Tun M tetap mahu meletak jawatan – YDPA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sedih atas peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Baginda yang berkenan bertemu Tun Mahathir ketika krisis politik negara ketika itu telah meminta supaya PM ke-7 tidak meletakkan jawatan.

Namun, Tun Mahathir nekad dengan keputusan beliau.

- Advertisement -

“Beta dengan hati yang sedih terpaksa akur dan menghormati keputusan beliau.

“Oleh yang demikian, beta bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baru sepertimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43 yang memberi kuasa budi bicara kepada beta untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat beta mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” titah baginda.

Baginda bertitah sedemikian dalam Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen di Dewan Rakyat yang bersiaran langsung dari RTM sebentar tadi.

Terdahulu dalam pembukaan Titah Diraja, baginda menceritakan rentetan bermulanya peralihan kerajaan dan perubahan landskap negara menerusi perletakan jawatan Tun Mahathir sebagai PM ke-7.

Dalam proses untuk melantik PM baharu bagi menggantikan Tun Mahathir, baginda menitahkan segala prosedur berikut adalah selaras dengan konsep Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara.

Baginda turut menzahirkan penghargaan atas kematangan dan kerjasama semua ahli politik dan rakyat jelata yang memainkan peranan berhemah ketika baginda melaksanakan amanah tersebut sewaktu krisis politik berlaku.

“Pada kerajaan beta di bawah kepimpinan memanda Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, beta menaruh keyakinan bahawa usaha-usaha membawa negara terus mendaki ke persada kejayaan yang lebih tinggi akan menjadi kenyataan, Insha Allah.

“Nasihat beta, laksanakanlah amanah ini dengan jujur dan penuh tanggungjawab serta jangan sekali-kali mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata,” titah baginda.- HARAKAHDAILY 18/5/2020

- Advertisement -