Diinterview oleh Prof Zul

- Advertisement -

PADA awal tahun 2007, umat Islam dikejutkan oleh tindakan Amerika Syarikat membunuh bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein di tali gantung. Pembunuhan ini berlaku pada 30 Disember 2006, setelah beliau digulingkan pada 2003 akibat kalah dalam Perang Teluk. Dalam seminggu itu, seluruh dunia bercakap mengenai tokoh parti Sosialis, Ba’ath Party yang digantung oleh musuhnya itu, termasuk kami di Markaz Tarbiyah PAS Pusat. Kawan-kawan saya yang agak mengambil berat isu-isu Antarabangsa ialah Haji Faiz Nawi, Arwah Kuis dan Hishamuddin Mohamad. Kami selalu berborak mengenai macam-macam isu gerakan Islam dan politik Antarabangsa. Kadang-kadang E aka Ibnu Mustafa dan roommate saya, Yusapiza Yaacob aka Pija Karatelipan tumpang sekaki.

Petang itu, ketika kami sedang berborak mengenai Saddam Hussein dan ideologi Sosialis yang didukungnya, tiba-tiba Ustaz Hassan memberi tahu kami maklumat lain. “Bukan semua Presiden Iraq itu Sosialis,” kata Ustaz yang mengalih seluruh perhatian kami.

“Bukan ke Parti Sosialis yang guling Raja Iraq dulu Ustaz? Kan Abdul Karim Kassim yang pimpin revolusi itu orang Sosialis… Lepas Parti Sosialis Arab, Parti Ba’ath yang amik alih kan?” saya cuba berhujah dengan Ustaz mengenai penguasaan golongan Sosialis di Iraq sejak Revolusi 1958.

- Advertisement -

“Memanglah mereka itu dari Parti Sosialis (Arab), tetapi ada je yang berfikrah Ikhwanul Muslimin. Mereka orang Ikhwan yang bergerak guna wasilah Sosialis… Macam Dr Burhanuddin (al-Helmy) zaman dulu. Parti Islam belum ada di Iraq masa itu, sebab Raja Iraq itu alat British. Lepas Raja Iraq, King Faisal II kena guling tahun ’58, Abdul Karim Kassim jadi Perdana Menteri. Tapi dalam tahun 1963, Parti Ba’ath telah memberontak, Abdul Karim Kassim kena guling, lepas itu ditembak oleh puak-puak Komunis Ba’ath,” detail huraian Ustaz. Rupakan Ustaz pakar juga sejarah Iraq. Maklumlah, Ustaz duduk di Iraq ketika krisis ini berlaku.

“Menarik juga politik Iraq ini, tapi siapa Presiden Iraq yang Ikhwan itu Ustaz?” saya terus mendesak Ustaz.

“Presiden Abdul Salam (bin Muhammad Arif al-Jumaily). Dia ini licik juga. Masa tahun 1948, Perang Arab-Israel itu, dia sebagai pegawai tentera join askar British, sebab Raja Iraq itu alat British. Lepas itu, dia dengan Abdul Karim Kassim guling Raja Faisal Iraq tahun ’58. Lepas itu, dia bekerja sama dengan Gamal Nasser, Presiden Mesir menubuhkan Majlis Presiden Iraq-Mesir tahun’ 64. Dia pun rapat dengan geng Sosialis Syria.

“Tapi dia adalah orang Ikhwan. Semua orang Ikhwan di Mesir, Syam dan Iraq tahu dia Ikhwan. Tapi dia senyap-senyap saja. Sampai masa Ba’ath rampas kuasa, Ba’ath percaya kat dia untuk ganti Najib Ruba’i sebagai Presiden Iraq. Adik dia, Abdul Rahman Arif jadi jeneral tentera Iraq,” Ustaz terus bercerita mengenai politik Iraq zaman dahulu.

“Patutlah Ustaz dapat biasiswa Iraq, dia orang Ikhwan rupanya,” saya tiba-tiba mengalihkan isu. Saya tahu, Ustaz ke Baghdad pada 1964 dengan biasiswa Kerajaan Iraq.

“Itu kerja Pak Yusof Rawa,” ringkas jawapan Ustaz.

“Macam mana itu Ustaz?” saya tak jemu bertanya.

“Dalam tahun ’63 itu, Pak Yusof Rawa pergi ke Mesir, jumpa kawan-kawan Ikhwan di sana. Masa ini PAS dah lama rapat dengan Ikhwan. Masa tahun ’58, Ustaz Abu Bakar Hamzah bergaduh dengan (Ustaz) Hassan Adli sampai dia dilantik jadi Ketua Pemuda PAS. Hassan Adli tidak puas hati, dia merancang nak buat kecoh masa Muktamar PAS tahun’ 58 itu di Kuala Lumpur, sebab Abu Bakar Hamzah jadi Ketua Pemuda secara kudeta. Pimpinan PAS nasihatkan Hassan Adli supaya bertenang. Sebab Hassan Adli tak buat kecoh, satu Usul dibuat dalam muktamar itu, untuk beri gelaran ‘Panglima Jihad PAS’ kepada Hassan Adli. Dia seorang je ada gelaran ini dalam PAS. Abu Bakar Hamzah buat gitu sebab dia nak gi ke Sidang Afro-Asia di Cairo awal tahun ’59 itu. Itu Sidang Pemuda Afro-Asia, jadi Ketua Pemuda PAS wakil Pemuda Malaya,” panjang pula Ustaz memberikan latar belakangnya.

“Masa di Mesir itu, Ustaz Abu Bakar Hamzah telah bertemu dengan para pemimpin Ikhwan. Dia dah lama ikut Ikhwan dengan Sheikh Taqiyuddin Qandil dan (Tan Sri Syed) Jaafar Albar masa di Perlis. Jadi, inilah hubungan rasmi pertama Ikhwan dengan gerakan Islam dari Malaya. Banyak kitab tarbiyah Ikhwan dibawa balik oleh Ustaz Abu Bakar Hamzah, lepas itu dia terjemah. Buku ‘Arahan dan Peraturan’ yang Pak Yazid (Jaafar) terbit itu, asalnya Usul 20 Hassan al-Banna yang Ustaz Abu Bakar Hamzah terjemah. Masa zaman Amaluddin Darus jadi Ketua Pemuda (1962-1965), buku ini jadi teks tarbiyah rasmi Pemuda PAS. Budak-budak universiti pun guna buku ini, termasuk PKPIM, sebab ikut arahan Pemuda PAS,” kali ini Ustaz betul-betul bercerita panjang mengenai permulaan pengaruh Ikhwan dalam PAS.

“Pak Yusof Rawa tadi macam mana Ustaz?” saya cuba bawa Ustaz balik kepada cerita asal.

“Pak Yusof Rawa sendiri pun ikut tarbiyah Ikhwan masa tahun 40-an. Masa itu dia belajar dan kerja di Makkah. Surat-surat khabar Ikhwan dia dah baca. Sebab itu dia terbitkan (tabloid) al-Islah awal tahun ’70-an dulu. Yang betul-betul mengaji dengan Hassan al-Banna ini ialah Prof Zul (Zulkifli Mohamad) dan Ustaz Hassan Salleh, menantu (Datuk) Ishak Lutfi (Omar) (Ustaz Hassan Salleh pernah menjadi AJK PAS Pusat dan Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan),” Ustaz masih memberikan wejangan mengenai kisah PAS dan Ikhwan yang awal.

“Sebab hubungan lama inilah,” Ustaz baru masuk kisah sebenar. “Pak Yusof Rawa pergi ke Mesir sekitar awal ’63 itu. Di Mesir, dia diminta oleh kawan-kawan Ikhwan supaya pergi ke Iraq untuk berjumpa dengan Presiden Abdul Salam. Dia terus ke sana. Semasa di Iraq, Presiden Abdul Salam menawarkan beliau untuk menjadi Konsulat Kerajaan Iraq di Pulau Pinang. Sebab itu lah Pak Yusof Rawa berperanan sebagai wakil Kerajaan Iraq di Pulau Pinang. Kelebihan Pak Yusof Rawa ialah dia fasih bercakap Bahasa Arab dan Inggeris.

“Lepas itu, atas kedudukannya sebagai Konsulat, Pak Yusof Rawa telah mendapatkan biasiswa untuk anak-anak Malaysia belajar di Iraq. Presiden Iraq bersetuju untuk beri 10 biasiswa kepada Pak Yusof Rawa untuk belajar di Universiti Baghdad.

“Pak Yusof Rawa bagi kesemua biasiswa ini kepada PAS. Jadi pemuda-pemuda PAS yang berpotensi dipilih. Mereka bukan hanya dihantar belajar, tetapi juga untuk dikaderkan oleh Ikhwan di Iraq bagi melahirkan pemimpin pelapis PAS.

“Ramai yang memohon. Kemudian dipanggil untuk temuduga. Ramai juga pimpinan PAS yang calonkan anak-anak mereka. Saya dicalonkan juga, dengan rekemen Tok Guru (Haji Abdul Samad Nuh). Pada akhir ’63 itu, kami ditemuduga. Penemuduga ialah Prof Zul sendiri. Kami diuji tentang kebolehan Bahasa Arab, pengetahuan agama walaupun dah ada 4 Senawi. Yang penting, komitmen untuk membantu PAS.

“Selepas interview ini selesai, pada awal ’64, 10 orang pemuda termasuk ana telah terpilih untuk ke Baghdad dengan biasiswa Kerajaan Iraq,” cerita Ustaz mengenai kisahnya terpilih untuk belajar di bumi Hammurabi itu.

“Sape yang 10 orang itu Ustaz?” saya terus mengorek maklumat dari Ustaz.

“Selain ana, sembilan orang lagi itu…

(1) Ustaz Mat Iraq (Dato’ Mohamad Daud al-Iraqi), bekas Exco Kelantan itu. (Pernah menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat).
(2) Ustaz Hashim (Jasin). Dia adik Ustaz Ibrahim Yasin. Masa ini dia Ketua Pemuda PAS Perlis. Lepas itu jadi Pesuruhjaya PAS Perlis. (Sekarang Mursyidul Am PAS).
(3) Ustaz Isomuddin Ahmad. Dia anak Tok Guru Haji Ahmad Keplu, abang kepada Sheikh Badaruddin Mufti Kedah. Lepas balik dari Iraq, dia bertanding Pilihan Raya 1969, dan jadi ADUN.
(4) Sheikh Azmi. Dia anak Haji Ahmad Long, Pesuruhjaya PAS Perlis. Dia pernah jadi qadhi besar dan Mufti Pulau Pinang. Sebab dia kuat ABIM, masa Reformasi dia dilantik sebagai Naib Presiden PKN (Sekarang PKR).
(5) Ustaz Dahlan Mohd Zain. Dia dulu kuat ABIM. Masa Anwar Ibrahim masuk Umno, ditubuh ABIM Perlis. Masa di Amerika, pengikut dia orang panggil KUSDA, Kumpulan Ustaz Dahlan. Sekarang ini jadi Haluan.
(6) Ustaz Hasbullah Kasban, orang Selangor, balik dari Iraq dia tak aktif dengan PAS, tapi jadi pensyarah UTM.
(7) Ustaz Abdul Rahim Mohd Zain, anak saudara Pak Nik Lah (Ustaz Nik Abdullah Arshad), sepupu Nik Amar (Datuk Nik Amar, Naib Presiden PAS). Dia pun jadi pensyarah juga. Dia adik-beradik dengan Ustaz Yi (Ashari Mohd Zain) Setiausaha Kerja Dewan Ulamak PAS Kelantan.
(8) Ustaz Abdul Ghani Kasa, guru agama di Kedah.
(9) Ustaz Abdul Halim Yahya.

“Selain itu, Ustaz Jalaluddin, bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka itu pun belajar bersama kami di Iraq. Tapi dia tidak dapat biasiswa, ayah dia Muallim Abdul Wahid Sungai Udang yang hantar.

“Boleh kata, semua yang dipilih oleh Prof Zul ini ada nama dalam PAS atau gerakan dakwah. Yang tak terkenal hanya Ustaz Ghani Kasa dan Ustaz Halim Yahya je,” Ustaz menyebut nama kawan-kawannya di Baghdad.

Untuk makluman semua, dari 10 orang sahabat Ustaz di Iraq itu, Tuan Guru Haji Hashim Jasin, Ustaz Abdul Rahim Mohd Zain dan Ustaz Abdul Ghani Kasa yang masih ada. Yang lain telah kembali kepada Sang Pencipta.

Allahummaghfirlahum…

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 25/5/2020

- Advertisement -