Bilal sebak terima sumbangan MCM

- Advertisement -

PAGOH: Bukan seorang tetapi dua anak syurga yang diamanahkan Allah S.W.T kepadanya namun Yaakob Ahmad, 51 yang juga seorang Bilal Masjid Kampung Baba di sini sedikitpun tidak pernah mengeluh.

- Advertisement -

Hari ini, Yaakob dan Isteri, Hasnah Saat,51 terharu dan sebak apabila menerima sumbangan daripada Muslim Care Malaysia (MCM) yang disampaikan Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail semasa ziarah dan penyerahan bantuan di rumah mereka.

Hadir sama semasa penyampaian sumbangan itu adalah satu-satunya ADUN PAS di Johor iaitu ADUN Bukit Pasir Kapten (B) Najib Lep.

Dua anak mereka, Mohamad Faezal Hairy, 28 dan Siti Fairus Hanatasia, 24, menghidap Cerebral Palsy (CP) sejak kecil dan memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1,000 sebulan.

Sumbangan disampaikan MCM termasuk lampin pakai buang dewasa, enam tin susu yang setiap satu berharga RM96, kerusi roda, pemanas air di bilik mandi, wang tunai RM2,000 dan barangan keperluan harian. 

“Syukran kepada semua yang menyumbang dan semoga Allah mengganjari dengan sebaik-baik ganjaran InsyaAllah,” kata Johari dalam komen ringkasnya selepas penyerahan bantuan.

Bagi indvidu, syarikat mahupun pihak yang mahu bersama membantu masyarakat yang memerlukan, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Muslim Care Malaysia Society – 564490413882 Maybank dan menghubungi Johari di talian 016 9978323. – HARAKAHDAILY 11/5/2020

- Advertisement -