Pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan lagi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang awam yang masih berdegil cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri bukan sahaja diarahkan berpatah balik tetapi dikenakan kompaun.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan ini dibuat dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan pagi tadi.

- Advertisement -

Ia susulan usaha dan cubaan ribuan kenderaan masih berdegil untuk melepasi sekatan jalan raya bagi merentas negeri untuk berhari raya di kampung.

“Semalam daripada laporan yang diberi oleh pihak polis sewaktu mesyuarat pagi tadi, di Kuantan 1,300 orang beratur di balai polis IPD Kuantan untuk memohon pulang ke kampung iaitu untuk merentas negeri.

“Oleh itu, ingin saya tegaskan mesyuarat khas MKN hari ini telah memutuskan bahawa pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan sama sekali.

“Jadi tak payahlah selepas ini nak beratur panjang-panjang untuk mendapatkan kebenaran daripada polis untuk merentas negeri.

“Kerana polis tidak akan benarkan lagi kerana kita tidak membuka lagi ruang untuk rentas negeri, no more!” tegas Ismail Sabri dalam sidang media harian PKP, di Putrajaya, hari ini.

Ujarnya yang juga Menteri Pertahanan, tindakan kerajaan mengenakan kompaun terhadap individu yang cuba merentas negeri sebagai memberi kesedaran kepada rakyat bahawa kerajaan amat serius tentang hal ini.

Namun katanya, kebenaran merentas negeri masih tertakluk di bawah kes kecemasan seperti kematian.

Semalam katanya, Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) telah mengadakan sebanyak 149 sekatan jalan raya merentas sempadan di seluruh negara.

Hasil daripada operasi terbabit, PDRM telah mengarahkan 2,412 kenderaan yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung telah diarahkan berpatah balik.- HARAKAHDAILY 21/5/2020

- Advertisement -