Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (62)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa tuhan kamu hanyalah tuhan yang satu, Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”

Intisari penting

(1) Kategori syirik

Syed Qutb mengaitkan ayat terakhir ini dengan ayat pertama, di mana surah ini bermula dengan tauhid dan diakhiri dengan jangan syirik. An-Nadawi pula mengaitkannya dengan ayat pertama dari sudut dimulakan surah ini dengan tauhid sebagai dasar hidup, manakala ditutup surah dengan akhirah sebagai matlamat hidup.

Syirik di dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu syirik jelas atau besar dan syirik kecil atau tersembunyi. Syirik besar adalah menyekutukan Allah terang-terangan dengan menyembah tuhan yang lain, manakala syirik kecil pula adalah riyak iaitu melakukan sesuatu dengan niat selain Allah. Sabda Rasulullah S.A.W dalam sebuah Hadis Qudsi:

أنا خَيرُ الشُّركاءِ، مَن عَمِلَ لي عَمَلًا أشرَكَ فيه غَيري فأنا بَريءٌ منه، وهو لِلَّذي أشرَكَ

“Akulah sebaik-baik teman. Barangsiapa yang melakukan amalan demi selainKu maka Aku berlepas diri darinya. Dia mintalah pertolongan sekutu tersebut.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Abu Nuaim dan Ibn Asakir meriwayatkan bahawa Ibn Abbas mendengar Jundub bin Zuhair berkata, ada seorang lelaki yang solat, puasa, berzikir sehingga disebut-sebut kebaikannya oleh manusia menjadikan dia suka. Lalu dia tambah lagi amalannya kerana itu. Maka turunlah ayat ini menjelaskan perkara demikian.

Ibrah akhir zaman

(1) Syirik jelas

Penekanan utama di dalam ayat ini adalah soal kesyirikan. Kebanyakan Mufassir dalam mengulas ayat ini memanjangkan perbahasan perihal syirik.

Mengenai persoalan syirik besar atau syirik jelas, Syeikh Imran Hosein mengaitkan ayat ini dengan fenomena syirik sejagat yang berlaku kerana dunia tunduk kepada peradaban Barat. Penutup kisah Ashabul Kahfi iaitu ayat 26 secara fokus memperkatakan soal syirik dalam pemerintahan (rujuk ayat 25&26: Kerajaan Syirik). Bagi beliau, penerimaan demokrasi tanpa kawalan boleh menyebabkan seseorang mengiktiraf kuasa rakyat setanding kuasa tuhan atau lebih hebat daripadanya.

Demokrasi bukanlah berasal daripada Islam, namun ia adalah sistem yang diterimapakai hampir di seluruh dunia sebagai cara untuk mencapai pemerintahan. Justeru kita perlu menerima demokrasi sebagai satu adat, sebagaimana Rasulullah menerima perhambaan di zamannya. Menggunakan cara selain demokrasi akan mendedahkan gerakan Islam dengan pengharaman terutama di negara yang meletakkan demokrasi sistem negara. Justeru demokrasi diterima atas dasar darurat sebagaimana Rasulullah S.A.W menerima peperangan di zamannya. Juga, demokrasi hanyalah jalan untuk mencapai kuasa. Maka ia diterima sebagai wasilah, bukan ghayah sebagaimana diterima perjanjian Hudaibiah (rujuk buku Nadi Perjuangan).

(2) Syirik tersembunyi

Walau bagaimanapun, kebanyakan Mufassirin sama ada Salaf atau Khalaf lebih banyak menekankan soal syirik kecil iaitu riyak. Al-Munziri meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa ada seorang lelaki berkata;

“Wahai Rasulullah! Ketika aku beramal, aku mengharapkan redha Allah dan dalam waktu yang sama, aku mahu orang melihatku juga.”

Rasulullah tidak menjawabnya sehingga turun ayat 110 ini.

Said Hawa mengumpulkan berpuluh Hadis berkenaan riyak daripada kitab-kitab tafsir yang lain berkenaan ayat ini. Antara yang paling dahsyat adalah kaitannya dengan fitnah Dajal. Ketika para Sahabat berbicara mengenai Dajal, Rasulullah S.A.W menyampuk dengan bersabda:

ألَا أُخْبِرُكُمْ بِمَا هُوَ أَخْوَفُ عَلَيْكم عِندِي مِنَ المـَسِيحِ الدَّجَّالِ؟ الشركُ الخفيُّ. أَنْ يَقُومَ الرَّجُلُ يُصَلِّي فَيُزيِّنُ صَلَاتَهُ لِمَا يُرَى مِن نَظْرِ رَجُلٍ

“Tidakkah kalian kamu aku nyatakan apa yang lebih aku takuti berbanding al-Masih Dajal? Ia adalah syirik kecil iaitu seseorang yang memperelokkan solatnya kerana ada orang melihatnya.”

[Hadis Riwayat Ibn Majah]

Sebagaimana dinyatakan, Dajal merupakan fitnah terbesar kepada umat manusia. Kenyataan Nabi S.A.W boleh difahami dari sudut mubalaghah; menyatakan bahayanya syirik kecil ini. Ini kerana ia boleh menimpa umat di setiap zaman berbeza dengan Dajal.

Walau bagaimanapun, perkaitan riyak dan Dajal di akhir zaman perlu untuk diambil perhatian. Di zaman dunia tanpa sempadan ini, manusia boleh berkongsi apa sahaja di alam maya. Malah media sosial sudah menjadi pengganti hubungan sosial sesama manusia. Barah daripada kebejatan ini adalah sikap menunjuk-nunjuk dalam semua perkara. Tidak kiralah dari sudut rupa paras, kekayaan, pangkat malah kebaikan diri, semuanya ingin dikongsi. Sudah tidak ada apa yang eksklusif antara manusia dan Allah selain aib diri yang tidak mahu diketahui. Bahkan, keaiban diri juga kini menjadi cara mudah bagi menarik perhatian di media sosial.

Islamis juga tidak terkecuali daripada terkena tempias ini. Walaupun berlapik dengan tujuan yang baik iaitu untuk mengajak kepada kebaikan atau menunjukkan keindahan Islam, namun ia tetap suatu medan yang bahaya yang boleh menjerumuskan diri ke dalam riyak.

Ibn Jauzi menulis sebuah buku bertajuk Tipudaya Iblis (تَلْبِيسُ إِبْلِيس) yang banyak membahaskan soal Islamis yang terperangkap di dalam bisikan Iblis dalam membuat kebaikan. Antaranya orang yang solat malam tetapi menceritakan kepada orang ramai mengenainya. Juga orang yang solat di masjid membuatkan orang ramai tahu. Kerana itulah solat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah, kerana ia lebih menjaga diri daripada riyak.

Bahkan Ibn Jauzi mengatakan, ramai ahli ibadat yang tidak terlepas dari penyakit riyak kecil. Riyak besar adalah berbuat amal untuk dilihat manusia. Riyak kecil pula berbuat amal selain dari kepada Allah.

Perkara ini perlu dibahaskan dari sudut niat, kaedah dan implikasi. Persoalan niat bergantung kepada diri masing-masing. Walau bagaimanapun, kaedah dan implikasi adalah terbuka untuk dikritik.

Bahana media sosial, semua kebaikan ditayangkan ke seluruh dunia termasuk perkara-perkara yang diajarkan kepada umat Islam untuk disembunyikan seperti bersedekah dan solat malam. Walaupun ia atas alasan mendorong supaya lebih ramai mahu membuat kebaikan, tetapi dari satu sudut ia juga menyemarakkan perasaan ini berlumba-lumba menunjuk kebaikan di media sosial. Lama kelamaan ia boleh menjejaskan pemahaman awam mengenai ibadat-ibadat yang seharusnya disembunyikan.

Menurut kaedah fiqh, menolak keburukan lebih diutamakan berbanding mendatangkan kebaikan (دَرْءُ المَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ المَصَالِح). Jika sesuatu kebaikan itu boleh mendatangkan keburukan, maka lebih baik tinggalkan kebaikan tersebut. Jika menderma atau solat secara terbuka boleh mendorong orang untuk turut melakukannya, tetapi dalam waktu yang sama boleh mendatangkan riyak pada diri dan kekeliruan pada masyarakat, maka lebih baik dijalankan secara sembunyi sahaja. Apatah lagi jika kaedah dakwah lain masih ada.

Umat Islam khususnya pendakwah dan pejuang agamaNya harus menggunakan media sosial secara bijak dan insaf. Menolak terus media sosial adalah tindakan yang kurang bijak kerana ibarat kita memisahkan diri daripada realiti semasa. Namun kita perlu mengawal batas-batasnya. Dalam waktu yang sama, kita perlu peka dengan trend-trend media sosial supaya kita faham bagaimana ia berfungsi (media literacy) seterusnya mengatur strategi yang bijak agar setiap penglibatan kita di media sosial menguntungkan masa depan Islam, bukan menambah fitnah ke Islam.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 22/5/2020

- Advertisement -