Patriotikkah usul pembangkang di saat COVID-19?

Untuk rakyat dan negara atau kerana rakus jawatan?

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH penularan COVID-19 sehingga kini dapat dikawal di Malaysia. Tahniah kepada semua pihak. Namun, ia belum berakhir. Di negara lain, pandemik COVID-19 menjadi mimpi ngeri. Kematian merata. Ekonomi merudum. Yang difikir oleh rakyat ialah mahu selamat dari dijangkiti COVID-19 dan dalam masa yang sama, ada makanan di atas meja untuk sekeluarga.

- Advertisement -

PN yang memerintah, mewarisi keruntuhan pemerintahan PH dengan sebab tangan mereka sendiri. Antara tugas besar awal yang terpaksa dipikul oleh PM8 ialah menangani isu COVID-19 yang diambil ringan oleh pimpinan PH ketika itu. Bacalah kenyataan-kenyataan awal pimpinan PH apabila ramai pelancong China masuk ke Malaysia, sedangkan virus itu telah menyerang Wuhan.

Negara melalui keadaan yang tak biasa dilalui. Virus yang tak biasa dikenali sebelumnya. Vaksin sehingga kini belum ada. Tak tahulah kalau si fulan yang juga seorang doktor boleh menjadi wira dunia dengan menemukan vaksin. Rakyat terpaksa terperap di rumah untuk tempoh yang lama, juga tak biasa dilalui. Ada yang hilang pekerjaan. Ada yang terpaksa berhenti kerja. Ada yang tiada makanan di atas meja. Sudah sebulan lebih keadaan yang tak biasa ini mesti dibiasakan.

Negara sibuk dan bergelut urus pandemik ini, tiba-tiba negara dihebohkan dengan usul undi tak percaya dan usul percaya. Ia timbul dari pihak yang tak dapat dipercayai sangat.

Untuk apakah usul itu? Untuk rakyat atau untuk syahwat? Untuk negara atau nafsu semata? Untuk kestabilan politik atau hanya berpolitik? Adakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan sekarang menangani pandemik COViD-19 ini, termasuk dari sudut ekonomi merugikan rakyat dan negara? Adakah pemimpin politik seperti ini telah menghabiskan wang sendiri dengan banyak untuk membantu kawasan-kawasan yang dia menjadi wakil rakyatnya?

Saya bukan tokoh politik hebat yang pernah menjatuhkan ramai Perdana Menteri terdahulu. Saya juga bukan pemimpin politik yang tidak ada dalam otak saya melainkan mahu menjadi Perdana Menteri.

Saya hanyalah rakyat biasa yang melihat gelagat orang seperti ini, menyebabkan saya terfikir, adakah yang dibuat itu benar-benar untuk kesejahteraan negara, untuk rakyat atau kerana bosan terperap dalam rumah sepanjang PKP ini. Apapun, jangan risau, di saat ada rakyat terkesan dengan perintah kawalan pergerakan ini, tembolok sendiri sudah terlalu penuh hasil ‘titik peluh’ perjuangan untuk rakyat marhaen.

Selamat berpuasa, dan jangan terlalu rakus untuk berkuasa.

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 10/5/2020

- Advertisement -