Kabiran di sisi Allah, Shaghiran di sisi manusia

- Advertisement -

DALAM kitab Faidhu Al-Mannan Fi Durus Ramadhan karya Syeikh Ahmad Al-Sa’dani menegaskan bahawa tiada istilah berehat bagi orang yang mendambakan kehidupan penuh sejahtera di akhirat:

- Advertisement -

إن الذي يعيش لنفسه قد يعيش مستريحا، ولكنه يعيش صغيرا ويموت صغيرا ، فأما الكبير الذي يحمل هذا العبء الكبير فما له والنوم وما له والراحة؟ وما له والفراش الدافئ والعيش الهادئ والمتاع المريح؟ ولقد عرف رسول الله صلى الله عليه وسلم حقيقة الأمر وقدره فقال لخديجة رضي الله عنها وهي تدعوه أن يطمئن وينام {مضى عهد النوم يا خديجة}

“Sesungguhnya orang yang hidup hanya untuk dirinya sahaja kekadangnya dia hidup dengan penuh keselesaan. Namun, hidup dan matinya ternyata hanya mendapat ganjaran biasa. Adapun orang yang banyak taklifan yang memikul bebanan yang besar, maka apakah baginya tidur yang cukup dan kerehatan? Apakah dia kisah dengan tilam yang empuk, hidup yang tenang dan nikmat yang selesa? Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah menjelaskan hakikat serta nilai perkara ini dengan memberitahu Khadijah R.A tatkala dia menenangkannya serta meminta Baginda tidur seketika {telah berlalu waktu untuk tidur wahai Khadijah}.”

Orang yang berjiwa besar dan sanggup memikul amanat untuk sentiasa hidup membantu orang lain ialah ‘Kabiran’ iaitu mulia dan mendapat ganjaran besar di sisi Allah S.W.T. Manakala golongan yang hanya berbuat kebajikan untuk diri sendiri, usaha serta amalannya adalah untuk maslahah dirinya semata-mata, adalah ‘Shaghiran’ atau orang yang hanya beroleh ganjaran biasa sahaja di sisi Allah. Perbezaan keduanya sangat jauh daripada sudut hablun minannas atau hubungan sesama manusia yang dijalinkan semasa kehidupan di dunia. Allah S.W.T menghendaki bukan setakat ubudiyyah kepada-Nya akan tetapi pembentukan kesatuan sesama manusia turut dilaksanakan dengan cara yang dituntut oleh Syariat.

Hidup di dunia hanya sementara untuk bercucuk tanam dan mendapatkan hasilnya di akhirat kelak. Syaitan dan musuh Islam bekerja siang dan malam untuk memusnahkan cahaya Islam dan kesatuan utuh antara ummah. Mereka mahukan perpecahan, berbunuh sesama sendiri, asyik berkhilafan sehingga bermusuhan dan kehancuran ummah ini. Oleh itu, tiada waktu rehat sebenarnya, masa terlalu suntuk dan memerlukan umat Islam keseluruhannya mempunyai wa’yu al-fikr atau kesedaran pemikiran untuk berganding bahu menegakkan tuntutan Islam di muka bumi. Sempena bulan berkat, malam-malam sepuluh terakhir yang berkat ini, perbanyakkan doa untuk ummah jangan hanya doakan diri sendiri sahaja. Doakan kebangkitan dan perpaduan Islam sejagat serta diri kita menjadi ‘Kabiran’ yang diredhai Allah S.W.T.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 20/5/2020

- Advertisement -