Berkawan dengan Gus Dur

- Advertisement -

SELEPAS Pilihan Raya Umum 1999, Dewan Pemuda PAS Pusat merancang untuk menyusun sebuah pergerakan Pemuda Islam Asia Tenggara yang kami sebut sebagai AMSEC atau Sekretariat Pemuda Islam ASEAN. Saya, Arwah Kuis dan Haji Mohd Faiz Mohd Nawi menghubungi kawan-kawan yang terlibat dengan gerakan Islam di Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina dan Kemboja. Saya dan Haji Faiz Nawi mengunjungi Singapura lebih dulu, selepas itu perhubungan dengan Thailand dan Kemboja diatur. Yang paling sulit ialah Brunei kerana hampir tiada pergerakan Islam di negara Monarki itu. Yang sukar juga ialah Indonesia. Bukan kerana tiada, tetapi kerana terlalu banyak. Dalam bulan Oktober 1999, selepas Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) mengangkat KH Abdul Rahman Wahid atau Gus Dur menjadi Presiden Republik Indonesia menggantikan BJ Habibie, kami merancang ke Indonesia.

- Advertisement -

“Kami nak gi Indonesia, Ustaz. Nak jumpa pemuda parti-parti Islam di sana. Nanti boleh jumpa Presiden Gus Dur sekali,” saya memaklumkan rencana kami itu kepada Ustaz Hassan.

“Presiden Indonesia itu kawan ana,” beritahu Ustaz secara ringkas sahaja.

Selepas itu, kami berlepas ke Jakarta, diketuai oleh YB Haji Mahfuz Omar, Ketua Pemuda PAS ketika itu. Turut serta ialah Arwah Mazlan Ibrahim, YB Ustaz Satiful (Exco Kerajaan Terengganu sekarang), Faris yang kami panggil E aka Ibnu Mustafa, Arwah Kuis, Haji Faiz, Ustaz Misbah dan beberapa yang lain dalam 15 orang. Kami mengunjungi Pak Hussein di Dewan Dakwah, Dr Yusril di kantor Menteri HAM, Pak AM Fatwa Speaker DPR, Pak AM Saifuddin Menteri Pangan, Pak Adi Sasono dari ICMI dan juga seorang jeneral pemimpin keluarga besar (alumni) HMI di Restoran Natrabu, selain mengunjungi kantor sebuah akhbar terkemuka ketika itu. Kemudian kami ke Bogor, bertemu dengan pimpinan HMI di sana, dan malamnya kami mendengar taujihad dari seorang ulamak tua, ahli Majlis Syura Partai Bulan Bintang.

Saya lupa seluruh isi ucapan berapi dan meremangkan bulu roma dari ulamak tua itu. Tapi kata beliau, “Sekarang kami dipimpin oleh orang yang sabu sabur!” Kami tidak faham ‘sabu sabur’ itu apa. Yang pasti bukan ‘Mat Sabu.’ Kemudian katanya, “Sabu sabur itu… satu buta, satu kabur,” katanya, merujuk kepada Presiden Gus Dur. Kami gelak sakan mendengar akronim baru itu. Selain Teh Botol, sabu sabur itu sahaja yang masih membekas di fikiran saya. Kami tidak dapat bertemu dengan Prof Amin Rais kerana beliau ada Rapat PAN (Partai Amanat Nasional) di Jogjakarta, begitu juga Gus Dur. Seluruh pergerakan kami dalam lawatan ini diatur dan dipimpin oleh Ustaz Fathurrahman, teman kami lulusan UIA.

Sepulangan dari Jakarta itu, saya memberi tahu Ustaz, “Tak dapat jumpa Gus Dur.”

“Dulu Gus Dur itu belajar di al-Azhar, sama dengan tahun ana ke Baghdad (1964). Tapi dia tak dapat masuk ke Kuliah, sebab takde kelulusan Bahasa Arab, walaupun dia mahir Bahasa Arab pondok. Dia orang suruh Gus Dur masuk kelas persediaan. Sebab itu Gus Dur tak nak belajar di Azhar. Masa kami masuk Tahun 3, dia datang ke Baghdad,” Ustaz bercerita mengenai kisah sebenar Gus Dur ke Baghdad.

Pada satu hari yang lain, saya bertanya Ustaz, “Kumpulan Ustaz 10 orang ini kira rakyat Malaysia yang terawal lah yang belajar di Iraq?”

“Tak. Kami ini kumpulan yang diberi biasiswa oleh Kementerian Waqaf Iraq. Sebelum itu dah ada orang kita yang belajar di Baghdad. Ada yang mengaji law, perubatan, selain Bahasa Arab dan agama.

“Masa ana jadi Ketua Pemuda PAS Perak dulu, ada seorang peguam terkenal di Kuala Lumpur. Dia orang Hilir Perak, Bagan Datoh. Dia mengaji undang-undang di Baghdad. Sebab Iraq ini dikuasai oleh British, dia pun mengaji British Law, dia pun boleh jadi lawyer di Kuala Lumpur,” terang Ustaz.

“Sape dia itu, Ustaz?” saya meminta penjelasan lanjut.

“Hashim Abdullah. Orang sebut dia Hashim Baghdad. Sebab ngaji di Baghdad. Dia salah seorang pengasas PAS Kuala Lumpur pada 1952. Lepas itu, Dr Burhanuddin (al-Helmy) lantik dia jadi Setiausaha Agung PAS, sebelum Abdullah Zawawi (Hamzah),” Ustaz menjawab persoalan saya.

“Kami pergi Baghdad kemudian lagi, 1964. Selepas diinterview oleh Prof Zul (Zulkifli Mohamad), kami 10 orang berlepas ke Baghdad. Masuk ke Universiti Baghdad. Kami ambil jurusan sastera Arab dan perundangan Islam atau syariah di Fakulti Adab. Semua kami fakulti yang sama.

“Ada tak orang Malaysia yang lain belajar di sini masa itu?” saya masih bertanya.

“Ada beberapa orang, termasuk Ustaz Jalaluddin Wahid, bekas Pesuruhjaya PAS Melaka. Dia datang sendiri, bukan biasiswa Kementerian Waqaf. Orang Melayu dari Thailand, Singapura dan Indonesia pun ada,” jelas Ustaz.

“Macam mana Ustaz boleh berkawan dengan Gus Dur?” saya bertanya lagi.

“Gus Dur datang ke Baghdad tahun ’66. Umur dia dalam 27 masa itu. Sebab dia lama di pesantren. Duk di Mesir pun dekat dua tahun. Di Baghdad, dia masuk fakulti yang sama dengan kami. Walaupun dia belum terkenal, tapi ayah dia, KH Abdul Wahid Hashim sangat terkenal kerana pernah menjadi Menteri Agama Indonesia masa awal 1950-an. Datuk dia pula, Kiyai Hashim Asy’ari adalah pengasas Nahdatul Ulamak (NU), pergerakan Kaum Tua di Indonesia,” kata Ustaz.

“Dia dah alim ke masa sampai di Baghdad itu?” saya terus mengorek kisah-kisah silam.

“Ana tak tau dia alim ke tak. Tapi dia lama ngaji pondok. Keluarga dia pun ulamak-ulamak besar. Tapi…” Ustaz mula menyebut beberapa sisi rahsia Gus Dur.

“Gus Dur ini kuat membaca. Cuma dia minat buku-buku falsafah dan ideologi moden. Suka baca buku Karl Marx. Boleh jadi sebab itu orang kata dia Sosialis. Ada juga orang kata dia Liberal. Tapi orang Nahdiyin (pengikut NU) kata dia wali.

“Iraq ini negara Sosialis. Masa dia datang, Parti Ba’ath sangat berpengaruh. Masa ini pun Presiden Abdul Salam baru mati, jatuh helikopter. Boleh jadi dia pilih Iraq sebab dia minat Sosialis. Tapi masa ini, di Mesir, Gamal Nasser pun Sosialis juga.

“Satu lagi hobi dia. Selain suka bola sepak, dia suka tengok wayang. Lepas itu, petang-petang main gitar sambil menyanyi. Ana tak kata salah, tapi itu hobi dia masa muda. Cuma agak pelik bagi seorang anak ulamak, orang pun panggil dia ‘Gus.’

(Gus, berasal dari kata ‘bagus’ erti tampan dan elok. Di Jawa, selalunya anak-anak ulamak disebut Gus sebagai panggilan hormat).

“Masa dia di Tahun 2, kami dah abis belajar. Dapat BA dalam perundangan Islam dan Bahasa Arab. Rasanya dia keluar tahun ’70. Ana dengar lepas itu dia gi Belanda. Yang ada di sana sekali dengan Gus Dur selepas kami balik ialah Sheikh Azmi (Ahmad) dan Ustaz Rahim (Mohd Zain), sebab dia orang sambung MA,” Ustaz menjelaskan kisah-kisah beliau belajar di Baghdad.

“Ijazah ini adalah ukuran darjat ilmu kita,” Ustaz menjelaskan nilai ilmu yang dituntut di Kota Mesopotamia itu.

Semoga ilmu yang dituntut itu bermanfaat dan dimanfaatkan.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 25/5/2020

- Advertisement -