Di mana Menteri bergunting?

- Advertisement -

ANTARA operasi ekonomi yang keras SOPnya dalam PKP ialah kedai gunting rambut. Sehingga ini ia disebut tidak dibenarkan.

- Advertisement -

Mula-mula dahulu ia disebut, operasi bergunting rambut dibolehkan. Tetapi telah dibetulkan bahawa kedai gunting tidak dibenarkan.

Bukan kerana kedai gunting penuh dengan orang menunggu giliran hingga jarak sosial payah dilaksanakan, akan tetapi sekalipun seorang pelanggan yang ada dalam kedai, kontek antara tukang gunting dengan pelanggan. Tukang gunting mesti memegang leher, muka dan kepala pelanggan.

Jika yang jarak kurang dari satu meter tidak dibenarkan, maka bagaimana tukang gunting mesti memegang pelangganya. Tukang gunting mesti mengandam misai dan janggut pelanggan. Mungkin tidak praktikal tukang gunting memakai sarung tangan. Payah mengandamnya.

Dan kita payah hendak memikir tukang gunting memakai pakaian seperti yang digunakan oleh petugas kesihatan ketika merawat pesakit Covid-19. Pakaian itu pula mungkin terpaksa diganti bagi pelanggan yang lain. Banyak cerewetnya.

Tetapi dalam masa dua bulan kuat kuasa PKP, kita tidak jumpa menteri dan petugas yang terpaksa bertugas, masing-masing panjang rambutnya dan tidak kemas misai dan janggutnya.

Di mana mereka bergunting?

Saya teringat ketika Operasi Lalang ketika Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri kali pertama dahulu. Antara yang ditahan yang sebelumnya berandam kemas, tetapi setelah dua bulan ditahan, apabila gambarnya tersiar, di dapati berjambang, janggut tidak terurus dan jika terkurung lebih dua bulan, nescaya antaranya berambut panjang.

Masa itu belum ada Covid-19. Khemah tahanan dan penjara boleh bawa tukang gunting atau tahanan atau banduan sendiri boleh jadi tukang gunting.Tahanan yang membiarkan jambang dan misainya panjang adalah hendak menunjuk rasa, protes atas tahanan mereka.

Akan tetapi sekarang semuanya berada dalam PKP, tidak boleh keluar rumah dan tidak boleh berhubung dengan yang bukan keluarga serumah.

Saya sendiri kebetulan ada anak yang boleh menggunting rambut. Bertuah kerana dia menjadi tukang gunting saya. Tetapi orang lain siapa yang menggunting rambut mereka?

Tetapi tiada menteri yang mukanya tidak terurus. Tidak yang rambutnya tidak bergunting. Misai dan janggutnya terandam kemas.

Kabinet tidak menyediakan tukang gunting yang bebas gejala Covid atau dalam perjalanan untuk menggunting rambut menteri itu dipastikan tidak tersangkut dengan kontek yang ada kuman Covid.

Kawalan terhadap orang yang melanggar PKP adalah amat ketat. Timbalan menteri dan Exco yang ketika menjalankan tugas, kerana terlalai makan dalam majlis, mereka tidak menentang PKP tetapi tidak sengaja melanggar SOP yang ketat itu.

Maka mereka didenda. Ini menandakan peraturan itu begitu ketat. Maka tidaklah mudah bagi menteri dan mana-mana pegawai berhubung dengan tukang gunting, sama ada mereka singgah di kedai gunting tanpa disedari orang lain, atau menteri itu minta tukang gunting datang ke tempat mereka.

Oleh kerana semua menteri dan pegawai bermuka dan berkepala kemas belaka, maka adakah kesemuanya tidak melanggar perintah yang ketat itu.

Sepatutnya dalam kuat kuasa PKP semuanya tidak menggunakan khidmat tukang gunting, kerana ditakuti bermuamalat dengan tukang gunting itu mereka melanggar perintah dan melanggar perintah boleh menyebabkan penularan Covid.

Bagaimana pak-pak menteri boleh bergunting? Dan adakah mereka terlanggar kawalan dan perairan yang ketat itu?

Mesti ada yang curi bergunting. Para setan yang mencuri dengan perbualan makhluk di langit, normalnya nescaya dikejar malaikat, merejamnya bola api hingga rentung.

- Advertisement -