Ringkasan Syarah Mawaqif (Bab ketuhanan) – Siri 2

- Advertisement -

KETIGA: al-Asya’irah

‘Maslak pertama’ yang merupakan cara golongan pertama membuktikan kewujudan Allah S.W.T. Syeikh Idhoduddin mengatakan bahawa golongan pertama ini ialah al-Mutakallimin, (pakar Ilmu Kalam).

Di ruangan ini, beliau banyak menukilkan cara al-Asya’irah dalam membuktikan kewujudan Allah S.W.T. Manakala al-Maturidiah hanya disebutkan secara ringkas sahaja sebelum ini. Begitu juga Salafussoleh.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah mempunyai dua dalil dalam membuktikan kewujudan Allah, iaitu:

(a) Dalil penciptaan di dalam al-Quran.

(b) Dalil akal.

Al Asya’irah lebih cenderung menggunakan dalil penciptaan di dalam al-Quran, berbanding dalil akal.

- Advertisement -

Dalil al-Asya’irah mengenai kewujudan Allah

(1) Dalil penciptaan di dalam al-Quran.

Al-Quran menceritakan dengan jelas sistem alam dan penciptaan manusia:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَالْفُلْكِ الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِمَا يَنفَعُ النَّاسَ وَمَا أَنزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِن مَّاءٍ فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَابَّةٍ وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang berlayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.”

(al-Baqarah: 164)

FirmanNya lagi:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن سُلَالَةٍ مِّن طِينٍ

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;

ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ

“Kemudian Kami jadikan ‘pati’ itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh;

ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

“Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”

(al-Mukminun: 12-14)

Maka, jelas menunjukkan bahawa sistem yang begitu hebat ini pasti ada yang mengaturnya. Apatah lagi ia langsung tidak mampu dilakukan oleh manusia, atau sukar dikatakan sebagai ‘sistem kebetulan’.

Maka, jelas di sini bahawa di sana terdapat Tuhan yang mengatur segalanya. Dialah Allah S.W.T pentadbir alam ini.

(2) Dalil akal.

Apabila menyebut mengenai dalil akal, perkara pertama yang perlu diketahui ialah, seluruh alam ini mempunyai dua elemen, iaitu ‘jauhar’ الجوهر dan ‘aradh’ العرض. Maka, berdasarkan dua elemen utama ini, terbahagilah kepada beberapa bahagian.

(a) Dalil baharu (telah dijelaskan sebelum ini di dalam dalil al-Maturidiah).

(i) Baharunya jauhar.
(ii) Baharunya aradh.

(b) Dalil mungkin (juga telah dijelaskan sebelum ini).

(i) Mungkinnya jauhar.
(ii) Mungkinnya aradh.

Pertama: Dalil baharu.

Sepertimana yang telah disebutkan, ‘baharu’ yang dimaksudkan di sini ialah: wujudnya ia selepas tiada. Iaitu kewujudan ‘jauhar’ dan ‘aradh’ bermula dengan tiada, kemudian ada. Maka, ia dikatakan sebagai baharu atau dengan kata mudah ‘baru wujud’.

Maka, setiap benda yang baru wujud, memerlukan satu kuasa untuk mewujudkannya. Tidak mungkin ia wujud dengan sendiri. Maka, kuasa yang mewujudkannya adalah Kuasa Allah S.W.T. Maka, jelas membuktikan bahawa Allah itu wujud, kerana wujudnya ‘jauhar’ dan ‘aradh’ daripada tiada, kepada ada.

Selain itu, apa yang dikatakan dengan baharu juga, adalah setiap yang berubah. Iaitu, setiap sesuatu yang berubah, ia adalah baharu, kerana perubahannya. Maka, setiap makhluk pastinya berubah, daripada ada kepada tiada, dan daripada tiada kepada ada contohnya.

Kedua: Dalil mungkin.

Juga telah disebutkan sebelum ini, wujud terbahagi kepada tiga jenis, wajib wujud, mungkin wujud dan mustahil wujud. Allah adalah wajib wujud, dan selain daripada Allah yang ‘wujud’ adalah mungkin wujud, dan mustahil wujud adalah ‘tidak wujud’.

Iaitu, boleh jadi ada, dan boleh jadi tiada. Contohnya, berkahwin. Boleh jadi melalui perkahwinan tersebut memperolehi anak, ataupun tidak. Maka, kewujudan si anak (manusia) adalah mungkin.

Maka, jika terdapat kewujudan yang bersifat mungkin, pastinya ada kewujudan yang bersifat wajib. Sekiranya kita menafikan kewujudan ‘wajib wujud’, maka akan berlakulah ‘daur’ الدور dan ‘tasalsul’ التسلسل dan kedua-duanya adalah mustahil.

Penjelasan mengenai dalil akal al-Asya’irah

Jelas di sana terdapat empat bahagian yang utama, yang ditekankan oleh Syeikh Idhoduddin al Ijie, iaitu:

(a) Baharunya jauhar.
(b) Mungkinnya jauhar.
(c) Baharunya aradh.
(d) Mungkinnya aradh.

(1) Baharunya Jauhar.

Dalil al-Quran menceritakan mengenai kisah Nabi Ibrahim A.S:

فَلَمَّا رَأَى الْقَمَرَ بَازِغًا قَالَ هَٰذَا رَبِّي ۖ فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَئِن لَّمْ يَهْدِنِي رَبِّي لَأَكُونَنَّ مِنَ الْقَوْمِ الضَّالِّينَ

“Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat.”

فَلَمَّا رَأَى الشَّمْسَ بَازِغَةً قَالَ هَٰذَا رَبِّي هَٰذَا أَكْبَرُ ۖ فَلَمَّا أَفَلَتْ قَالَ يَا قَوْمِ إِنِّي بَرِيءٌ مِّمَّا تُشْرِكُونَ

“Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: “Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).”

إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا ۖ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain).”

(al-An’am: 77-79)

Maka, dalil akal daripada ayat al-Quran ini ialah;

“Alam ini terbentuk daripada jauhar, iaitu berisipadu dengan komponen-komponen yang baharu, maka semua yang bersifat dengan baharu, pastinya ia adalah baharu. Maka alam itu baharu.”

“Alam ini baharu, maka pasti memerlukan kepada kuasa untuk mewujudkannya daripada tiada, maka sudah pasti wujudnya Allah yang empunya kuasa tersebut.”

(2) Mungkinnya Jauhar.

“Alam ini terbentuk daripada jauhar yang bersifat mungkin yang saling bergabung. Maka, sudah pasti memerlukan kepada kuasa yang menggabungkan di antara jauhar-jauhar tersebut untuk menghasilkan alam. Maka, kuasa tersebut ialah Kuasa Allah S.W.T.”

Maka, jelas di sini bahawa kewujudan Allah S.W.T merupakan ‘faktor’ yang menggabungkan beberapa jauhar untuk membentuk alam yang mengandungi jutaan atom dan unsur ini.

(3) Baharunya Aradh.

Di dalam menceritakan mengenai baharunya ‘aradh’, ia sangat berkaitan dengan Firman Allah S.W.T:

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar.”

(al-Fussilat: 53)

Maka, berdasarkan ayat ini, terdapat dua bahagian yang perlu diperhatikan bagi membuktikan ‘baharunya aradh’. Iaitu, di dalam diri manusia (nafs) dan alam sekeliling (afaq).

Sebelum itu, kita perlu mengetahui bahawa ‘setiap yang berubah, ia adalah baharu’ sepertimana yang disebutkan di dalam dalil mantiq.

(a) Diri manusia (nafs).

Perkembangan manusia yang bermula dari kecil sehingga besar, perubahan warna kulit berdasarkan perubahan perasaan, perubahan kulit dan sebagainya menunjukkan bahawa ia adalah baharu. Ini kerana ia wujud daripada tiada, kepada ada, dan akan hilang bila-bila masa. Perubahan ini menunjukkan bahawa ‘aradh itu baru’.

Contohnya kulit kendur, yang mula wujud ketika tua, sedangkan ia tidak wujud ketika masih muda. Begitu juga dengan warna rambut yang mula beruban apabila umur semakin tua. Semua ini membuktikan bahawa ‘aradh’ pada manusia adalah baharu, kerana perubahan yang dapat dilihat.

(b) Alam sekeliling (afaq).

Perubahan cuaca, musim, peredaran matahari, bulan, dan sebagainya menunjukkan bahawa ia adalah baharu. Setiap benda yang berubah adalah baharu. Maka, perubahan ini membuktikan bahawa alam sekeliling kita adalah baharu.

Jelas di sini bahawa, ‘aradh itu baharu’ dan setiap yang baharu (atau berubah) pasti ada kuasa yang mengubahnya. Kuasa itu ialah Allah S.W.T, yang merencana setiap perubahan pada ‘aradh’. Jelas membuktikan kewujudan Allah, berdasarkan perubahan pada ‘aradh’ di dalam diri manusia, atau pada alam sekeliling.

(4) Mungkinnya Aradh.

Mungkinnya aradh di sini merujuk kepada mungkin ada atau tiada sesuatu aradh tersebut. Sepertimana yang telah disebut, ‘aradh’ hanyalah sesuatu yang bersandar pada ‘jauhar’. Contohnya kedut yang terdapat pada wajah orang yang berumur.

Maka, ia pastinya akan berubah dengan mudah. Kedut pada muka orang yang berumur mungkin ada, mungkin tiada. Begitu ‘berlari’ yang merupakan ‘aradh’ bagi seorang manusia. Apabila manusia tersebut berhenti berlari, kemudian berjalan, maka ‘aradh berlari itu sudah tiada’.

Maka, berkemungkinan ‘berlari’ itu ada pada manusia, dan berkemungkinan tiada. Maka kewujudan ‘aradh’ adalah mungkin. Contohnya firman Allah S.W.T di bawah ini.

Firman Allah S.W.T:

قَالَ فَمَن رَّبُّكُمَا يَا مُوسَىٰ

“Firaun berkata: “Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa?”

قالَ رَبُّنَا الَّذِي أَعْطَىٰ كُلَّ شَيْءٍ خَلْقَهُ ثُمَّ هَدَىٰ

“Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya”.”

(Thaha: 49 – 50)

Daripada ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Allah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya. Maka, setiap orang mempunyai aradh mengikut kesesuaian masing-masing.

Kesimpulan daripada dalil al Asya’irah

Kesimpulan daripada perbahasan mengenai dalil ini, menunjukkan bahawa;

(1) Alam terbentuk daripada jauhar dan aradh. Jauhar dan aradh adalah dua elemen yang mungkin dan baharu. Maka, alam itu bersifat mungkin dan baharu.

(2) Alam adalah mungkin, dan setiap sesuatu yang bersifat mungkin, pasti ada kuasa yang mengubah sifat mungkinnya. Maka jelas membuktikan kewujudan Allah yang menjadi faktor perubahan sesuatu yang mungkin, kerana Allah adalah wajib wujud.

(3) Alam adalah baharu, dan setiap yang baharu, pasti ada kuasa yang mewujudkannya daripada tiada. Maka, jelas membuktikan kewujudan Allah yang mewujudkannya, kerana Allah adalah bersifat qadim (tiada permulaan bagi kewujudannya).

(4) Sekiranya kesemua ini (kuasa yang mengubah dan kuasa yang mewujudkan ini) bukanlah kuasa Allah, maka ia adalah hasil daripada perbuatan makhluk. Tetapi perbuatan makhluk ini adalah kekuasaan Allah juga.

Contohnya kewujudan kereta hasil ciptaan manusia. Dan manusia sendiri adalah ciptaan Allah. Bahkan bahan-bahan untuk mencipta kereta, otak manusia, tenaga, dan sebagainya adalah berpunca daripada Allah.

(5) Sekiranya Allah tidak wujud (di dalam item nombor 4), maka akan berlakulah ‘Daur’ dan ‘Tasalsul’ dan kedua-duanya mustahil. Apakah ‘daur’ dan ‘tasalsul’? Perbahasan yang panjang untuk dihuraikan di sini. InsyaAllah, akan ditulis di dalam artikel lain.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 24/5/2020

- Advertisement -