Liabiliti: Pisau bermata dua

- Advertisement -

SUATU hari saya berjumpa seorang juru audit di sebuah firma perakaunan. Dalam kesempatan berbual mengenai akaun, saya tanya jika beliau ada penyata akaun sendiri. Jawab beliau, “Tak ada”. Lalu saya tanya, “Kenapa?”. Jawab beliau, “Takut tengok hutang banyak”.

Sistem berasaskan hutang

Sistem kewangan dunia hari ini hakikatnya memang berasaskan hutang. Sekali pun anda berurusan dengan Bank Islam, matlamat akhir bank itu ialah supaya anda menanggung liabiliti (hutang). Justeru, ilmu ‘bermain’ dengan hutang bagi saya adalah suatu kemestian pada masa kini.

Malangnya, ilmu pengurusan kewangan sendiri masih lagi belum didedahkan secara serius dan telus hatta di peringkat sekolah sekali pun. Ia tidak terhad hanya di Malaysia. Bahkan ia adalah fenomena global.

Jika pun ada individu tertentu yang mendapat gelaran sebagai ‘perunding kewangan’, lazimnya mereka sendiri masih terikat dengan produk kewangan yang sangat ‘skema’. Sistem masih nampak sempurna. Individu yang bercakap masih di takuk lama.

Sementara menanti berlakunya perubahan sistem kewangan, solusi jangka masa pendek ialah mengubah cara berfikir dan bertindak.

- Advertisement -

Titik penentu berjaya atau gagal

Liabiliti (hutang) ialah titik penentu kejayaan atau kegagalan kewangan seseorang. Saya pernah ditanya, “Apakah perkara paling bodoh pernah saya buat?”. Saya jawab, “Beli kereta”. Apabila diaju soalan, “Apakah perkara paling bijak pernah saya buat?” jawapan saya “Beli kereta”. Walhal kedua-duanya saya beli secara hutang.

Kenapa begitu? Ini kerana perbezaan cara berfikir mengubah cara saya bertindak. Alhamdulillah ia menatijahkan hasil yang berbeza. Apabila saya faham game liabiliti (hutang), kereta yang asalnya ialah liabiliti telah bertukar menjadi aset. Perinciannya dalam tulisan akan datang insyaAllah.

Liabiliti (hutang) umpama pisau yang mempunyai dua mata. Jika anda tahu menggunakannya, matanya dihalakan ke depan untuk manfaat anda. Jika anda tak tahu menggunakannya, bila-bila masa matanya itu boleh mencederakan tuan pisau.

Apabila liabiliti (hutang) makan tuan, muflis ialah suatu kebarangkalian. Kalau anda buat liabiliti (hutang) dengan ‘lintah darat’, darah mungkin jadi taruhan. Satu lagi penangan liabiliti (hutang) ialah ‘rat race’. Bahasa mudahnya, pi mai pi mai tang tu. Bak kata kenalan saya, “Orang tanya kenapa beli kereta? Sebab nak pergi kerja. Kenapa kerja? Sebab nak bayar hutang kereta”.

Fahami game liabiliti

Saya tak berniat mengajak anda supaya membenci hutang. Saya hanya mengajak anda supaya faham game liabiliti (hutang). Oleh sebab itu, apabila saya terjumpa soalan “Manakah yang lebih baik? Beli rumah atau beli kereta?”, saya tahu soalan seperti ini datang daripada individu yang tak memahami game liabiliti.

Untuk faham game liabiliti, anda perlu faham maksud aset kemudian dikaitkan bersama dengan 2 kotak teratas ‘akaun bajet’ (duit masuk dan duit keluar). Rangkuman kesemua 4 kotak itu akan mendedahkan game liabiliti yang saya maksudkan.

Berapa had maksimum liabiliti (hutang)? Jawapan pertama, jangan lebih 33 peratus daripada perbelanjaan anda. Jawapan kedua, tiada had maksimum. Kenapa jawapan berbeza? Sekali lagi ia bergantung sejauh mana kepandaian anda bermain dengan liabiliti.

Saya tak berniat untuk melanjutkan topik ini ke masa tambahan. Saya kira ia cukup sebagai mukadimah kepada tulisan yang bakal menyusul selepas ini.

Liabiliti lebih dari sekadar hutang

Di penghujung tulisan ini, saya suka ingatkan mengenai sifat dan skop liabiliti. Liabiliti itu sifatnya menarik keluar duit anda sekali atau berkali-kali. Kereta, anak, isteri dan haiwan peliharaan adalah antara contoh liabiliti. Ada yang diistilahkan sebagai ‘harta’ dan ada yang tidak.

Suatu ketika dahulu saya terlibat dalam satu penyelidikan berkumpulan berkaitan zakat. Fokus saya ialah golongan al-gharimin yang disebut dalam al-Quran antara senarai penerima bantuan zakat.

Setelah melakukan kajian, saya temui kehalusan bahasa dan kehalusan sistem kewangan Islam. Dalam keadaan tertentu, Islam membantu meringankan beban al-gharimin yang ditafsirkan sebagai ‘penanggung liabiliti’. Rupa-rupanya ia lebih luas berbanding ‘penanggung hutang’. Betullah. Liabiliti lebih dari sekadar hutang.

Saya tinggalkan saudara dengan ayat tersebut:

اِنَّمَا الصَّدَقٰتُ لِلْفُقَرَاۤءِ وَالْمَسٰكِيْنِ وَالْعٰمِلِيْنَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوْبُهُمْ وَفِى الرِّقَابِ وَالْغٰرِمِيْنَ وَفِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ وَابْنِ السَّبِيْلِۗ فَرِيْضَةً مِّنَ اللّٰهِ ۗ وَاللّٰهُ عَلِيْمٌ حَكِيْمٌ

“Sesungguhnya (hasil kutipan) zakat adalah untuk orang-orang fakir, orang miskin, amil zakat, orang yang dilunakkan hatinya, hamba sahaya, al-gahrimin, orang yang berjuang di jalan Allah dan orang yang terputus belanja perjalanan. Ini adalah suatu kewajipan daripada Allah. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

(al-Taubah: 60)

HASNAN AB – HARAKAHDAILY 21/5/2020

*Penulis ialah bekas pensyarah di bidang Muamalat dan Pengajian Islam. Kini berkecimpung sepenuh masa sebagai usahawan. Ikuti pandangan beliau berkaitan pengurusan kewangan di http://www.facebook.com/abambajett

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -