Penyakit menempel pada tokoh dan mengampu

- Advertisement -

ANTARA penerus legasi atau menempel

(1) Manusia itu apabila ingin menggilap nama sendiri atas dasar kepentingan dan pengaruh biasanya akan menempel pada seseorang lain yang berpengaruh. Berbeza dengan penerus legasi yang tiada kepentingan.

(a) Dua golongan ini jauh berbeza. Mereka yang ikhlas tidak perlukan sanjungan, tidak mengejar apa-apa kepentingan, biasanya tidak mengclaim ‘aku anak muridnya’ atau ‘akulah pengikut setianya’.

(b) Berbeza dengan orang yang berkepentingan inginkan nama. Pastinya terpaksa mengclaim ‘akulah orang kanannya’, dan sebagainya. Mengharap claimnya ini berjaya menaikkan namanya.

(2) Kedua-dua ini bergantung kepada hati. Antara keikhlasan, atau berkepentingan. Bukanlah sikap untuk menghukum seseorang berdasarkan hatinya, akan tetapi wajar berwaspada agar kita dijauhkan.

- Advertisement -

Marilah kita ambil ibrah (pengajaran) daripada kisah Iblis yang enggan tunduk hormat kepada Nabi Adam A.S atas dasar keegoannya. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Hijr:

فَسَجَدَ الْمَلَائِكَةُ كُلُّهُمْ أَجْمَعُونَ (30) إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ أَن يَكُونَ مَعَ السَّاجِدِينَ (31) قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا لَكَ أَلَّا تَكُونَ مَعَ السَّاجِدِينَ (32) قَالَ لَمْ أَكُن لِّأَسْجُدَ لِبَشَرٍ خَلَقْتَهُ مِن صَلْصَالٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ (33)

“(Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, (30) Melainkan Iblis; ia enggan turut bersama mereka yang sujud. (31) Allah berfirman: Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”. (32) Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.” (33)

Iblis yang ‘menempel’ pada material

(1) Huraian ayat ini disebut di dalam Tafsir Ruhul Ma’ani oleh Imam Alusi R.A bahawa;

وقد أخطأ اللعين حيث ظن أن الفضل كله باعتبار المادة وما درى أنه يكون باعتبار الفاعل وباعتبار الصورة وباعتبار الغاية بل أن ملاك الفضل والكمال هو التخلى عن الملكات الردية والتحلى بالمعارف الربانية

“Iblis yang dilaknat telah melakukan kesilapan iaitu menyangka bahawa kemuliaan itu kesemuanya hanya material dan apa yang dikenali dalam kapasitinya sebagai pelaku (siapa yang membuat), gambaran luaran dan matlamat. Bahkan sebenarnya kemuliaan dan kesempurnaan itu ialah membersihkan diri daripada perkara jelek dan menghiasi diri dengan pengetahuan-pengetahuan yang bersifat ketuhanan.”

(2) Selepas itu, Imam Alusi R.A menukilkan syair;

إن الفتى من يقول هاأنا ذا
ليس الفتى من يقول كان أبي

“Sesungguhnya pemuda itu mereka yang katakan, akulah ini. Bukanlah dinamakan pemuda mereka yang katakan dialah bapaku.”

(3) Apa yang boleh difahami daripada 3 ayat surah al-Hijr dan tafsiran oleh Imam Alusi menggambarkan bahawa perangai Iblis ialah menyandarkan kemuliaan dirinya pada materialnya, bukan pada kebenaran hujahnya.

Iblis menggunakan material dirinya untuk dijadikan alasan tidak perlu untuk mengikuti arahan Allah S.W.T untuk tunduk hormat kepada Nabi Adam A.S. Bahasa mudahnya, Iblis menempek kepada material.

(4) Dalam cerita Iblis ini, kita perlu faham bahawa material atau rupa paras atau keturunan seseorang itu bukanlah menjadi hujah bahawa ia membawa kebenaran, atau berada di pihak yang benar.

Akan tetapi kebenaran itu pada hujah yang benar. Mereka yang mempunyai keturunan yang baik baik atau rupa paras yang baik, bukan menjadi bukti bahawa mereka itu di pihak yang benar.

Rupa dan nama bukan kayu ukur kebenaran

(1) Kita boleh lihat bagaimana Allah S.W.T mengajar kita bahawa rupa paras seseorang itu bukan menjadi bukti orang di pihak yang benar;

وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ ۖ وَإِن يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ ۖ كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ ۖ

“Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki).”

(al-Munafiqun: 4)

(2) Ayat ini mengajar kita bahawa tindakan rupa paras seseorang atau kepetahannya bukanlah menjadi kayu ukur kepada kebenaran. Bahkan orang-orang munafik itu sendiri memiliki ciri-ciri ini.

Imam Qurtubi R.A menukilkan tafsiran Ibn Abbas mengatakan Abdullah bin Ubai (munafik) itu adalah seorang yang hensem dan memilik tubuh badan yang tegap. Kata-katanya juga sangat hebat.

(3) Material ataupun luaran bukanlah menjadi kayu ukur kepada kebenaran. Termasuk juga dalam bab yang sedang kita bincangkan iaitu perangai segelintir manusia yang gemar menempek pada orang lain.

Demi mengejar nama, mereka menempel pada ‘nama’ orang lain yang berpengaruh. Nama juga termasuk perkara luaran yang boleh dijadikan asas batu loncatan bagi seseorang yang ingin menggilap namanya.

(4) Mengejar kepentingan seumpama menempel pada nama orang lain ini biasanya menempel pada zahir sahaja. Sedangkan akhlak, pemikiran, kematangan, kesabaran, kezuhudan jauh berbeza.

Sekadar contoh, orang munafik di zaman Rasulullah S.A.W solat belakang Baginda S.A.W, mengerjakan haji bersama, hidup semasyarakat dan sebagainya. Namun mereka tidak warisi aqidah Nabi S.A.W.

Penyakit berlumba-lumba rebut dunia

(1) Budaya menempel yang menjadi penyakit dalam gerakan Islam ini berpunca daripada banyak perkara, cuma kesemuanya lebih kepada penyakit hati. Antaranya ialah berlumba lumba mengejar kepentingan (التنافس).

Masing-masing berlumba untuk dikenali sebagai pejuang, dikenali sebagai intelektual, dikenali sebagai alim, dan sebagainya. Mereka cuma mempersiapkan diri mereka melalui gambar dan menempel pada tokoh-tokoh.

Sedangkan sepatutnya ahli gerakan Islam perlu persiapkan diri dengan ilmu, hujah, kefahaman dan keikhlasan hati. Mereka menyangka keilmuan itu diukur dengan gambar, pakaian, dan sekadar luaran sahaja.

(2) Selain daripada penyakit berlumba-lumba mengejar dunia, ada yang dijangkiti penyakit Populism. Iaitu Populism yang lebih dipersembahkan oleh media dan kamera-kamera yang bertugas.

Cuba mencipta propaganda melalui gambar. Cukup bergambar selalu dengan tokoh-tokoh tertentu, sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu dikenali sebagai penerus legasi tokoh itu.

Walhal apabila disuruh menyampaikan pengisian, hanya mampu mempromosi diri dari menceritakan riwayat hidup diri sendiri. Sedangkan sepatutnya medan petarbiahan bukanlah medan untuk meng’up’ diri sendiri.

(3) Antara perangai yang ‘terhasil’ daripada budaya menempel ini ialah ‘mengampu’. Mereka yang paling hebat mengampu mungkin akan menerima habuan yang besar, bukan untuk jamaah, tetapi untuk dirinya:

عن أبي موسى ألأشعري رضي الله عنهه قال سمع النبي صلى الله عليه وسلم رجلا يثنى على رجل ويطريه في المدحة, فقال : أهلكتم أو قطعتم ظهر الرجل

“Daripada Abu Musa al-Asy’ari R.A, beliau berkata: Nabi S.A.W mendengar seorang lelaki memuji atas seseorang dan dia berlebihan dalam memujinya, maka (Nabi) bersabda: “Kamu telah membinasakan atau mematahkan belakang lelaki itu.”

(Muttafaqun Alaih)

Pengampu dan pembodek

(1) Di dalam Hadis Nabi S.A.W banyak mengutarakan mengenai penyakit pengampu, atau pembodek dan disebut sebagai المداحين. Antaranya Riwayat Imam Muslim;

عن همام بن الحارث عن المقداد رضي الله عنه : أن رجلا جعل يمدح عثمان رضي الله عنه, فعمد المقداد فجثا على ركبتيه, فجعل يحثو في وجهه الحصباء. فقال له عثمان : ما شأنك؟ فقال : إن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا رأيتم المداحين فاحثوا في وجوههم التراب

“Daripada Hammam bin al-Harith, daripada al-Miqdad R.A, bahawa seorang lelaki memuji ‘Uthman, lalu al-Miqdad bangun dan duduk atas kedua lututnya, lalu beliau (al-Miqdad) menabur di wajahnya batu-batu kecil. ‘Uthman berkata kepadanya: “Apa hal kamu?” Maka dia (al-Miqdad) berkata: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda: “Apabila kamu melihat orang-orang yang memuji maka taburlah di wajah mereka dengan pasir””

(2) Imam Tirmizi R.A meletakkan satu tajuk باب كراهية المدحة والمداحين dan juga Imam Ahmad turut menukilkan kisah pengampu atau pembodek yang lebih kurang sama. Bahkan Imam Nawawi turut meletakkan satu tajuk di dalam Riadhus Shalihin:

باب كراهة المدح في الوجه لمن خيف عليه مفسدة من إعجاب ونحوه وجوازه لمن أمن ذلك في حقه

“Bab tidak disukai pujian di hadapan bagi sesiapa yang khuatir ke atas orang yang dipuji itu mafsadah (kebinasaan) disebabkan rasa kagum dan seumpanya, dan dibolehkannya (memuji) bagi sesiapa yang bebas daripada itu pada haknya.”

(3) Kisah mengenai pembodek, penjilat atau pengampu ini memang banyak disebut di dalam kitab khususnya kitab Tasawwuf, yang menceritakan mengenai penyakit hati.

Ahli Gerakan Islam memerlukan penerus legasi tokoh-tokoh terdahulu, bukannya seseorang yang hanya dikenali kerana sikapnya suka menempel dan dilantik atas sebab kuat mengampu.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 26/5/2020

- Advertisement -