Kemiskinan ala Zindiq dan fitnah akhir zaman

- Advertisement -

DAJAL dengan watak baik

(1) Artikel semalam yang bertajuk Kemiskinan Dan Krisis Aqidah [1], saya cuba melontarkan isu supaya isu kemiskinan dapat diurus dengan baik dengan melaksanakan sistem Islam. Ya, mungkin perlu ambil masa untuk diaplikasikan sedikit demi sedikit.

Dalam isu krisis aqidah yang bersangkutan dengan kemiskinan (ekonomi) kita perlu meneliti lebih mendalam terhadap kerompangan aqidah. Sekadar contoh, orang yang faqir boleh menjadi ‘hamba duit’.

(2) Hamba duit yang saya ertikan ialah mereka begitu mengharapkan duit sehingga sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menggadaikan prinsip, maruah, dan apa sahaja asalkan boleh hidup. Lama kelamaan ia menjadi tabiat.

Apatah lagi di akhir zaman yang serba rencam. Hal ini saya pernah utarakan dalam artikel ‘COVID-19: Krisis Zaman Dajal Yang Lebih Dahsyat’ [2] yang menggambarkan bagaimana manusia hari ini terkesan dengan 2 watak;

(a) Kerajaan yang baik, mengeluarkan peruntukan yang besar untuk membantu rakyatnya. Begitu juga dengan NGO atau individu yang memberi sumbangan.

(b) Doktor atau Frontliner yang cemerlang dalam membasmi COVID-19. Mencari penawar untuk COVID-19, dan sudah pasti mereka ini sangat diperlukan masyarakat.

- Advertisement -

(3) Saya cuba membayangkan bagaimana sekiranya Dajal itu datang dengan membawa makanan dan minuman sedangkan ketika itu Kerajaan tidak mampu sediakan. Sudah pasti masyarakat akan berkata ‘Dajal itu lebih bagus kerana memberi sumbangan’

Cuba bayangkan juga sekiranya Dajal itu datang dengan membawa penawar COVID-19, sudah pasti seluruh dunia menghurungnya untuk ‘mendapatkan nyawa’, untuk terus hidup. Pastinya masyarakat akan berkata ‘Dajal itu lebih hebat daripada doktor’.

Realiti ini boleh dilihat dari sudut kemiskinan yang boleh melonggarkan aqidah. Apabila seseorang itu miskin dan sanggup melakukan apa sahaja untuk hidup, maka Dajal akan hadir dalam hidupnya dan menawarkan kekayaan. Apa akan terjadi?

Pemerintah yang bermewah

(1) Pada zaman Khilafah Umawiyyah kemudian Abbasiah khususnya, para pemerintah ada yang hidup bermewahan, cintakan dunia, mengejar pangkat, semakin jauh daripada gaya kepimpinan Salafussoleh. Realiti kemewahan ini menimbulkan pertentangan.

Antara pertentangan yang timbul ialah wujudnya tokoh-tokoh Islam yang mengambil pendekatan untuk berzuhud, meninggalkan dimensi yang gilakan dunia kepada dimensi yang menghampirkan diri kepadaNya.

(2) Semakin ramai manusia yang gilakan harta dan dunia, semakin ramai juga yang mula mengasingkan diri bagi menjaga diri. Ada yang berkhalwat di gua-gua, di gunung-ganang jauh daripada manusia.

Antaranya yang disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam Minhajul Abidin mengenai kewujudan golongan seperti ini yang berkhalwat di gunung-gunung Lubnan, sehingga apabila berlakunya serangan pemikiran Muktazilah, mereka tak mampu hadapi.

(3) Dalam konteks ini kita perlu jelas bahawa kewujudan kumpulan sufi yang meninggalkan dunia, mencela dunia, dan sebagainya muncul sebagai tindak balas kepada pemerintahan yang hidup bermewah dan boros.

Alasan yang digunakan oleh mereka bagi menjaga hati daripada fitnah dunia dalam bentuk kekayaan. Maka, akibatnya ialah berlakunya jurang yang besar dalam dunia Islam.

(4) Jurang yang besar terjadi pada era pemerintahan Islam ialah golongan pemerintah yang diktator, rebutkan kuasa, dan sebagainya, dan juga golongan ahli ibadah yang menolak dunia dan mencela dunia kerana fitnahnya.

Lalu muncullah tulisan-tulisan para Ulamak ketika itu yang menyuruh kepada penjagaan hati, kembali kepada Allah S.W.T dan menyarankan hidup bersederhana, berpada dengan apa yang ada قناعة dan sebagainya.

Kemunculan fahaman Zindiq

(1) Kesan negatif terhadap gerakan-gerakan yang muncul akibat tindak balas terhadap pemerintah yang gilakan dunia, telah menarik minat orang-orang jahil untuk memilih hidup susah dan bergelumang dalam kemiskinan.

Mereka tidak mahu bekerja kerana menanggap memadai dengan tawakal. Yakin rezeki itu turun tanpa usaha. Mereka tidak mahu kahwin kerana bimbang menyibukkan diri daripada beribadah.

(2) Mereka tidak menyibukkan diri dengan menuntut ilmu, akan tetapi memenuhkan masanya berkhalwat dan bersendiri. Realiti ini menjadikan jurang antara mereka dan politik negara semakin jauh.

Mereka tidak mahu menyertai peperangan kerana bimbangkan ghanimah mengelabui mata mereka. Mereka tidak mahu diri mereka leka dengan ghanimah. Lalu mereka tidak menyertai usaha untuk mengembangkan Islam.

(3) Ringkas ceritanya, ia dikenali sebagai Zindiq. Golongan Zindiq mengalami masalah aqidah. Bahkan mereka ada beberapa jenis. Yang saya highlightkan di dalam tulisan ini sekitar dua golongan iaitu العبدكية dan juga الروحانية.

(a) Di dalam kitab المسالك في شرح موطأ الإمام مالك Golongan Abdakiah mengatakan bahawa dunia itu haram, melainkan diuruskan oleh pemerintah yang adil. Sekiranya tidak, segala urusan keduniaan adalah haram termasuk jual beli.

(b) Di dalam kitab الموسوعة الميسرة في الأديان والمذاهب والأحزاب المعاصرة menggariskan 5 pecahan Zindiq, antaranya ialah Abdakiah dan Ar Ruhaniah. Turut menyatakan bahawa kemunculan Zindiq di awal Abbasiah.

Sebab itu dalam bab ini, kita perlu faham beza antara seorang alim yang mencari kesufian, dan orang jahil yang cuba mengikuti jalan kesufian para alim tanpa didasari dengan disiplin ilmu yang teratur.

Kejatuhan Abbasiah 1256

(1) Catatan mengenai sejarah Islam di era pemerintahan Umawiyyah dan Abbasiah menyaksikan bagaimana munculnya gerakan untuk mengajak manusia kembali kepada hidup sederhana dan menjauhi pemerintahan yang teruk.

Di penghujung Era Abbasiah, ada dari kalangan ahli sufi yang terkesan dengan nilai-nilai falsafah dan mencetuskan pembawaan baru seperti Ibn Arabi. Gabungan falsafah dan tasawuf itu menyemarakkan lagi seruan ke arah meninggalkan dunia.

(2) Pendekatan mereka ialah penjagaan hati di tahap tinggi sehingga menyebabkan dari kalangan mereka terdorong untuk mengabaikan dunia politik dan pemerintahan. Seolah-olah mereka membiarkan kerosakan pemerintah.

Akhirnya menyebabkan Umat Islam semakin mundur, dan akhirnya Abbasiah jatuh di tangan Tatar pada 1256. Apabila jatuhnya Abbasiah, munculnya Imam Ibn Taimiyyah cuba mencetuskan gerakan pemikiran untuk mengembalikan daya pemikiran umat Islam.

(3) Apa yang saya kongsikan ini bukanlah semata nak menceritakan sejarah, akan tetapi ingin menggambarkan bagaimana munculnya gerakan yang mengajak supaya ‘meninggalkan dunia’ sedangkan dunia memerlukan mereka.

(a) Gerakan seperti ini memberi kesan positif dan negatif (Pro Kontra). Kesan positifnya ialah penyucian hati daripada cintakan dunia, rebutkan jawatan, utamakan hawa nafsu dan segala penyakit hati.

(b) Kesan negatifnya ialah apabila orang-orang jahil mula berminat untuk menceburi bidang ini tanpa ilmu. Hal ini telah saya huraikan tadi dalam menceritakan mengenai Zindiq tadi.

Mereka yang hidup ala-ala gelandangan dianggap sebagai ahli sufah (sufi), tiada daya untuk mengusahakan tanah, malas bekerja mencari nafkah, tidak mahu berkahwin kerana dianggap sebagai nafsu dan sebagainya.

Dua dimensi

(1) Kesimpulannya, dalam membahaskan bab kemiskinan yang bersangkutan dengan isu aqidah ini, kita perlu memahami dua dimensi.

(a) Dimensi orang jahil yang terikut dengan seruan untuk meninggalkan dunia lalu memilih cara hidup yang miskin dan malas berusaha. Bimbang melahirkan pemikiran Zindiq.

(b) Dimensi orang jahil yang hidup serba kekurangan, terpaksa meminta, dan sanggup menggadaikan apa sahaja demi sesuap nasi. Bimbang mengundang kelonggaran aqidah.

(2) Dua dimensi ini terjadi pada zaman yang berbeza dan situasinya pun berbeza. Namun, kesannya adalah sama, iaitu mengundang kepada krisis Aqidah. Hal ini boleh dibayangkan sekiranya kemunculan Dajal.

Golongan yang longgar aqidahnya akan dihidangkan dengan kekayaan. Manakala golongan yang Zindiq akan dihidangkan dengan keajaiban keajaiban Dajal yang luar daripada kemampuan manusia.

(3) Sekiranya Dajal menawarkan makanan, pastinya golongan miskin yang longgar pegangan aqidahnya akan menghurung, demi sesuap makanan. Tika itu tergadailah aqidah mereka.

Sekiranya Dajal menawarkan keajaiban-keajaiban seperti menghidupkan orang mati, menurunkan hujan dan sebagainya, pastinya golongan Zindiq akan menghurung Dajal atas ketakjuban mereka dengan kehebatan Dajal.

(4) Demikianlah bahayanya fitnah Dajal. Dajal pastinya akan datang dengan membawa imej yang baik, membantu orang susah, menghidupkan orang yang sudah mati untuk anak-anak yang kehilangan ibu bapa.

Dajal juga akan menyelesaikan krisis ekonomi yang teruk, menyelesaikan krisis kemarau, masalah air, krisis alam sekitar dan sebagainya. Ketika itu mereka yang tiada persiapan bimbang akan cenderung untuk menghurung Dajal.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 21/5/2020

- Advertisement -