Terima kasih Menteri KPPK – Kamaruddin

- Advertisement -

ALOR GAJAH : Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sedik mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali atas peruntukan yang diberikan untuk membantu mangsa ribut di Felda Hutan Percha.

- Advertisement -

Bantuan tersebut yang berupa wang tunai sebanyak RM750 dan kit makanan bernilai RM50 diserahkan kepada 28 keluarga di Felda Hutan Percha yang terlibat dalam satu kejadian ribut pada 2 April lepas.

Nilai bantuan keseluruhan berjumlah RM22,400 itu adalah atas usaha Badan Perhubungan PAS Melaka dan disalurkan oleh pihak kementerian kepada Kerajaan Negeri Melaka.

Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Ali dalam satu program penyerahan bantuan kepada penduduk Felda di Dewan Orang Ramai Hutan Percha Melaka di sini pada Ahad.

Kamaruddin yang juga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka ketika ditemui Wartawan Rakyat Melaka (WARM) usai program itu menyifatkan program tersebut sebagai berjaya dan merupakan satu usaha kerajaan Perikatan Nasional dalam membantu meringankan beban rakyat.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri atas kesudian menyampaikan sumbangan pada pagi ini.

“Kita faham bahawa sumbangan ini tidak dapat menggantikan sepenuhnya kerugian yang ditanggung oleh mangsa ribut ini. Tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka.

“Dengan usaha seperti ini saya lihat persepakatan kita dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional semakin kuat.” ujar beliau.

Dalam majlis yang sama juga pihak Felda turut menyampaikan sumbangan untuk lima kawasan Felda dalam Negeri Melaka. Sumbangan berupa kit makanan bernilai RM50 setiap satu itu disampaikan oleh Pengarah Besar Felda, Dato’ Dr. Othman Omar kepada 1773 penerima dalam kalangan peneroka Felda.

Turut hadir di dalam majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail dan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah Ustaz Syahbudin Senin. – HARAKAHDAILY 12/5/2020

- Advertisement -