Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (61)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

قُل لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.”

Intisari penting

(1) Banyaknya air laut

Syed Qutb berpendapat laut itu ibarat perasaan manusia mengenai luasnya ilmu mereka. Sememangnya air dan laut antara objek paling banyak di atas muka bumi. Hamka menyatakan, 4/5 bumi adalah laut. Menurut Syaarawi pula, air laut tak akan habis kerana proses kitaran air (hydrological cycle). Setiap yang kita gunakan akan kembali disejat membentuk awan sebelum dicurahkan kembali ke laut dalam bentuk hujan.

Andainya air laut itu kuantiti ilmu manusia, hakikatnya ia langsung tidak setanding dengan ilmu tuhan walaupun ditambah lautan berganda-ganda lagi. Firman Allah S.W.T:

وَلَوْ أَنَّمَا فِي الْأَرْضِ مِن شَجَرَةٍ أَقْلَامٌ وَالْبَحْرُ يَمُدُّهُ مِن بَعْدِهِ سَبْعَةُ أَبْحُرٍ مَّا نَفِدَتْ كَلِمَاتُ اللَّـهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi dakwat), ditambah tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

[Luqman:27]

Perbezaan ilmu setiap manusia

Walaupun digambarkan ilmu manusia seluas lautan, namun tiada manusia di dunia ini mendapatkan semuanya. Ilmu yang ada pada Nabi Khadir tidak ada pada Nabi Musa dan begitulah sebaliknya. Ucap Nabi Khadir:

“Aku dikurniakan ilmu daripada ilmu-ilmu Allah yang tidak diketahui oleh kamu. Kamu pula dikurniakan ilmu daripada ilmu-ilmu Allah yang tidak aku ketahui.”

Nabi Muhammad S.A.W sendiri tidak lebih tahu daripada umatnya dari semua segi. Sabda Rasulullah S.A.W:

أَنْتُمْ أَعْلَمُ بأَمْرِ دُنْيَاكُمْ

“Kalian lebih mengetahui mengenai urusan dunia kalian.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Ibrah akhir zaman

Ayat ini adalah teguran kepada manusia supaya tidak sekali-kali merasakan mereka tahu segala-galanya. An-Nadawi mengaitkan keempat-empat kisah dalam surah al-Kahfi dengan pengajaran ayat ini. Sikap melihat diri hebat dengan ilmu yang ada boleh membawa kepada mempertuhankan diri sebagaimana Diqyanous (Ashabul Kahfi). Ilmu yang ada adalah antara ujian keduniaan yang boleh membawa kekufuran jika tidak dihiasi dengan tawadhu` (pemilik dua kebun). Ilmu yang manusia tahu boleh membawa kepada penentangan terhadap semua benda yang mereka tidak tahu (Nabi Musa). Sedangkan ia boleh membawa kesilapan, bak menganggap matahari tenggelam di dalam air yang gelap (Zulqarnain).

Menurut para Mufassirin, pengajaran utama adalah supaya tidak timbul penyakit terlalu yakin dengan diri sendiri (overconfident). Di dalam ilmu tasawwuf, penyakit ini dipanggil al-Ghurur (الغُرُور). Di dalam psikologi, ia diistilah sebagai Narsisisme (Narcissism). Narsisisme adalah penyakit mental (Narcisstic Personality Disorder).

Narsisisme dibincangkan lebih kepada individu dengan maksud seseorang merasakan diri sendiri paling bagus sehingga menafikan orang lain. Perbahasan yang lebih luas daripada itu adalah Humanisme, merasakan manusia paling bagus sehingga menafikan kuasa tuhan. Pemikiran ini adalah sintesis kepada Empirikalisme dan Rasionalisme. Ia juga berkembang pada era Renaissance. Antara tokohnya adalah Socrates, Plato dan Aristotle. Oleh kerana manusia dianggap makhluk paling sempurna segala segi dan alam ini semuanya untuk memenuhi keperluan manusia, maka kebenaran diukur berdasarkan kepentingan manusia.

Humanisme sering diselindungkan dengan terma kemanusiaan (humanity) dan hak asasi manusia (human rights). Ia masuk secara halus ke dalam komuniti Islam kononnya bagi melawan pemikiran materialistik dan sikap mementingkan diri sesetengah pihak. Namun tanpa disedari, ia mendorong kepada agenda Humanisme untuk membuang batas agama. Akhirnya ia membawa kepada Liberalisme dan Ateisme.

Kecoh di negara kita apabila seorang peguam yang terkenal dengan pemikiran Liberal sering mempertikaikan syariat Islam yang melanggar hak asasi manusia untuk hidup bebas. Tetapi sedarkah, fanatik beliau terhadap hak asasi manusia telah mencemarkan akidahnya apabila zat berpandangan tuhan dalam bentuk getaran. Ini kerana akar doktrin hak asasi manusia dan Humanisme sebenarnya sama, bagi menafikan peranan agama. Namun, beliau dianggap benar hanya kerana kerja-kerja kemanusiaan yang dibuat.

Humanisme turut merasuk Islamis. Terdapat ulamak yang menganggap sifat kemanusiaan adalah lebih utama berbanding beragama. Muncul buku bertajuk kemanusiaan sebelum beragama (الإِنْسَانِيَّة قَبْلَ التَّدَيُّن) menggambarkan Nabi mengajak kepada nilai kemanusiaan dahulu sebelum beragama. Seolah-olah agama dan kemanusiaan itu terpisah.

Ia juga menyerang gerakan Islam. Kerana terlalu kemaruk dengan sistem demokrasi yang memberikan kuasa kepada manusia secara kolektif, ramai Islamis menganggap demokrasi adalah bertepatan dengan Islam 100 peratus. Lalu mereka mengiktiraf dan mengikut segala lunas demokrasi tanpa batas lagi.

Maka sedar diri dengan batasan akal manusia dan mengiktiraf ilmu Allah adalah tuntutan penting umat akhir zaman. Kita bakal berhadapan fitnah Dajal yang amat mengelirukan. Agama akan dinilai berasaskan epistemologi manusiawi. Perkara haram akan dinampakkan sebagai tidak logik atau tidak kondusif bagi menghalalkannya.

Pada saat itu, hanya yang sedar Allah Maha Mengetahui sahaja sanggup mengikut panduan Islam walaupun tanpa terlebih dahulu memahami hikmah di sebaliknya. Itulah makna iman yang hakiki. Menyerah diri bulat-bulat kepada Allah dan percaya segala yang diwahyukanNya.

ALANG IBN SHUKRIMUN
28 Ramadan 1441
21 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 21/5/2020

- Advertisement -