PKPB dilanjut hingga 9 Jun – PM

- Advertisement -

PUTRAJAYA : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebulan lagi iaitu hingga 9 Jun ini.

- Advertisement -

Dalam perutusan khasnya sebentar tadi, PM berkata, walaupun negara telah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha memerangi wabak COVID 19, usaha ini masih belum berjaya sepenuhnya.

Katanya lagi, langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi wabak ini.

Tambah beliau, dari segi pandangan umum juga kerajaan dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini

“Justeru, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara, saya ingin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB yang berkuatkuasa sehingga 12 Mei 2020, akan disambung lagi sehingga 9 Jun 2020, iaitu selama 4 minggu lagi.

“Ini bermakna, semua peraturan dan SOP yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun 2020.

Saya mohon ampun – PM

Sehubungan itu kata PM, sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Dalam tempoh ini juga kata beliau, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Beliau mengingatkan seluruh rakyat tentang larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuatkuasa dalam tempoh ini.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan.

“Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 10/5/2020

- Advertisement -