-paksa.

(3) Seseorang yang melakukan sesuatu tindakan yang boleh mengikis kepercayaan orang lain terhadapnya, itu adalah salah dia. Kepercayaan orang terhadap kita bermula dari diri kita sendiri, bukan dengan memaksa orang lain.

Penganut Realism dan Pragmatism biasanya akan menggunakan istilah thiqah untuk memaksa orang lain mempercayai dirinya sekalipun dia sendiri tidak menjaga kepercayaan orang terhadapnya.

Biarlah thiqah itu lahir dari hati sanubari orang lain terhadap kita. Janganlah kita menggunakan Populism semata-mata untuk meraih kepercayaan itu kerana lambat laun ia akan malap juga. Jadilah seorang yang jujur.

Berkepentingan

(1) Apa yang saya lontarkan di atas ialah gambaran bagaimana keterbukaan teknologi dan kebebasan berideologi pada hari ini memberi kesan terhadap gerakan Islam dan pendukung-pendukungnya.

Ia menjadi satu penyakit yang tidak ditemui oleh mereka yang malas mengkaji bab ideologi. Pembinaan fikrah juga menjadi keperluan bagi berhadapan dengan ideologi-ideologi ini.

(2) Rata-rata kita agak jelas mengenai konsep tarbiyyah yang melahirkan jiwa-jiwa yang cekal dan kental. Tetapi kadangkala kita terlepas pandang konsep pembinaan fikrah untuk jelas memahami gangguan ideologi luar terhadap jemaah ini.

Pemikiran itu sentiasa berkembang, dan bercambah. Kerangka berfikir ini berbeza-beza setiap orang. Ahli gerakan Islam kadangkala melihat dirinya itu Islam, dan Islam itu adalah dirinya.

Maka, orang itu akan cuba bersaing untuk mendapatkan pengaruh, kerana merasa yakin bahawa aku mesti berada di puncak untuk membawa jemaah dengan cara yang betul. Hakikatnya betulkah apa yang difikirkan itu?

(3) Mereka yang menganggap dirinya Islam dan Islam itu adalah dirinya, kadangkala terjerat dengan Realism dan Pragmatism. Mereka menggunakan segala saluran demi menjaga survival politiknya.

Atas alasan dirinya itulah Islam. Menjaga survival politiknya dianggap sebagai menjaga Islam. Lalu, menipu itu akan cuba dihalalkan dan membolot jawatan itu akan cuba dikatakan untuk menjaga maslahah.

Dalam hal ini, kita perlu sedar siapa diri kita. Perlu bezakan kepentingan peribadi dan kepentingan jemaah. Itu lebih penting bagi menjarakkan diri kita dengan Realism dan Pragmatism.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 12/7/2020

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3981773078531089/?d=n

- Advertisement -