Perak bantu sedia peluang pekerjaan buat gelandangan

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Perak selangkah lagi dalam menangani pandemik COVID-19 ketika ini melalui pemanjangan inisiatif membantu gelandangan memulakan kehidupan baharu yang lebih baik.

- Advertisement -

Ianya bermula daripada inisiatif diperkenalkan sendiri Menteri Besar, Dato’ Ahmad Faizal Azumu menempatkan 67 gelandangan ketika ini di pusat penempatan sementara iaitu di Arena Badminton Perak.

Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) dilaksanakan bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 selain kebajikan golongan itu turut dijaga dengan baik.

“Kita berterima kasih kepada orang ramai yang turut membantu pihak kerajaan dan urusetia petugas dengan menyumbangkan pakaian terpakai bagi kegunaan penghuni PPG.

“Usaha tersebut membuktikan kerajaan negeri ketika ini mengutamakan kebajikan rakyat pelbagai kelompok,” ujar Pengarah Komunikasi Strategik (STRATCOM) Perak, Ustaz Hafez Sabri.

Malah kini, kerajaan negeri sedang melaksanakan pelan tindakan susulan untuk menjamin kelangsungan hidup gelandangan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir dengan membantu penempatan pekerjaan.

Menurut Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun, setakat ini terdapat dua syarikat perniagaan cuci kenderaan dan kedai makan bersetuju untuk mengadakan sesi temuduga minggu hadapan.

“Seramai 14 orang daripada mereka telah dikenalpasti berkelayakan dan bersesuaian untuk menghadiri temuduga tersebut dan sedang mencari lagi syarikat yang berminat tawarkan pekerjaan.

“Difahamkan pihak syarikat juga bersedia menyediakan penginapan kepada penghuni yang berjaya diterima bekerja, manakala penghuni lain berusia 60-an akan ditempatkan di rumah kebajikan,” maklum beliau.

Beliau turut menjelaskan proses berkenaan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Pihak-pihak ini berperanan menyediakan data maklumat diri mengikut tahap kesihatan, kelayakan dan kemahiran dimiliki.  – HARAKAHDAILY 12/5/2020

- Advertisement -