Mengenali aksi Sanusi di PRK P.67 K Kangsar

sanusi
- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, hari ini mendapat perkhabaran bahawa Perikatan Nasional membentuk Kerajaan setelah Pakatan Harapan hilang kerusi majoriti, Haji Sanusi dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baru.

Mengimbau kembali kenangan lalu, memang layaklah pemimpin ini diangkat menjadi pimpinan nombor satu di negeri Jelapang Padi, Kedah. Saya ingin kongsikan, siapakah Haji Sanusi ini?

PRK Kuala Kangsar 2016 cukup untuk menceritakan, siapakah beliau yang saya kenali. Pada hari pertama, kami diarahkan ke kompleks PAS kawasan Kuala Kangsar untuk menerima dan menyambut kehadiran petugas daripada Kawasan-kawasan Negeri Kedah.

- Advertisement -

Memang seperti kebiasaan, setiap kali Pilihan Raya Kecil berlaku, Kawasan-kawasan dari negeri lain akan hadir membantu.

Sewaktu itu, UPU Sayong di bawah kelolaan saya, mendapat bantuan dari PAS Kawasan-kawasan Negeri Kedah yang di antaranya adalah dari Kawasan Sik di mana pada ketika itu Haji Sanusi sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan dan wakil yang mendaftarkan nama peserta-peserta dari Sik pada ketika itu menggelarkan dirinya sebagai Pak Long. Mereka seterusnya dibawa ke penginapan dan diberi penerangan ringkas berkenaan lokasi-lokasi yang berada di dalam UPU Sayong.

Tibalah pada hari kedua, di mana pada sebelah malamnya, diadakan sesi taklimat oleh UPU Sayong bersama wakil Kawasan yang terdiri daripada Yang Dipertua Kawasan-kawasan iaitu dari Sik, Jerlun, Langkawi dan Pengarah Pilihan Raya dari Kawasan yang satu-satunya mewakili Negeri Perak iaitu Larut.

Inilah pengalaman pertama saya berucap di hadapan YDP PAS Kawasan-kawasan dan pimpinan-pimpinan lain dan dalam masa yang sama akan memberi arahan kepada mereka.

Bayangkan apabila terpaksa memberi arahan kepada mereka yang sudah biasa memimpin, tambahan pula, ada antara mereka yang hadir pada ketika itu adalah Pengarah Pilihan Raya Negeri Kedah dan beberapa pimpinan lagi. Saya akur dengan permintaan untuk menurunkan arahan kepada mereka bagi menjalankan tugas sepanjang PRK tersebut.

Soalan berulang saya tanyakan kepada mereka semua, adakah mereka boleh terima dengan arahan daripada saya, namun jawapan mereka tetap sama, kami terima apa pun jua arahan dan kami akan patuh dan ikut.

Tersentak dan sebak apabila mendengar dari mulut mereka sendiri. Ternyata mereka ini bukanlah pimpinan biasa-biasa dan sikap yang mereka tunjukkan itu menandakan mereka berjiwa rakyat dan kedudukan bukanlah sebagai keutamaan.

Sepanjang PRK itu lagi, ada beberapa peristiwa yang tidak akan saya lupakan dan akan terus mekar menjadi ingatan buat selama-lamanya. PRK itu berlaku iaitu pada bulan Ramadan, pada bulan Mei 2016. Kekangan tugasan terhad memandangkan ianya pada musim umat Islam sibuk menjalani ibadah puasa.

Jawatankuasa memutuskan beberapa tugas yang boleh dilakukan, antaranya ialah mengadakan edaran bubur lambuk dan ziarah mengikut jadual yang ditetapkan sepanjang masa.

Apa yang lagi membuatkan saya terharu ialah apabila Haji Sanusi menawarkan diri untuk menyediakan dan memasak bubur lambuk tersebut. Hasrat beliau adalah untuk orang Kuala Kangsar merasai air tangan orang Kedah sendiri.

Saya menawarkan untuk mencari duit sebagai kos membuat bubur lambuk tersebut, namun lagi sekali jawapan Haji Sanusi membuatkan saya merasa terharu dengan kesungguhan dan keikhlasan beliau. Beliau memberitahu pada saya supaya tidak perlu khuatir dan risau pasal kewangan, beliau hanya meminta saya untuk mencari orang untuk makan sahaja.

Haji Sanusi sentiasa berada di dapur bermula sedari tengahari hinggalah ke petang, ada kalanya sehari dua beliau tiada di situ membuatkan saya bertanya pada Pak Long, di manakah Haji Sanusi berada ketika itu.

Rupa-rupanya, apabila Haji Sanusi tiada, beliau berulang-alik ke Kedah, kata Pak Long, beliau pergi mencari duit, Allah, terasa sebak mendengar cerita Pak Long. Betapa bersungguhnya usaha Haji Sanusi untuk memastikan gerak kerja PRK Kuala Kangsar berjalan dengan lancar dan baik, sanggup beliau berulang-alik dari Kuala Kangsar ke Sik.

Pada hari di mana ianya adalah hari kempen akhir, UPU Sayong menganjurkan ceramah, penceramah-penceramah yang hadir termasuk pimpinan-pimpinan Pusat.

Dalam kehadiran orang ramai yang hadir, saya berlegar-legar dan terserempak dengan Haji Sanusi, saya terus mempelawa agar beliau duduk sepentas bersama dengan penceramah-penceramah yang lain.

Inilah waktu untuk Haji Sanusi menonjolkan diri untuk mengambil peluang berceramah sekali, namun sikap rendah diri beliau sekali lagi membuatkan saya berasa kagum, beliau jawab, biar saya duduk sekali di tengah-tengah orang ramai ini. Allah hadirkan pimpinan berjiwa rakyat ini sebagai tauladan buat kami, mereka ini ikhlas berjuang kerana Allah.

Suatu hari, tempat penginapan petugas Kedah yang berada di Markas PAS Sayong Tebing diserang oleh penyokong-penyokong PAN yang diketuai oleh Mat Sabu. Penyokong-penyokong PAN ini membuat provokasi sehingga di hadapan pintu markas.

Jiwa kepimpinan sebenar Haji Sanusi dan yang lain mempertahankan dan membuat kenyataan serang balas, merekalah benteng pertahanan PAS yang tidak akan membiarkan PAS dilemahkan oleh pihak musuh.

Sepanjang tempoh kempen tersebut, petugas-petugas Muslimin dan Muslimat bertukar ganti namun berbeza dengan pemimpin yang hebat ini, beliau istiqamah mempertahankan kubu, dari awal hinggalah ke akhir. Itu lah Haji Sanusi dan kumpulan-kumpulan pejuang yang hebat. Dalam Kenangan.

MAKMUN ZULKEFLI – HARAKAHDAILY 20/5/2020

- Advertisement -