PAS Melaka kunjung hormat Ketua Menteri

- Advertisement -

AYER KEROH : Badan Perhubungan PAS Melaka telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali di Pejabat Ketua Menteri itu di Seri Negeri di sini semalam.

- Advertisement -

Rombongan yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sedik itu turut disertai oleh semua Ahli Jawatankuasa Dewan Harian PAS Melaka.

Kamarudin dalam sidang media selepas pertemuan itu, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sulaiman Md Ali di atas pelantikan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Menurut beliau lagi, PAS Melaka telah membentangkan beberapa cadangan untuk pertimbangan Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri dalam beberapa isu yang melibatkan kepentingan awam dan Islam.

“Berkaitan isu arak, PAS Melaka mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) membekukan lesen atau permit jualan arak di semua pusat hiburan, pasaraya, pasar mini, kedai serbaneka, kedai runcit, restoran dan kedai makan.

“Berkaitan isu judi, PAS Melaka mencadangkan semua PBT agar tidak mengeluarkan lesen atau permit perniagaan berbentuk perjudian.

“Berkaitan isu integriti, PAS Melaka mengingatkan kerajaan Negeri Melaka agar mengutamakan integriti di kalangan exco, penjawat awam, lantikan politik bagi mengembalikan keyakinan rakyat.

“Berkaitan isu birokrasi, PAS Melaka berharap agar Kerajaan Negeri Melaka dapat mengurangkan birokrasi antara rakyat dan agensi-agensi kerajaan tanpa mengira latarbelakang politik.

“Berkaitan isu ekonomi dan pentadbiran, PAS Melaka berpendapat Kerajaan Negeri Melaka perlu fokus kepada mensejahterakan ekonomi rakyat yang terkesan dengan PKPB-Covid-19 dan mempamerkan pentadbiran yang cekap, bersih dan amanah.

“Berkaitan isu Islam pula, PAS Melaka berpendapat Kerajaan Negeri Melaka harus mengutamakan sektor Agama Islam sebagai pemangkin dalam segala urusan kerajaan dan rakyat tanpa meminggirkan agama-agama lain.” ujar beliau.

Di dalam sidang media yang sama, Kamaruddin yang juga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka menegaskan bahawa PAS Melaka mendokong dan menyokong penuh Kerajaan Perikatan Nasional Melaka di bawah kepimpinan Datuk Haji Sulaiman Md Ali.

“Setakat ini dalam pengetahuan saya tidak ada isu wakil rakyat atau exco yang akan meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional Melaka. Kita ada 17 Adun dalam kerajaan sementara pembangkang pula ada 11 Adun. Bagi saya ia lebih kepada gimik semata-mata,” kata beliau lagi ketika menjawab soalan wartawan ketika ditanya tentang desas-desus keretakan politik yang dikatakan berlaku dalam Kerajaan Perikatan Nasional Melaka. – HARAKAHDAILY 4/6/2020

- Advertisement -