Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (50)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T ayat 85 dan 86:

- Advertisement -

فَأَتْبَعَ سَبَبًا

“Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).”

حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِي عَيْنٍ حَمِئَةٍ وَوَجَدَ عِندَهَا قَوْمًا ۗ قُلْنَا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِمَّا أَن تُعَذِّبَ وَإِمَّا أَن تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًا

“Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur, dan didapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulqarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka.”

Intisari penting

(1) Matahari terbenam?

Ayat ini perlu ditakwil kerana menurut an-Naisaburi saiz matahari adalah 660 kali ganda lebih besar daripada bumi maka mustahil ia terbenam di dalam bumi. Takwilan al-Jubbaie, Zulqarnain sampai ke sebelah Barat, di tempat yang bangunan. Lalu dia memandang ke arah matahari seolah terbenam di dalam lautan walhal ia sebenarnya hilang dari pandangan mata di ufuk Barat sahaja, tetapi masih wujud di belakang lautan tersebut.

Pendapat ini sekali gus membuktikan bentuk bumi yang sfera. Menurut Ar-Razi, telah dibuktikan di zamannya bahawa bumi berbentuk sfera. Bahkan orang pertama yang dikenalpasti memperakuinya di kalangan ilmuan Islam adalah Ibn Munadi (256h). Tambah Ibn Taimiah pula, fakta ini telah disabitkan secara Ijmak. Tidak ada seorang pun ulamak Salaf yang berbeza pandangan. Hanya mereka yang jahil sahaja mempertikaikannya.

(2) Mata air gelap

Ulamak berbeza pandangan berkaitan lokasi terbenam matahari ini. Antara puncanya adalah perbezaan qiraat antara Hami`ah (حمئة) yang bermaksud gelap dan Hamiyah (حمية) yang bermakna panas. Namun menurut al-Naisaburi, kedua-kedua sifat ini boleh digabungkan sekali pada suatu tempat.

Oleh kerana itu, Azadi berpendapat ianya berkait dengan sejarah Cyrus yang pernah sampai ke kota Sardis ketika menawan Lydia. Dr Khadir menjelaskan secara geografi bahawa di sana terdapat sungai Gediz yang gelap kerana dipenuhi selut. Selut itu berpunca dari kawasan berdekatan gunung berapi di dataran tinggi Anatolia. Sungai tersebut mengalir terus ke Teluk Izmir di sebelah Barat. Oleh kerana ia dari dataran tinggi, maka air menjadi begitu deras di muara menyebabkan kelihatan seperti pancutan mata air.

Al-Maraghi pula berpandangan Zulqarnain mengembara ke Tunisia, Marrakesh (Morocco) hingga sampai ke pergigian Lautan Atlantik. Ini menepati teori al-Biruni mengenai Raja Himyar.

Berbeza dengan Syeikh Imran Hosein, beliau berpandangan Zulqarnain sampai ke Laut Hitam yang terletak di rantau Eurasia. Beliau bersandarkan kepada takwilan nas-nas yang lain.

(3) Mematuhi sunnah sababiah

Sebab (سَبَبًا) boleh memberi maksud kemudahan, jalan, perantaraan, punca dan seertinya. Ayat 84 menyatakan tuhan memberikan sebab kepada Zulqarnain. Menurut An-Naisaburi, ia bermaksud setiap perkara yang membolehkan baginda mencapai maksud meliputi ilmu, kekuatan dan peralatan. Maka dalam ayat 85, Zulqarnain menggunakan segalanya itu untuk menakluk Timur dan Barat.

Menurut Said Hawa, ayat ini menunjukkan segala yang diperolehi Zulqarnain bukan perkara ajaib yang menyalahi hukum alam. Walaupun baginda seorang raja yang diberikan berbagai kelebihan, namun dia tetap mengikut sunnah sababiah iaitu berusaha melakukan sebab-sebab yang boleh membawa kepada kekuasaannya. Ia tidak berlaku di luar kebiasaan.

Maka Said Hawa turut menasihati para pejuang Islam untuk turut percaya kepada sunnah sababiah ini. Walaupun kita berada di pihak Allah (hizbullah), tuhan tidak akan memberikan kemenangan selagi kita tidak berusaha memenuhi sebab-sebab kemenangan. Persediaan rapi perlu dilakukan sehabis kemampuan yang ada. Kalau Zulkarnain sendiri berusaha, maka kita lebih utama.

Ibrah akhir zaman

Antara Hadis yang khusus mengenai Barat adalah mengenai lokasi pulau Dajal. Sahabat bernama Tamim ad-Dari sebelum memeluk Islam telah mengembara ke arah Barat, sebelum dipukul ribut menyebabkan beliau bersama anak kapal yang lain terdampar di sebuah pulau. Di sana, beliau bertemu dengan seekor binatang bernama Jassasah sebelum bertemu Dajal dan berdialog mengenai kemunculannya di akhir zaman. (Rujuk buku Geoeskatologi).

Selain itu, sebelum berlaku kiamat dunia bakal menyaksikan perubahan peredaran alam cakerawala. Matahari yang biasanya terbit dari arah Timur akan bertukar kepada arah Barat. Sabda Rasulullah S.A.W:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا، فَإِذَا رَآهَا النَّاسُ آمَنَ مَنْ عَلَيْهَا ، فَذَاكَ حِينَ: لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ

“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah matahari terbit dari arah Barat. Apabila manusia melihatnya, mereka terus beriman. Maka ketika itu, tidak berguna lagi iman mereka yang tidak beriman sebelumnya.”

[Hadis Riwayat Bukhari]

Ia merupakan tanda besar berlakunya kiamat. Setelah peristiwa itu berlaku, tertutuplah pintu taubat. Mereka yang baru hendak beriman dan memeluk Islam sudah tidak ada gunanya lagi. Ia menjadi bukti kepada penyembah Saintisme yang mengkufuri ayat Allah. Kemudian kiamat akan berlaku tidak berapa lama selepas itu. (Rujuk ayat 67-69: Sabar Menghadapi Karenah Saintisme)

Hadis-hadis Nabi S.A.W sangat banyak menceritakan mengenai Timur dan Barat terutama dalam perkara berkait akhir zaman. Mengikut epistemologi Islam, definisi Timur Barat haruslah difahami mengikut kehendak Allah S.W.T yang menurunkan al-Quran. Ia kepada Nabi S.A.W yang berada di Makkah. Justeru Makkah adalah pusat koordinasi longitud yang membahagikan hemisfera Timur dan Barat. Ini bererti apabila al-Quran atau Hadis menyebutkan Barat, maka ia bererti Barat dari perspektif nas tersebut.

Makkah adalah pusat bumi bagi Islam. Oleh sebab itulah, ulamak berpandangan kawasan Barat yang dijelajahi Zulqarnain itu adalah sama ada Laut Mati dan Teluk Aegean. Namun mengikut definisi Timur dan Barat hari ini, dua lokasi tersebut terletak di hemisfera Timur. Perbezaan ini disebabkan oleh penentuan pusat bumi yang berbeza antara Barat dan Islam. Barat menjadikan Greenwich sebagai meridian pangkal manakala Islam mengiktiraf Makkah sebagai pusat bumi.

Firman Allah S.W.T:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمّةً وَسَطاً

“Dan demikianlah kami jadikan kamu umat di pertengahan.”

[al-Baqarah: 143]

Menurut imam al-Qurtubi dan juga salah satu pandangan yang dihimpunkan oleh Imam Tabari, ayat ini memberi maksud pertengahan dunia. Juga disokong oleh satu lagi firman Allah S.W.T pada surah al-Anaam ayat 92 yang menyebutkan mengenai Ummul Qura bermaksud ibu perkampungan. Ini kerana Makkah merupakan asas kepada tanah-tanah lain dunia di awal kejadian bumi jutaan tahun dahulu sebelum berkembang dalam rupa peta yang ada kini.

Jika dibuat perbandingan dari sudut keluasan tanah (area spread) bumi, memang fakta akan menunjukkan Kaabah berada betul-betul di titik tengah gabungan benua. Jika dikaji dari sudut antropologi pula, Kaabah merupakan titik tengah yang menyaksikan sejarah peradaban dunia berlegar dan bertukar di sekelilingnya. Bermula daripada tamadun Mesopotamia yang dikatakan menjadi tamadun awal manusia sehinggalah kepada hari ini, Makkah menjadi titik yang penting dalam membahaskan perkara yang berkait dengan sains sosial seperti politik, ekonomi dan kemasyarakatan global.

Namun pada tahun 1884, British yang ketika itu menjadi kuasa dunia pada era Kolonialisme mengisytiharkan bahawa pusat bumi ataupun dikenali sebagai meridian pangkal (prime meridian) adalah di Greenwich, London. Dengan pengisytiharan tersebut, segala perkara yang berkait dengan geografi seperti koordinasi, masa, hari dan lain-lain adalah mengikut meridian pangkal tersebut.

Dengan lemahnya umat Islam dan kejayaan Barat menguasai tamadun dunia moden, secara tidak sedar kita telah mengiktiraf Greenwich sebagai pusat bumi sehingga dalam budaya umat. Timur dan Barat tidak lagi mengikut titik Kaabah, sebaliknya sudah terpengaruh dengan Timur dan Barat Greenwich. Buktinya, kita menggunakan istilah Timur Tengah (الشرق الأوسط/ Middle East) merujuk kepada kawasan Semenanjung Arab dan sekitar kerana mengikut Greenwich, kawasan tersebut berada di sebelah Timur. Memberi petunjuk bahawa minda kita masih dijajah Barat.

Isu titik tengah bumi ini perlu diambil berat oleh umat Islam. Ini kerana pengisytiharan titik tengah bumi bukan sahaja berkait dengan penentuan masa sahaja (GMT), tetapi juga berkait dengan penentuan hari. Titik temu unjuran longitud 180 darjah sama ada ke Timur mahupun Barat daripada titik GMT ditetapkan sebagai garis pemisah hari yang dikenali sebagai International Date Line (IDL). Hari di sebelah Barat IDL berbeza awal sehari daripada di Timur.

Jika dibandingkan antara Greenwich dengan Kaabah, jarak antara kedua tempat ini adalah sekitar 40 darjah longitud. Maka jarak antara IDL dan garis titik temu unjuran longitud 180 darjah daripada Kaabah juga adalah 40 darjah. Jika Kaabah berada 40 darjah di Timur Greenwich, maka garis temu unjuran Kaabah juga adalah 40 darjah di sebelah Timur IDL.

Jika kita membandingkan penentuan hari mengikut IDL sekarang dan penentuan hari mengikut garis hujung Kaabah, terdapat perbezaan hari pada kawasan 40 darjah di sebelah Timur IDL ataupun 140 darjah ke Timur Greenwich. Kawasan tersebut melibatkan Alaska, Hawaii dan beberapa kepulauan kecil lain. Mengikut hari yang digunapakai sekarang, hari Ahad di Alaska dan Hawaii adalah sebenarnya hari Isnin mengikut kiraan longitud Kaabah. Mereka lewat sehari!

Implikasi daripada perbezaan ini adalah kesan terhadap ibadat yang berkaitan dengan hari pada kawasan berkenaan. Ibadat seperti solat Jumaat dan puasa Isnin dan Khamis antara yang kritikal bagi Muslim. Kesilapan penentuan hari ini menyebabkan umat Islam yang berada di Alaska dan Hawaii solat Jumaat pada hari Sabtu!

Inilah perkara paling serius yang perlu difikirkan oleh autoritian agama peringkat Antarabangsa. Satu fatwa perlu dikeluarkan berhubung dengan perkara ini. Pusat bumi bagi umat islam perlu dikembalikan ke Kaabah. Mengikut rekod Islamic Community Center of Anchorage Alaska (ICCAA) iaitu sebuah badan agama Islam terbesar di Alaska, umat Islam di bandar Anchorage sahaja sudah melebihi 3,000 orang. Di Hawaii pula, keahlian masjid Manoa di sana berjumlah 2000 orang mengikut rekod Pew Research tahun 2001.

Jika tidak mahu mengganggu koordinasi navigasi penerbangan dan pelayaran, maka sekurang-kurangnya pengisytiharan Kaabah sebagai pusat bumi wajar dilakukan dari aspek ibadat sahaja terlebih dahulu, seperti penggunaan kalendar Hijri dalam penentuan ibadat yang melibatkan tarikh tetapi tidak mengganggu pentadbiran yang menggunapakai kalendar Masihi.

Namun jangan terkeliru. Perkara ini tidak melibatkan penentuan tarikh. Kalendar dan ketetapan falak tidak berubah. Cuma pengisytiharan hari sahaja yang terlibat di kawasan antara longitud 140 hingga 180 darjah Timur mengikut GMT.

Garis IDL hari ini berada di antara Rusia dan Alaska. Oleh kerana terdapat banyak negara dan kepulauan yang berada di latitud sejajar dengan garis IDL itu, maka garisan tersebut dibuat bengkang-bengkok supaya penentuan hari tidak berbeza bagi satu-satu negara. Jika diisytiharkan pusat bumi di Makkah dan IDL dianjak 40 darjah ke arah Barat, maka garis IDL tidak akan menjadi bengkang-bengkok lagi seperti sekarang.

Perkara ini tentunya akan menambahkan lagi koleksi kemukjizatan al-Quran. Ia tidak akan terhenti setakat pengisytiharan ibadat sahaja, tetapi boleh mencetus kepada banyak lagi penemuan-penemuan baru yang akan menguatkan lagi kepercayaan bahawa Islam agama yang benar. Kajian dan pemerhatian yang dibuat akhirnya akan membawa kepada al-Quran terus dibaca dan dikaji oleh para intelek. Sedikit demi sedikit, Islam akan mempengaruhi pemikiran manusia. Perkara inilah paling ditakuti musuh Islam.

Apapun, Allah S.W.T telah menjadikan bumi ini dengan sebaik-baik ciptaan. Islam dijadikan sebagai panduan hidup bukan sahaja dari sudut syariat, malah segala aspek kehidupan yang lain termasuk perkara akidah dan sains. Namun manusia yang sombong dan iri hati terhadap Islam, telah menjadi syaitan konco Iblis dan sanggup melakukan apa sahaja bagi menyekat agama ini dari memandu manusia kepada kebenaran dan kesejahteraan.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 11/5/2020

- Advertisement -