Wabak bencana angkara tangan manusia – Ustaz Kamarudin

- Advertisement -

MELAKA:Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidik berkata wabak dan bencana yang berlaku di atas muka bumi ini sebenarnya adalah akibat tangan-tangan manusia sendiri.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di dalam program ‘Ceramah Agama Mingguan’ bertajuk ‘Wabak Menurut Perspektif Islam’ anjuran Majlis Agama Islam Melaka di auditorium Seri Negeri di sini pagi tadi.

Kamaruddin yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka itu juga membacakan firman Allah SWT dalam al-Quran Surah Ar-Rum, ayat 41 yang bermaksud:“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, (timbulnya yang demikian)kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

“Sebenarnya bukan semua kesilapan atau kesalahan kita Allah swt balas di dunia. Sebahagian kecil sahaja. Supaya manusia sempat bertaubat dan kembali kepada tuhan.

“Tuhan sebut ‘kerosakan’, dari perkataan Arab ‘fasad’ yang bermaksud ‘kerosakan’ ditafsirkan ulama dengan beberapa contoh. Antaranya taufan  yang membadai, bah besar yang menghancurkan harta benda, gempa bumi dan juga penyakit. Ini semua disebut ‘fasad’.” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, apabila banyak sangat berlaku di atas muka bumi ini kealpaan, kemaksiatan di kalangan manusia pada waktu itu manusia sebenarnya menunggu masa untuk sesuatu perkara yang menakutkan untuk berlaku ke atas sesebuah wilayah.

“Kita kena sedar bahawa bala itu tidak memilih manusia. Para ulama menafsirkan bahawa bala itu apabila ia turun ia meratai. Bala tak kenal orang yang baik atau yang jahat. 

“Sesuatu bala bencana dan musibah yang diturunkan Allah swt itu tidak mengira siapa. Sebab itu kita tengok bila berlaku Covid-19 ni orang yang kuat sembahyang pun kena. Yang baik kena, yang jahat pun kena”.

Beliau juga menyarankan agar umat Islam sentiasa menghayati kisah-kisah  bagaimana Allah swt menurunkan bala dan bencana kepada  umat-umat terdahulu akibat kekufuran mereka yang direkodkan oleh Allah swt di dalam Al Quran untuk dijadikan panduan kepada umat manusia pada masa sekarang.

Untuk rekod program ceramah mingguan yang turut dihadiri YAB Ketua Menteri Melaka, Dato’ Haji Sulaiman Md Ali ini adalah yang pertama kali diadakan semula setelah program ini tertangguh disebabkan peraturan ketat Perintah Kawalan Pergerakan kerana Covid-19 pada awal Mac lepas.- HARAKAHDAILY 3/7/2020

- Advertisement -