Mana tayar kereta Pak Haji?

- Advertisement -

KETIKA PAS bergembira dengan kejayaan menguasai semula Terengganu dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menjadi Menteri Besar Terengganu selepas Pilihan Raya Umum pada 29 November 1999, tercetus pula satu peristiwa yang mengancam keselamatan negara. Tragedi Bukit Jenalik yang berlaku pada 2 Julai 2000 ternyata dijadikan senjata untuk mengaitkan PAS dengan keganasan. Al-Marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor mempersoalkan kesahihan peristiwa ini yang kelihatan seperti dirancang untuk memburukkan nama PAS. Ustaz Mokhtar Senik ditahan ISA pada 2000 juga kerana peristiwa ini lantaran hubungan peribadi beliau dengan Mohd Amin, Ketua Kumpulan al-Ma’unah. Pertanyaan Ustaz Fadzil ternyata menimbulkan kemarahan Dr Mahathir sehingga beliau diugut untuk diambil tindakan. “Takkan tanya pun tak boleh…” selamba jawapan Ustaz Fadzil terhadap ugutan Kerajaan BN ketika itu.

Di sebalik peristiwa ini, sebenarnya PAS sedang bersiap untuk mengadakan Sambutan Jubli Emas PAS di PUTIK, Kota Bharu pada 2001, sempena ulang tahun ke-50 PAS. Negeri-negeri, Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan mengadakan sambutan lebih awal – sejak 2000 – dan berkemuncak di Kota Bharu pada 2-9 September 2001.

Ustaz Hassan menjadi orang yang paling sibuk ketika ini. Bukan kerana Ustaz menjadi anggota panitia sambutan, tetapi sebagai Naib Presiden dan Pesuruhjaya PAS Selangor yang merupakan ‘Arkib Bergerak PAS.’ Seluruh negara menjemput Ustaz ‘bercerita’ mengenai sejarah perjuangan PAS.

- Advertisement -

Satu hari, Ustaz bercerita mengenai sejarah PAS Selangor yang beliau pimpin. Katanya, “Tahun ’51 dulu, program pertama PAS di Selangor dibuat di Sabak Bernam. Satu ceramah PAS dibuat di Sungai Tawar, Sabak Bernam. Yang berceramah itu (Ustaz) Hassan Adli. Itu lah program pertama PAS di Selangor. Lepas itu, barulah PAS Cawangan Kuala Lumpur ditubuhkan dalam tahun ’52.”

“Ustaz hadir ke dalam ceramah di Sungai Tawar itu?” saya cuba mendapatkan kepastian.

“Tak. Program pertama yang ana hadir ialah ceramah Ustaz Othman Abdullah. Dia bekas ustaz ana. Ceramah ini dibuat di Parit 5, Sungai Besar. Ana terlibat sama untuk membuat persiapan ceramah ini, dan malamnya sama-sama mendengar ceramah Ustaz Othman yang berapi-api. Ana masa ini baru 14 tahun. Ustaz Othman ada ayah angkat kat Sabak Bernam ini. Masa itu dia mengajar di Chikus (di Hilir Perak), tapi selalu datang Sabak sebab ayah angkatnya ada di sini. Lepas ceramah ini, dia dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS,” Ustaz mula bercerita detail mengenai program PAS yang pertama beliau terlibat.

Dalam ceramah-ceramah Ustaz di Selangor sempena Sambutan Jubli Emas PAS itu, Ustaz selalu menyebut mengenai ceramah PAS di Sabak Bernam pada awal 1950-an ini. Tapi, kisah yang tidak lekang dari mulut Ustaz ialah kesukaran yang dihadapi olehnya ketika mengembangkan PAS di Hulu Perak pada zaman darurat (1948-1960) dahulu. Secara kebetulan, pada tahun 2000 itu, Kerajaan BN telah menyekat semua ceramah PAS, kecuali di dalam premis sahaja. “Aku ceramah di kawasan ‘black area’ zaman British dulu dapat juga permit, ini lebih teruk dari penjajah,” rungut Ustaz di atas sekatan Kerajaan BN (pimpinan Tun Dr Mahathir) pada masa itu, membandingkannya dengan dasar British masa Darurat itu.

Satu petang dalam tahun 2000 itu, Ustaz mengajak saya ke Sayong, Kuala Kangsar. Kata Ustaz, “Mejar Yahya (abang kepada Saudara Sharbi Kamaruzzaman, pegawai Pejabat Agung PAS. Mejar Yahya sekarang bersama PAN) ajak ana ceramah Jubli Emas di Sayong. Zain (Abang Mat Zain) takde. Enta teman ana gi Kuala (Kangsar) petang ini ya. Dia ajak ceramah Sambutan Jubli Emas.” Saya tak ada masalah, sebab masa itu masih bujang.

Dalam perjalanan itu, kami bersembang-sembang mengenai Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu. Tiba-tiba Ustaz membuka cerita, “Dulu ana yang buka Cawangan-cawangan PAS di belah Sayong ini, sebab itu mereka ajak ana datang Jubli Emas ini.”

“Tahun bila itu Ustaz?” saya bertanya kepada Ustaz yang sedang memandu.

“Sekitar ’56,’ 57, ’58, ’59. Masa itu ana guru di (Madrasah) Yahyawiyah. Tok Guru (Haji Abdul Samad Noh) jadi YDP Cawangan Kuala (Kangsar). Masa nak hadap pilihan raya pertama lepas merdeka itu, Tok Guru jadi Pengarah Pilihan Raya Kawasan itu. Ana pula jadi Setiausaha Bilik Gerakan Pilihan Raya. Jadi, setiap harilah ana dengan Tok Guru pergi ceramah PAS.

“Kami ditugaskan oleh PAS Perak untuk buka Cawangan-cawangan PAS di tiga daerah. Masa itu Cawangan ini kita panggil ranting. Tiga daerah yang kami ditugaskan itu ialah Hulu Perak, Sungai Siput dan Larut-Matang. Ini kawasan yang paling sulit sekali. Pertama, dalam hutan. Lepas itu, kawasan Komunis pula. Jadi British isytihar kawasan ini ‘black area,’ askar berkawal 24 jam. Ana dengan Tok Guru keluar masuk semua kampung di tiga daerah ini untuk buka Cawangan PAS.

“Tidak mudah juga. Sebab masa ini, Perikatan tuduh Presiden PAS, Dr Burhanuddin (al-Helmy) ini Komunis. Dia orang tabur risalah nak kaitkan PAS dengan Komunis. Kawasan ini pula kawasan hitam, askar berjaga. Lepas itu, kita nak ceramah beritahu suruh sokong PAS. Memang payah sekali.

“Tapi, yang ceramah itu Tok Guru. Ana cuma tukang pikul speaker je. Bawa speaker ke tempat ceramah. Ceramah mudah je. Kita pacak tiang empat batang, lingkung dengan kain. Kira pentas la itu. Ana pasang speaker, Tok Guru ceramah. Gitulah setiap hari,” Ustaz menggambarkan kesulitan-kesulitan dalam berdakwah zaman dulu untuk meluaskan pengaruh PAS.

“Kampung apa yang Ustaz pergi,” saya bertanya lanjut.

“Semua kampung di tiga daerah itu, Hulu Perak, Sungai Siput dan Larut-Matang. Kadang-kadang kita ceramah di kampung-kampung yang terpencil macam Lawin, Sauk, Manong, Pengkalan Hulu. Yang dekat-dekat pekan macam Kota Lama, Padang Rengas, Sayong. Pernah juga kita anjur ceramah di tengah-tengah Pekan Sari Gerik. Prof Zul (Zulkifli Mohamad) yang ceramah,” Ustaz memberitahu nama-nama kampung yang telah diterobosinya dalam melebarkan pengaruh PAS. Sebenarnya banyak lagi nama-nama kampung yang Ustaz sebut, tapi saya tak boleh ingat semuanya.

“Situ black area kan? Askar British tak marah ke?” saya terus mengorek pengalaman Ustaz.

“Kita kena ambil permit. Selalunya dapat. Tapi bukan boleh ceramah malam macam sekarang. Kena ceramah siang, sebab malam semua duk dalam rumah. Darurat kan…

“Tapi ada satu kali. Kami ke Bukit Jenalik. Bukit Jenalik, Sauk… yang al-Ma’unah bersembunyi itu. Atas bukit itu penuh askar British berkawal, sebab situ kawasan Komunis. Petang itu kami ceramah di Bukit Jenalik. Lambat balik, kena kejar dengan askar. Kami terpaksa lari, lepas itu bersembunyi di sebuah surau di Jenalik Hilir. Kami tidur di surau itu lah malam itu. Siang esok baru keluar,” Ustaz mula bercerita kisah-kisah lucu dalam dakwahnya.

“Ada peristiwa-peristiwa pelik tak sepanjang berdakwah dengan Tok Guru?” saya cuba menggali lebih dalam pengalaman dakwah Ustaz.

“Banyak. Ada satu kali, kami naik kereta Tok Guru pergi ceramah untuk buka Cawangan PAS di belah Hulu. Kereta Tok Guru plat dia nombor P 1213. Habis ceramah itu, masa nak bertolak balik, ana tengok minyak (petrol) kereta dah sikit dan tak cukup untuk balik. Sepanjang perjalanan kami dari Hulu takde stesen pam minyak. Dah la hari dah nak malam. Di Kuala baru ada petrol pam.

“Ana bagi tahu Tok Guru sebelum bertolak. Tok Guru kata, takpe. Tok Guru buka tempat isi minyak. Lepas itu, dia doa-doa sikit, dia hembus kat tempat isi minyak itu. Lepas itu Tok Guru kata, jom gerak. Jangan berhenti kat mana-mana selagi tak sampai, pesan Tok Guru. Kami pun bergerak tanpa henti sampai di Padang Rengas. Entah macam mana, tiba-tiba cukup pula minyak kereta itu,” cerita Ustaz dengan bangga mengenai karamah Tok Gurunya itu.

“Kira keramat juga Tok Guru ini kan?” saya pun turut kagum dengan pemberian Allah kepada seorang ulamak pejuang yang ikhlas itu.

“Ada lagi karamah Tok Guru,” Ustaz mula menambahkan cerita sambil mengenang kisah-kisah aneh dalam dakwahnya.

“Pada satu hari itu, Ana ikut Tok Guru gi ceramah di Melaka. Masa on the way balik, kereta kami dikejar oleh jip polis. Tak tahu kenapa. Tiba-tiba polis itu mengarahkan kami berhenti. Yang terpikir, mesti kami ada buat salah masa memandu. Atau pun sebab kami ceramah PAS. Tiba-tiba polis menghampiri Tok Guru di pintu kereta.

“Haji datang dari mana?” polis itu bertanya.

“Melaka,” jawab Tok Guru. “Ada ceramah PAS,” Tok Guru berterus-terang. “Kenapa Cik,” Tok Guru bertanya sebab.

“Mana tayar kereta Tuan Haji,” polis itu bertanya.

“Hah!” kami terkejut. Apahal dengan tayar kereta kami. Lalu kami keluar dari kereta untuk melihat keadaan sebenar yang berlaku.

Rupa-rupanya, tayar kereta kami tinggal tiga sahaja. Mana satu lagi?

“Dari tadi lagi Tuan Haji berjalan dengan tayar tiga ini. Tak tahu ia tercabut kat mana,” beritahu polis yang mengikuti kami dari belakang jauh sebelum kami berhenti.

“Selepas kami memasang tayar spare, kami pun bertolak pulang,” cerita Ustaz mengenai kejadian aneh itu.

“Ustaz rasa Tok Guru ada keramat macam wali-wali tak?” saya bertanya pandangan Ustaz.

“Tok Guru ini ulamak yang ikhlas. Berjuang untuk agama Allah. Rajin buat ibadat. Habis usianya untuk Islam. Di madrasah, dalam jemaah, dia juga ahli Majlis Fatwa Perak. Banyak jasa dia. Bila kita kuat hubungan dengan Allah, ikhlas kerana Allah, rajin pula berjihad, tidak pelik kalau diberi karamah oleh Allah.

“Pengalaman ana berjuang dengan Tok Guru ini, tengok macam-macam keramat dia. Ana tak fikir PAS yang didukung oleh Tok Guru ini sesat. Sebab perjuangan yang sesat, Allah tak bantu. Sebab itu ana yakin betul dengan perjuangan PAS ini, selagi kita pegang al-Quran dan Sunnah, Allah pasti akan tolong kita,” Ustaz menzahirkan keyakinan bulatnya terhadap perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Saya pun betul-betul yakin untuk mendukung perjuangan PAS setelah mendengar kisah karamah Tok Guru ini. Mudah-mudahan Allah memberikan istiqamah kepadaku…

Semoga Allah mengampunkan dosa kedua-dua guruku ini dan diterima seluruh amalnya dalam membangunkan perjuangan Islam.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 21/5/2020

- Advertisement -