Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 27)

- Advertisement -

TADABUR ayat al-Quran melalui juzuk 27 hari ini memfokuskan mengenai sikap manusia apabila mempunyai harta dan kemewahan duniawi. Seburuk-buruk sifat yang dimiliki oleh manusia terutama orang kaya adalah sifat bakhil atau kedekut. Orang kaya tetapi bakhil sebenarnya dia adalah orang yang sombong dan bangga diri kerana dia merasakan harta dapat menyelamatkannya kelak. Sementara orang yang beriman, hartanya turut dikongsikan dengan orang susah dengan menghulurkan sedekah atau sumbangan. Mereka menyakini Allah S.W.T akan menggantikan kepada mereka yang terlebih baik daripada yang mereka sedekahkan. Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

إِنَّ ٱلۡمُصَّدِّقِینَ وَٱلۡمُصَّدِّقَـٰتِ وَأَقۡرَضُوا۟ ٱللَّهَ قَرۡضًا حَسَنࣰا یُضَـٰعَفُ لَهُمۡ وَلَهُمۡ أَجۡرࣱ كَرِیمࣱ

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan juga orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya, dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.”

[al-Hadid: 18]

Bersedekah mempunyai cara yang pelbagai, tidak semestinya dengan menghulur wang lalu dikira sedekah. Sesungguhnya sedekah yang paling afdhal ialah segala peninggalan kita yang manfaatnya berkekalan dan kita bakal kecapi di alam barzakh dan akhirat. Ilmu yang disebarkan juga termasuk dalam sedekah, begitu juga anak yang soleh, dia boleh mendoakan kebaikan setelah ketiadaan kita, masjid yang dibina, mushaf yang diagihkan dan lain-lain sedekah akan bersama kita setelah kita meninggal dunia nanti. Sabda Rasulullah S.A.W:

إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ

“Sesungguhnya yang diperolehi oleh orang yang beriman daripada amalan dan kebaikan yang dia lakukan setelah dia mati ialah: Ilmu yang dia ajar dan sebarkan, anak soleh yang dia tinggalkan, mushaf al-Quran yang dia wariskan, masjid yang dibina, rumah bagi ibnu sabil yang dia bina, sungai yang dia alirkan kemudahan airnya dan sedekah yang dia keluarkan daripada hartanya ketika dia sihat dan masih hidup. Semua itu akan berterusan dengannya setelah dia mati.”

(Ibnu Majah dan Baihaqi)

Hakikatnya, dengan bersedekah juga, dapat menghapuskan segala dosa dan kesalahan terdahulu setelah seseorang itu bertaubat dan menyesali dosa-dosanya yang lalu. Dengan amalan bersedekah, sesuatu bencana dan wabak akan terhalang daripada menimpa seseorang. Oleh kerana itu, para salafussoleh amat menekankan amalan bersedekah dalam kehidupan mereka setiap hari.

Sedekah pada masa dahulu lebih tertumpu kepada penyebaran ilmu, bantu-membantu dalam masyarakat serta membina madrasah dan kemudahan awam. Sekiranya ada orang kaya yang bakhil, mereka akan merasa malu dan turut terlibat dengan agenda kemasyarakatan itu. Namun, sekiranya seseorang itu tetap bersikap kedekut dan langsung tidak mahu berkongsi kesenangan yang dikecapi dengan orang susah, Allah akan menarik balik nikmat tersebut dan pelbagai musibah menimpanya di samping dia tetap berada dalam kegelisahan. Firman Allah S.W.T:

ٱلَّذِینَ یَبۡخَلُونَ وَیَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبُخۡلِۗ وَمَن یَتَوَلَّ فَإِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡغَنِیُّ ٱلۡحَمِیدُ

“Orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya berlaku bakhil, (akan mendapat balasan yang menghina); dan sesiapa yang berpaling (daripada mematuhi hukum Allah maka padahnya tertimpa ke atas dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”

[al-Hadid: 24]

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
28 Ramadan 1441 / 21 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 21/5/2020

- Advertisement -