Idul Fitri: Anugerah atas ketaatan

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَلِتُكۡمِلُوا۟ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

[al-Baqarah: 185]

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) merakamkan ucapan Selamat Menyambut Idul Fitri bagi tahun 1441H / 2020 kepada seluruh Muslimin dan Muslimat dengan lafaz:

عيد سعيد
كل عام وأنتم بخير
تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال

“Selamat Hari Raya,
“Semoga setiap tahun kalian bertambah dalam kebaikan,
“Semoga Allah menerima dari kami dan kalian akan amalan yang soleh”

Hari Raya Idul Fitri merupakan hari kegembiraan bagi umat Islam yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Kegembiraan yang dikecapi bukanlah bermaksud manusia kembali ‘bebas’ dari tarbiyah Allah setelah sebulan berada di dalam Madrasah Ramadan. Kegembiraan yang dikecapi adalah atas penyempurnaan dalam melaksanakan syariat Allah S.W.T iaitu berpuasa selama sebulan. Kegembiraan inilah hakikatnya yang diraikan sebagaimana Hadis dari Abu Hurairah yang meriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda:

لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ: فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ

“Orang yang berpuasa akan meraih dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa (berhari raya) dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya.”

(Riwayat Muslim)

Walaupun Ramadan dan Syawal pada tahun ini berbeza disebabkan negara malah dunia sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19, namun hikmah besarnya dalam tempoh PKP yang dikuatkuasakan, kita menyaksikan setiap rumah dilatih untuk dihidupkan dengan ibadah-ibadah secara berjamaah bersama ahli keluarga.

Malahan saranan menghidupkan suasana ibadah di rumah tidak hanya terhad pada Ramadan yang berada dalam tempoh PKP sahaja namun ia saranan pada setiap masa. Rasulullah S.A.W melarang menjadikan rumah seumpama kuburan yang ‘gelap’ kerana sunyi dari ibadah yang lakukan padanya.

Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

اجْعَلُوا فِي بُيُوتِكُمْ مِنْ صَلاَتِكُمْ وَلاَ تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا

“Jadikanlah sebahagian daripada solat kamu di rumah kamu. Jangan jadikan rumah kamu semua seperti kubur.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ketiadaan bazar Ramadan sepanjang tahun ini sewajarnya menjadikan satu muhasabah kepada kita pada tahun-tahun yang lalu apabila satu laporan menerusi siaran akhbar media Harian Metro pada 9 Mei 2019 menyatakan pembaziran makanan di Malaysia kritikal dan ia dijangka meningkat 15 hingga 20 peratus terutama di bulan Ramadan. Malah menurut kajian daripada SW Corp, Malaysia membuang lebih 15,000 metrik tan (mt) makanan setiap hari manakala lebih 3,000 mt terdiri daripada makanan yang masih boleh dimakan.

Dalam menyambut kegembiraan 1 Syawal ini, rakyat dinasihatkan untuk terus mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh pihak Kerajaan agar penularan wabak pandemik COVID-19 ini masih terkawal dan dapat dikekang. Jangan menjadikan keghairahan dalam suasana Idul Fitri nanti kita terjerumus kepada risiko besar yang mendatang disebabkan sikap kita yang alpa sehingga tidak mematuhi SOP semasa yang dikuatkuasakan.

Walaupun tidak salah kegembiraan yang dizahirkan namun hakikatnya ‘raya’ adalah soal bertambahnya ketakwaan seseorang hamba hasil tarbiyah sepanjang Ramadan. Lantaran itu, anugerah Idul Fitri adalah hasil menyempurnakan tempoh ketaatan selama sebulan berpuasa dengan disusuli laungan takbir dalam membesarkan Allah serta menzahirkan kesyukuran.

ليس العيد لمن لبس الجديد
وإنما العيد لمن طاعته تزيد

“Bukanlah raya itu semata-mata bagi mereka yang memakai pakaian baru, adalah raya itu bagi mereka yang bertambah ketaatan.”

DUPP juga mendoakan kebaikan ke atas semua para petugas di barisan hadapan atas pengorbanan yang diberikan tanpa putus-putus walaupun di bulan Ramadan dalam keadaan menahan lapar dan dahaga. Hanya Allah mampu memberikan ganjaran terbaik buat para petugas sekalian.

Bermula maghrib hari ini, 23 Mei 2020, Sabtu, kita disunatkan untuk melaungkan takbir sama ada Takbir Muqayyad sejurus selepas solat atau Takbir Mursal pada bila-bila masa sahaja, sehinggalah sebelum Solat Sunat Idul Fitri didirikan pada keesokannya, 24 Mei 2020, Ahad. Ambillah peluang dalam menyambut kegembiraan ini dengan melaungkan takbir sepenuh penghayatan sebagaimana yang dilakukan oleh orang soleh terdahulu.

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر
ولله الحمد

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 23/5/2020

- Advertisement -