Kebajikan atlet Para SUKMA diberi perhatian

- Advertisement -

IPOH: Sejumlah RM280,000 diperuntukkan bagi perbelanjaan pengurusan dan elaun atlet serta jurulatih Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) di bawah seliaan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Perak.

- Advertisement -

Jelas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed, elaun tersebut adalah inisiatif kerajaan sebagai galakan buat mereka yang terlibat untuk terus menyumbang pingat bagi mengharumkan nama negeri Perak.

“Pihak kerajaan menghargai dan mengambil berat kebajikan mereka yang terlibat terutama persiapan atlet dan jurulatih serta pengurusan mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,” jelasnya.

Beliau turut mencadang supaya Majlis Sukan Negeri Perak dapat menjalin kerjasama bersama JBS Perak dalam melatih dan membantu atlet Para sebagai persiapan bagi kejohanan itu.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak, Johari Sham Ahmad Shohor berkata, pihaknya mengambil baik cadangan tersebut dan akan berbincang dengan pihak terlibat dalam masa terdekat.

Insya-Allah, kita akan buat perbincangan demi kepentingan atlet para yang banyak menyumbang pingat kepada negeri Perak dari segi kepakaran jurulatih dan kemudahan fasiliti,” tambah beliau.

Menurut Penolong Pengarah (Sukan) Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Mohd Khairol Kamis, pihaknya bersedia bekerjasama dengan MSN dalam menyelesaikan masalah dan menambah baik kemudahan sedia ada di jabatan tersebut.

“Kalau kita lihat fungsi Majlis Sukan dan Jabatan Belia ini saling berkait rapat, mungkin kita boleh melihat dari segi program latihan, kita boleh berkongsi kepakaran. Kerana ada beberapa sukan, adalah sama antara Para SUKMA dan SUKMA,” jelasnya.

Bersemangat untuk mendapat pingat dan kedudukan yang lebih baik di Para SUKMA 2020, kebanyakan atlet telah mula berlatih seperti biasa selepas PKP Pemulihan dikuatkuasakan.

Jelas Pengurus Pasukan Para Renang Perak, Mahzan Mohsin, walaupun PKP dikuatkuasakan sejak Mac lalu, atlet tetap menjalankan sesi latihan kendiri di rumah dalam pemantauan jurulatih masing-masing.

Bagi atlet Para renang Perak, Mohammad Nur Alif Mohamad Tarmezam, kebanyakan atlet telah bersedia untuk bertanding dan sumbangan daripada kerajaan negeri sedikit sebanyak memberi motivasi buat mereka menyasarkan kemenangan di kejohanan tersebut.

“Sepanjang PKP, atlet berlatih sendiri di rumah dan hantar laporan kepada jurulatih. Jadi sejak PKPP dijalankan, kami mula berlatih seperti biasa di sini (Jabatan Belia dan Sukan Perak), dan kami juga berterima kasih atas peruntukkan yang diberikan,” tambahnya.

Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan memutuskan penganjuran Sukan Malaysia Johor SUKMA dan Para SUKMA Johor akan diadakan pada Mac dan April 2021 selepas ditangguhkan pada tarikh asal sekitar Ogos tahun ini.

Dalam lawatan sama, Khairul Shahril sempat beramah mesra bersama Pegawai dan kakitangan Majlis Sukan Negeri Perak sebelum menyampaikan elaun latihan kepada pengurus atlet para di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak. – HARAKAHDAILY 8/7/2020

- Advertisement -